DI sebuah bengkel besi, kelihatan seorang gadis bertubuh kecil lincah mengasah dan memotong besi dengan ditemani percikan api. Wan Nadhirah Adina Megat Ibrahim Ahmad yang mesra disapa Ira juga gagah mengangkat dan mengalihkan logam berat untuk dijadikan jeriji pintu. Giat menjalankan kerja kimpalan di bengkel milik bapanya, gadis itu mengakui minat mendalam terhadap bidang itu bermula sejak kecil apabila sering melihat bapanya melakukan kerja-kerja mengimpal besi. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan hanya rider... peniaga kecil, akak-akak pandai masak mampu lebih ‘masyuk’ dengan Go Eat "Sewaktu kanak-kanak saya sering kena marah kerana suka kacau ayah buat kerja. Saya juga pernah menangis kerana melecur terkena percikan api di kaki, tapi saya tetap dekati ayah kerana mahu melihat percikan api yang sangat indah," katanya kepada Bernama. Ira ditemui di kedai besi MNA Maju Utara Enterprise yang diusahakan bapanya di Kampung Jejawi, Perlis. Besi dan logam jadi mainannya sejak kecil. Lokasi bengkel yang strategik di sebelah kiri lampu isyarat jalan Jejawi-Arau menuju ke pekan Kangar itu membuatkan Ira yang dikenali welder girl sering mencuri tumpuan orang ramai yang berhenti semasa lampu isyarat merah kerana terpegun melihat kelincahan gadis itu seolah-olah 'bermain' dengan besi dan api. Remaja berusia 18 tahun ini mengakui mempunyai banyak kesan lecur akibat terkena percikan api pada bahagian badannya tertutama pada tangan, kaki dan lutut, namun dia tidak serik untuk terus setia dengan kerjaya yang diminatinya itu. Tanpa menghiraukan rasa penat dan panas, gadis berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Beseri itu berkata, dia turut melakukan kerja-kerja pemasangan besi di rumah pelanggan dan bangunan pejabat bersama-sama beberapa pekerja lain. "Kadang-kala saya buat kerja pemasangan di rumah pelanggan dan angkut barang seorang diri ketika pekerja lain bercuti," katanya yang mahir dalam kerja-kerja tembakan elektron, kimpalan geseran dan ultra bunyi yang lebih sinonim dengan kaum lelaki. Ira mengakui disiplin kerja tetap dijaga walaupun bekerja dengan ayah sendiri. "Apa sahaja permintaan pelanggan terhadap produk berasaskan besi saya akan buat," katanya yang pernah menghasilkan tong burger, panel siling, ampaian baju, besi penutup longkang, tangga besi dan banyak lagi. Bekerja dengan bapanya sendiri, Nadhirah berkata disiplin kerja tetap dijaga dan dia dibayar gaji sama seperti dua lagi pekerja yang merupakan lelaki. Anak kedua daripada tiga beradik tersebut bertekad mahu meneruskan kerjaya itu untuk menjadi penyambung kepada perniagaan yang diusahakan bapanya selain bercita-cita mahu mempunyai syarikat sendiri kelak. "Buat masa ini saya tidak bercadang untuk menyambung pelajaran dalam bidang akademik seperti rakan-rakan lain, tetapi saya merancang untuk mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan mahu dapatkan sijil perniagaan pada masa akan datang kerana bercita-cita untuk membuka sebuah syarikat kimpalan sendiri," katanya. Sementara itu, bapanya Megat Ibrahim Ahmad Awang, 47, berkata, anak gadisnya itu gemar mengikutnya melakukan kerja-kerja kimpalan di kampung sejak di bangku sekolah. Ira menjadi harapan ayahnya untuk meneruskan perkhidmatan dalam bidang ini. "Ira mula bergiat aktif melakukan kerja kimpalan besi sejak berusia 15 tahun selepas waktu persekolahan dan mula bekerja sepenuh masa di bengkel besi sejak setahun lalu selepas tamat SPM," katanya. Megat Ibrahim berkata pada 2008 dia membuat kerja-kerja tersebut dari rumah di Felcra Lubuk Sireh dan bengkel besinya itu hanya dibuka pada 2016 dengan menyewa tapak sehingga hari ini. "Saya harap dengan minat mendalam Nadhirah boleh menjadi penyambung kepada apa yang saya usahakan untuk kembangkan lagi perkhidmatan kimpalan kami di masa hadapan," katanya sambil memandang ke arah anak gadisnya itu. Megat Ibrahim berkata, setiap hari syarikatnya menerima tempahan pelbagai produk berasaskan logam untuk direkanya mengikut citarasa pelanggan. Menurutnya pelanggannya kini semakin meningkat meliputi sekitar Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.