suria

Jangan seronok sangat SPM dah selesai... cuba lakukan 10 perkara ini sebagai persediaan menempuh alam dewasa!

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah berakhir dan tiba masanya untuk merancang masa depan. Foto BERNAMA

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 mungkin ketika ini boleh menarik nafas lega kerana peperiksaan penting itu sudah pun berakhir.

Namun dalam keseronokan melepasi salah satu ujian di alam persekolahan, ia sebenarnya permulaan baharu bagi menempuh dunia kedewasaan yang penuh cabaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuti sekolah dah bermula, The Musketeers Putrajaya lubuk aktiviti sukan, riadah buat kanak-kanak hingga remaja

ARTIKEL BERKAITAN: Dah rancang aktiviti bersama anak cuti sekolah ini? Apa kata ambil kira 5 tip ini

Tempoh kira empat bulan sebelum keputusan SPM diumumkan sekitar Mac depan tidak sepatutnya disia-siakan dengan melakukan perkara tidak berfaedah, sebaliknya masa itu digunakan untuk meningkatkan kemahiran dan potensi diri.

Jika masih belum tahu apa yang ingin dilakukan, mStar  senaraikan 10 aktiviti yang mungkin boleh dilakukan sepanjang tempoh itu.

1. Cipta suasana baru

Memandangkan SPM sudah selesai, apa kata mulakan dengan mengemas bilik anda. Kumpulkan semua buku dan nota untuk kegunaan adik-beradik atau disedekahkan kepada rakan dan mungkin juga kepada rumah kebajikan di mana ada penghuninya yang bakal menduduki peperiksaan penting itu.

Ubah gaya bilik tidur anda dan buang benda yang sudah tidak diperlukan bagi mencipta ruang baharu sebagai simbolik anda kini sudah memasuki alam dewasa.

2. Belajar memasak

Ha! Ini bukan sahaja untuk wanita tetapi kaum Adam juga perlu mengambil kesempatan untuk belajar memasak. Mana tahu rezeki dapat masuk ke universiti selepas ini, sekurang-kurangnya anda sudah ada kemahiran memasak dan tidaklah perlu makan mi segera setiap hari!

Memasak mungkin kedengaran remeh, tetapi percayalah ia survival hidup yang penting kerana selepas ini anda mungkin jarang dapat makan masakan ibu - tapi belum terlambat untuk belajar daripada insan yang kita sayang itu.

3. Lesen memandu

Ini adalah masa paling sesuai untuk mengambil lesen memandu memandangkan latihannya mengambil tempoh agak lama.

Selain untuk kesenangan diri sendiri, apabila sudah ada lesen dapatlah membantu menghantar ibu bapa ke pejabat atau pasar selain mengambil peluang menjadi pemandu perkhidmatan e-hailing sementara menunggu keputusan SPM dan panggilan ke universiti.

4. Menggembara

Pada yang berkemampuan, apa kata ambil kesempatan ini untuk menggembara dan melancong. Tidak perlu ke luar negara pun kerana di dalam negara juga ada banyak tempat menarik untuk diterokai.

Ini juga adalah kesempatan terbaik untuk bercuti dengan rakan baik anda sambil mengutip pengalaman kerana selepas ini masing-masing akan bawa haluan sendiri.

Ambil kesempatan ini untuk mencipta memori yang akan kekal tersemat dalam kotak ingatan buat selamanya.

5. Kelas komputer

Percayalah, walaupun anda menghadap komputer hari-hari tetapi apabila disuruh menggunakan Microsoft Words, Excel dan sebagainya pasti anda masih terkial-kial.

Sementara ada masa lapang, apa kata daftarkan diri ke kelas komputer malah sekarang terdapat pelbagai kursus kemahiran seperti menghasilkan dan menyunting video, fotografi dan sebagainya.

Bolehlah aplikasikan ilmu itu untuk membuat vlog di Youtube atau Instagram. Untung-untung dapat jadi influencer!

6. Kelas agama

Soal agama jangan diabaikan. Rebut peluang untuk menyertai kelas yang diatur untuk mempertingkatkan iman dan taqwa kepada Allah.

Pastinya peluang untuk mengaji al-Quran, boleh juga bermula dari iqra', mengambil kelas tajwid atai terjemahan.

7. Kerja sambilan

Daripada duduk rumah dan tidur, apa kata cuba mohon kerja part-time untuk merasai bagaimana susahnya untuk mendapatkan wang.

Anda bukan sahaja dapat pengalaman bekerja tetapi percayalah anda akan lebih menghargai wang dan segala susah payah ibu bapa ketika membesarkan anda.

8. Rancang hala tuju pendidikan

Bermula daripada saat ini, anda sudah boleh membuat research mengenai IPT di dalam dan luar negara untuk sambung belajar selepas keputusan SPM keluar atau menyambung ke tingkatan 6 atau Matrikulasi.

Pada masa ini juga anda boleh kaji kursus-kursus yang ditawarkan atau diminati serta melihat prospek kerjaya pada masa hadapan.

9. Jadi sukarelawan

Jika anda Google terdapat banyak program atau pertubuhan yang boleh disertai sebagai sukarelawan.

Aktiviti sebegini cukup baik untuk 'jiwa' anda, malah ia dapat membentu diri anda menjadi insan lebih matang serta menghargai kehidupan.

10. Ambil tahu hal semasa

Pada waktu lapang selepas kelas komputer atau kerja, luangkan masa untuk membaca banyak mengenai pengetahuan am serta hal ehwal semasa.

Tidak sukar pun mencari maklumat kerana semuanya kini di hujung jari. Ia bukan sahaja penting sebagai informasi tetapi ada sesetengah universiti akan memberikan soalan berkaitan hal semasa ketika sesi temuduga. Jadi anda sudah bersedia!

SPM, Kerja Sambilan, Kelas Memandu

Artikel Lain