PENGALAMAN dijemput menjadi penceramah motivasi di sebuah sekolah rendah di Benta, Pahang beberapa tahun lalu tidak mungkin dilupakan oleh insan bernama Syamsul Amri Ismail. Syamsul Amri atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat berkata, pengalaman tersebut memberikan seribu satu keinsafan dan mengajar dirinya untuk melihat sesuatu perkara daripada perspektif yang luas. ARTIKEL BERKAITAN: Syamsul Debat ada aura, tiba-tiba Sikamat popular ARTIKEL BERKAITAN: Syamsul Debat Nafi Skandal Isteri Orang “Penganjur gabungkan sepuluh sekolah untuk buat motivasi khusus buat calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). “Saya pun seronok la nak beri ceramah. Tapi yang buatkan adrenalin darah tiba-tiba berhenti, mereka (penganjur) kata ‘Ustaz, kita gabung sepuluh buah sekolah untuk motivasi UPSR dan bajet kita RM300’. “Dalam hati berkata ‘aku salah dengar ke?’. Saya jenis tak suka tolak ceramah walaupun rendah bayarannya. Jadi saya usulkan agar mereka aturkan dua lagi program supaya tak ada la saya datang satu tempat saja,” ujarnya ketika menjadi panel jemputan Seminar Memperkasa Ekonomi Dalam Kalangan Generasi Muda anjuran Pemangkin Ekonomi SeMalaysia (Pemangkin) di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) pada Ahad. Syamsul Debat terkenal dengan ceramahnya yang mencuit hati kerana sering menggunakan loghat Nogori. Bagaimanapun tambah Syamsul, sewaktu tiba di sekolah berkenaan, perasaannya terkejut dan bercampur baur ketika itu. “Bila sampai sana, saya insaf satu perkara, baru saya perasan rupanya sepuluh buah sekolah digabungkan tu setiap satu sekolah calonnya dua orang, tiga orang... tak ramai… patutlah. “Dan duit RM300 tu pun cikgu kongsi seorang sikit nak bagi dekat saya. Kesian betul. Kalaulah saya tolak hari tu... bayangkan hampanya mereka. Sebab itu jangan demand, ada sebab orang tu bayar rendah. Sebab itu Allah tak berhenti beri rezeki pada kita,” ujar penceramah yang juga personaliti televisyen berusia 42 tahun itu. Beliau dalam pada itu turut menasihati generasi muda yang ingin menjana pendapatan menerusi bidang perniagaan agar mengikut garis panduan yang ditetapkan hukum agama. Duit RM300 tu pun cikgu kongsi seorang sikit nak bagi dekat saya. Kesian betul. Kalaulah saya tolak hari tu... bayangkan hampanya mereka. Sebab itu jangan demand, ada sebab orang tu bayar rendah. SYAMSUL DEBAT PENCERAMAH BEBAS/PERSONALITI TV “Kena ada komitmen, kemudian fokus, seterusnya disiplin kena ada. Jika nak kaya dan nak berjaya perlu ikut peraturan. Tak boleh tipu-tipu orang . Akhir sekali kena istiqamah,” ujarnya. Syamsul yang merupakan Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (Adam) terlibat aktif dengan ceramah motivasi serta program pembangunan kerjaya dan masyarakat. Anak jati Negeri Sembilan ini yang sering menggunakan loghat 'Nogori' terkenal dengan keletah bersahaja dan turut menyelitkan unsur jenaka dalam ceramahnya. Beliau juga mempunyai rancangan kendaliannya sendiri, Syamsul Debat di stesen televisyen AlHijrah tidak lama dahulu. Sementara itu Presiden Pemangkin, Muhd Hafizuddin Yusoff atau lebih dikenali sebagai Sir Hafiz berkata pertubuhan di bawah kendaliannya itu berperanan sebagai ‘orang tengah’ dalam membantu generasi muda yang ingin menjana sumber pendapatan lebih. Sir Hafiz berkata Pemangkin menyasarkan untuk 'menembusi' lima buah institusi pendidikan tinggi sebelum bulan Ramadhan. “Objektif Pemangkin untuk bawa budaya yang berbeza daripada orang selagi tak langgar hukum agama dan undang-undang Malaysia. “Saya segmenkan target market kepada empat golongan belia iaitu penuntut universiti, gamers, belia yang minat motosikal dan belia yang minat muzik. “Saya nak sampaikan mesej, kenapa nak kena pressure kejar ijazah seolah-olah kalau tak dapat ijazah maka tak dapat kerja. “Tapi jangan salah faham, ia bukan bermaksud tak payah belajar terus. Ijazah adalah satu pencapaian tapi ia bukan penentu pendapatan. Oleh itu saya nak pecahkan benda itu,” ujarnya. Menurutnya, Kuis adalah institusi pertama yang dipilih untuk penganjuran seminar berkenaan. Ujarnya, Pemangkin menyasarkan untuk menganjurkan seminar di lima institusi sebelum Ramadan pada akhir April ini.