suria

Air hujan dikomersialkan sebagai minuman, masuk pasaran 2021

Air hujan botol bakal masuk pasaran 2021. - Gambar Sekadar Hiasan

SELEPAS air galian diproses sebagai minuman, pengguna di negara ini mempunyai pilihan untuk menikmati air hujan yang dibotolkan dan rancangan itu bakal direalisasikan apabila ia dijangka dipasarkan sekitar tahun depan.

Usaha membotolkan air hujan sebagai air minuman berbungkus (AMB) ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim) untuk memanfaatkan air sumber alam yang selama ini tidak begitu dipedulikan.

Menurut Pegawai Penyelidik Kanan, Unit Sumber Air, Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan Iklim Nahrim, Ir Marini Mohamad Ideris, AMB melalui pelbagai kajian dan penyelidikan dan mendapat lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 21 September 2018 untuk dikomersialkan.

ARTIKEL BERKAITAN: 18 produk ini mampu bunuh kuman koronavirus!

Marini berkata idea asal projek ini diilhamkan oleh bekas Ketua Pengarah Nahrim, Datuk Ir Ahmad Jamalludin Shaaban sejak 2014.

Katanya, Ahmad Jamalludin mahu kajian dilakukan bagi melihat potensi kegunaan air hujan sebagai air minuman yang boleh dibotolkan dan dikomersialkan.

Proses bermula dengan penuaian air hujan yang dilakukan di dua lokasi membabitkan kawasan pedalaman dan kawasan bandar.

Bangunan Tadahan Air Hujan NAHRIM di Sri Kembangan, Selangor.

“Kami memilih melakukan penuaian air hujan di kawasan hutan simpan di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang dan satu lagi di Nahrim sendiri iaitu di Sri Kembangan, Selangor. Tujuaannya untuk melihat perbezaan kualiti air hujan yang turun di kawasan pedalaman dan di bandar.

“Memang terdapat perbezaan kualiti air hujan pada dua lokasi ini yang mana air hujan di Kuala Tahan kualitinya lebih baik dan semulajadi dengan julat pH 6.0 ke 7.0, berbanding air hujan di Nahrim yang lebih berasid dengan julat pH antara 4.4 hingga 5.6,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan, proses perawatan dan pembotolan air hujan ini perlu melalui beberapa peringkat proses tertentu bagi menjamin kualiti dan piawaian yang ditetapkan.

Proses bermula dari bumbung tadahan ke tangki pengumpulan, penyaluran air hujan dari tangki pengumpulan ke tangki simpanan (dalam inkubator), pengepaman air hujan ke rawatan penapisan, rawatan ultra violet, dan proses pembotolan dan pelabelan.

Bagaimana agak proses air hujan botol ini dilakukan? Marini berkata, proses mengumpulkan air hujan di Kuala Tahan lebih rumit kerana setelah dikumpulkan ia perlu dihantar ke pusat inkubator di Nahrim untuk pemprosesan dan rawatan. Ini termasuklah;

1. Menyediakan satu kawasan tadahan di Kuala Tahan dengan menggunakan bumbung yang direka bentuk khas seperti payung diperbuat daripada kanvas dengan keluasan 36 meter persegi.

2. Air hujan akan dituai dan disaring menggunakan “filter first flush” dan disalurkan ke dua tangki penyimpanan yang boleh memuatkan sehingga 2,000 liter setiap satu.

3. Ia kemudian dimasukkan ke dalam tangki untuk menjalani proses penapisan berteknologi micro nano carb sebelum disalurkan ke tangki pengumpulan.

Bangunan Tadahan Air Hujan di hutan simpan Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

Sementara itu, proses tuaian air hujan di NAHRIM pula dilakukan di bumbung Surau Taqi Al-Din di dalam kawasan Nahrim. Bumbung tersebut diperbuat daripada kanvas dengan keluasan 168 meter persegi. Air hujan yang dituai kemudiannya disalurkan ke dalam dua tangki pengumpulan.

"Air hujan akan disaring dengan first flush serta filter first flush. Air hujan dari tangki pengumpulan akan dipam ke dalam tangki pemprosesan untuk ditapis dengan micro nano carb sebelum dialir turun melalui graviti ke dalam tangki penyimpanan di inkubator,” katanya.

Proses penapisan di inkubator

Beberapa  proses sebelum pembotolan dan pelabelan perlu dilakukan bagi memastikan kualiti air hujan yang diproses menepati piawai minimum yang ditetapkan oleh KKM.

Marini yang telah enam tahun berkhidmat dengan Nahrim berkata air hujan yang dikumpul perlu melalui tiga peringkat proses penapisan iaitu melalui penapisan mikro, penapisan karbon dan penapisan ultra bagi memastikan partikel halus, mikrob dan virus dapat disingkirkan.

Bagi penapisan mikro, ia perlu kurang daripada 3.0 mikron (menapis bahan terampai yang hadir di dalam air hujan yang bersaiz antara 0.1 to 10 mikrometer), manakala penapisan ultra perlu kurang 0.01 mikron (menapis sebarang partikel yang hadir dalam air hujan yang melebihi 0.01 mikrometer termasuk bakteria and virus yang mengakibatkan penyakit.)

Secara amnya, purata saiz bakteria adalah 0.2 to 2 mikrometer dan purata saiz virus is 0.02 to 0.3 mikrometer.

Air hujan botol melalui pelbagai proses sebelum selamat diminum. - Gambar sekadar hiasan

Penapisan karbon pula, mengurangkan keasidan air hujan dan menyingkirkan bendasing daripada air hujan dengan cara penjerapan. Ia juga berfungsi untuk menyingkirkan klorin, kloramina, sebatian organik meruap dan pencemar yang yang memberi kesan kepada warna, bau dan rasa air hujan.

Ini untuk memastikan air hujan adalah tidak melebihi paras yang ditetapkan oleh KKM iaitu di antara pH 6.5 – 8.5, katanya.

Menurut Marini, selain itu, penapisan terakhir bagi memastikan mikro organisma berbahaya seperti E- Coli disingkirkan dan dimatikan, proses penapisan Ultra Violet (UV) sebanyak dua peringkat dijalankan dalam proses perawatan air hujan ini.

Penapisan UV ini berfungsi untuk menyingkirkan kebanyakan jenis bahan cemar mikrobiologi seperti bakteris, virus dan protozoa dalam air hujan.

Beliau menjelaskan, proses yang dijalankan dapat mengawal bau dan harmoni rasa air hujan yang dirawat.

“Tidak ada bahan kimia yang digunakan bagi merawat air hujan sebaliknya hanya menggunakan kaedah penapisan dan dilakukan secara natural mengikut piawaian dan standard KMM agar air selamat diminum,” katanya.

Setelah semua proses selesai baharu ia dibotol dan dilabelkan dengan jenama yang dipilih.

Bagi sumber air hujan yang diambil di Kuala Tahan, dijenamakan dengan Raindrop dan air hujan yang dikumpulkan di Nahrim dijenamakan dengan CloudRain.

Menurut Marini, setelah kajian ini selesai, pihaknya kini adalah dalam peringkat awal untuk mengkomersialkan produk air hujan terawat di pasaran.

Perancangan pelan perniagaan dan pencarian rakan startegik sedang berjalan dan kita berharap pada 2021, produk ini akan berada di pasaran.

Bagaimanapun, Nahrim juga perlu membuat perancangan teliti supaya produk yang akan dikeluarkan dapat memenuhi permintaan dan bekalan apabila dipasarkan memandangkan hujan bukan turun sepanjang masa.

Artikel Lain