suria

Cinta berputik kembali selepas 3 bulan, Natasha Hudson aktif sertai sukan sunnah

Natasha Hudson kini aktif berjinak-jinak dalam sukan berkuda dan memanah. Foto Ihsan NATASHA HUDSON

JIKA dilihat secara kasar tiada siapa akan menyangka Natasha Hudson yang mempunyai wajah lembut gemar akan aktiviti lasak seperti berkuda dan memanah.

Tetapi itulah 'cinta' terbaharu aktres berusia 37 tahun ini malah kata Natasha sukan berkuda sebenarnya bukanlah perkara asing kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Koleksi anak muda di Galeri TitikMerah... ‘Kisah’ bukan sekadar lakaran seni, tapi penceritaan

"Beberapa tahun lalu saya memang aktif melakukan aktiviti menunggang kuda sehingga saya mengalami kemalangan yang membuatkan saya trauma.

Natasha berlatih memanah bersama jurulatih.

"Tetapi kali ini saya nekad untuk kembali aktif dalam sukan itu kerana minat yang mendalam selain ia sukan Sunnah yang semua harus pelajari," katanya kepada mStar.

Berkuda, memanah terapi buat Natasha

Diperkenalkan kepada dua jurulatih menunggang kuda dan memanah iaitu Coach Zam dan Mika Irfan dari Kumpulan Pemanah Jawi atau Panji tiga bulan lalu, Natasha berkata, dibawah bimbingan mereka dia kembali yakin untuk terus aktif dalam sukan tersebut.

Kejayaan kedua-dua jurulatih itu memenangi pelbagai pertandingan termasuk yang terbaharu di Turki serta International Horse Back and Traditional Archery di Ipoh, Perak membuatkan dia lebih yakin dibawah bimbingan mereka.

"Mereka berdua adalah contoh yang sangat menyokong saya untuk meneruskan sukan ini secara serius.

Natasha bersama rakan-rakan ketika berlatih memanah berkuda. 

"Jadi saya bukan sahaja mempelajari kemahiran berkuda selepas mengalami trauma akibat kemalangan sebelum ini tetapi saya juga turut diajar untuk mengambil kelas memanah tradisional dan memanah berkuda.

"Hampir tiga bulan tapi dah macam-macam saya pelajari. Alhamdulillah ia aktiviti menyihatkan untuk saya selain membuatkan saya lebih positif setiap hari... Ia seperti terapi," ujarnya.

Mencabar tetapi menyeronokkan!

Berkongsi lanjut mengenai hobinya itu, Natasha berkata, menunggang kuda sambil memanah adalah sangat mencabar namun dengan tunjuk ajar serta latihan berterusan membuatkan dia semakin yakin dengan sukan itu.

Tidak hanya terhenti di situ, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, bersama Panji dia turut berpeluang mempelajari selok-belok mengenai kuda termasuk pengurusan haiwan itu.

Natasha bersama beberapa peserta dari luar negara yang menyertai International Horse Show baru-baru ini. 

"Paling saya suka apabila kita dapat mencipta hubungan dengan kuda yang ditunggang. Ia industri berbeza tetapi saya sangat menyukainya.

"Jika saya tiada sebarang komitmen kerja, boleh dikatakan setiap hari saya akan menjalani latihan bagi memantapkan skil menunggang dan memanah," ujarnya.

Natasha sertai pertandingan memanah berkuda

Baru tiga bulan aktif dalam sukan itu, Natasha memberitahu baru-baru ini dia menyertai pertandingan berkuda bertaraf antarabangsa iaitu International Horse Show di Ipoh Turf Club.

Ingin mencari pengalaman serta mencabar kebolehan dirinya, Natasha memberitahu dia bertanding dibawah dua kategori iaitu liga memanah dan memanah berkuda.

Natasha berazam untuk mengembangkan sukan itu dalam kalangan golongan muda. 

"Saya sempat menyertai acara memanah 50 meter... Saingan sengit tetapi yang seronokknya apabila kita dapat membina silaturahim dengan peserta dari pelbagai negara seperti Kanada, Arab Saudi, Thailand dan Mongolia," jelasnya.

Mahu bertanding di peringkat antarabangsa!

Bersempena kedatangan 2020 tidak lama lagi, Natasha memberitahu berkuda dan memanah ada dalam perancangannya malah berhasrat untuk menarik minat lebih ramai golongan muda menyertai sukan ini.

"Alhamdulillah ramai yang bertanya saya tentang sukan ini dan teringin untuk mencuba. Ini impian saya tahun hadapan untuk sebarkan perkara baik dan mengalakkan lebih ramai golongan muda termasuk wanita dan kanak-kanak menceburi sukan ini.

"Malah pihak kami telah pun memulakan kursus memanah dan memanah berkuda selain kelas ekselusif bersama peminat," katanya.

Natasha Hudson, Berkuda, Memanah, Ipoh, PANJI

Artikel Lain