SEJAK pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa Rabu, banyak syarikat mula membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah. Kelonggaran itu dibuat sebagai salah satu langkah membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan. Malah di Malaysia sendiri, sebanyak 120 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes di negara ini sebanyak 673 (setakat Selasa). ARTIKEL BERKAITAN: Perintah Kawalan Pergerakan, ini 25 sektor perkhidmatan penting negara yang tidak ditutup Lebih malang, negara turut mencatatkan dua kes kematian. Bekerja dari rumah kedengaran menyeronokkan tapi sebenarnya ia perkara sukar dilakukan kerana terdapat pelbagai anasir 'jahat' yang boleh menyebabkan kita lalai. Bagaimanapun, terdapat beberapa tip yang boleh diikuti agar anda boleh melakukan kerja pejabat seperti biasa meskipun dari rumah. 1. Tentukan batasan antara peribadi dan kerja Perkara paling penting ketika bekerja dari rumah adalah mengetahui batasan antara kehidupan peribadi dan pejabat kerana ia boleh mengelirukan anda. Bilik tidur, dapur dan televisyen boleh menjadi 'godaan' yang pada akhirnya boleh menyebabkan kerja anda tergendala. Sebaik-baiknya sediakan ruang khas agar anda boleh fokus. 2. Komunikasi dengan 'orang rumah' Ingat kelonggaran bekerja dari rumah bukan peluang untuk bersuka ria! Pemahaman ini juga perlu disampaikan kepada isteri atau suami, anak-anak atau ahli keluarga lain yang turut tinggal bersama anda. Pemahaman ini perlu dijelaskan terutamanya kepada anak-anak kerana apabila mereka melihat anda di rumah, biasanya mereka akan menyangka anda tidak bekerja. Bagi mengelakkan kerja anda terganggu, jelaskan kepada mereka agar tidak menggangu anda supaya boleh fokus terhadap kerja. 3. Kenali potensi gangguan di rumah Masalah bekerja dari rumah berbeza untuk setiap orang. Hanya diri kita sendiri yang mampu mengenali apa yang boleh membuatkan kita bersemangat dan sebaliknya. Contohnya, sesetengah orang muzik boleh membantu untuk fokus dengan lebih baik dan ada pula merasakan ia gangguan. 4. Buat senarai Sebanyak mana kita cuba fokus terhadap kerja, pasti akan ada gangguan yang sukar dielakkan. Sebaik-baiknya, buat senarai kerja atau jadual yang perlu diselesaikan untuk hari itu termasuk tempoh diperlukan. Cara ini sebenarnya sangat membantu agar anda tahu apa perlu dilakukan meskipun ada gangguan lain. 5. Berehat Jika bekerja di pejabat pun ada waktu rehat begitu juga bekerja dari rumah. Anda berhak berehat untuk makan, sembahyang atau tidur seketika. Ini akan memberi anda kesegaran sebelum meneruskan kembali kerja yang belum selesai. 6. Kerja bukan segalanya! Jika anda sudah siapkan semua tugas yang disenaraikan dan cukup waktu bekerja, anda berhak untuk menjalani kehidupan normal seperti hari kebiasaan lain. Kerja bukan segala-galanya meskipun anda tidak ke pejabat. Lakukan rutin biasa anda seperti menonton televisyen, bermain bersama anak dan sebagainya. Jauhkan diri dari beban kerja kerana bekerja dari rumah juga memenatkan dan anda berhak untuk berehat.