KITA seringkali diingatkan untuk mencuci tangan menggunakan sabun atau memakai hand sanitizer bagi membasmi kuman pada tangan. Namun, kita sebenarnya tidak menyedari bahawa kuman itu ada di mana-mana dan antara benda yang kita selalu sentuh - telefon! Sedar atau tidak, telefon adalah sarang pembiakan kuman kepada manusia! ARTIKEL BERKAITAN: Kerja dari rumah bukan untuk bersuka ria, banyak godaan... ketahui 6 tip fokus tanpa gangguan Malah kajian dilakukan turut mendapati virus mampu hidup sehingga tiga hari pada permukaan skrin telefon anda. Oleh itu, kita turut disarankan untuk membersihkan telefon setiap hari termasuklah peralatan lain yang sering kita guna seperti papan kekunci komputer, tablet serta gajet yang lain. Bagaimanapun membersihkan telefon atau gajet anda juga ada caranya kerana jika tersalah langkah ia boleh mudah rosak. Kebersihan telefon bimbit perlu sentiasa diberi perhatian. Berikut adalah perkara yang perlu diberi perhatian; 1. Jangan sembur cecair pembersih secara langsung ke telefon atau mencelupnya dalam larutan pembersih. 2. Sebaik-baiknya matikan telefon terlebih dahulu dan jangan sambungkan kepada alat pengecas. 3. Tisu basah dengan kandungan 70 peratus alkohol sangat sesuai digunakan untuk membersihkan telefon atau gajet yang lain. 4. Perah tisu basah terlebih dahulu bagi membuang cecair lebihan sebelum digunakan pada telefon anda. 5. Bersihkan dengan lembut dan jangan tekan tisu basah pada telefon. 6. Tuala kecil juga boleh digunakan untuk membersihkan gajet anda. Nampak seperti perkara remeh tetapi sebenarnya membersihkan telefon anda adalah salah satu tindakan pencegahan bagi membasmi penyebaran kuman. Pepatah juga ada menyebut lebih baik mencegah daripada mengubati.