PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu memaksa rakyat Malaysia patuh kepada arahan stay at home demi mengekang wabak Covid-19. Bak kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusannya baru-baru ini, keterbatasan yang timbul dalam kehidupan seharian nyata menjelmakan sisi kreatif rakyat negara ini. Sungguhpun ada yang kelihatan seperti ‘buang tabiat’, namun beliau kagum dengan kreativiti rakyat Malaysia yang mencipta pelbagai aktiviti bagi menghilangkan kebosanan masing-masing. ARTIKEL BERKAITAN: Bosan 3 minggu ‘terkurung’, PM kagum lihat ragam buang tabiat rakyat Malaysia – “Yakinlah, kita dapat atasi dugaan ini bersama” "Saya lihat di media sosial, ada suami yang mula memakai baju kelawar isteri. Ada yang mengayuh basikal dalam rumah. Ada juga yang mengubah ucapan saya menjadi lagu," ujarnya. Bercerita soal lagu, seorang lelaki yang menggelarkan dirinya Sheith Faikis di Facebook tampil dengan karja berjudul Covid-19 Blues. Video lagu itu turut dikongsi menerusi saluran Youtube, Gombak Hillbilies. Penyanyi lagu Covid-19 Blues. Dalam video itu, penyanyi lelaki disertai isteri dan anak perempuannya serta seekor kucing yang cukup comel dan gebu. Liriknya pula berkisar mengenai kesusahan rakyat negara ini khususnya dalam tempoh PKP. Selain lagu berentak country itu, satu kumpulan nasyid dikenali sebagai Afliq turut menghasilkan sebuah lagu mengenai Covid-19, berjudul Corona. Menurut salah seorang ahli Afliq, Salahuddin, lagu itu dihasilkan bagi memberi mesej positif berkaitan wabak berkenaan. Ahli kumpulan Afliq. Dalam penghasilan lagu itu, mereka turut menyelitkan petikan ucapan Muhyiddin sebelum ia disusuli rangkap nyanyian dan rap. "Idea asal lagu ni dari ahli kita juga, Miqdad. Kami cuba gunakan seni untuk sampaikan mesej. "Macam Miqdad sendiri, perkahwinannya juga terpaksa ditunda sebab PKP. Jadi itu dua sebab terhasilnya lagu Corona," ujarnya kepada mStar. Bercerita lanjut mengenai proses penghasilan lagu itun, ahli kumpulan yang tidak dapat bersemuka menghantar bahagian nyanyian masing-masing menggunakan rakaman dari telefon sahaja. Salahuddin berkata, Afliq menyuntik elemen muzik moden dalam lagu nasyid kumpulan itu demi memenuhi selera semasa pendengar. Malah kata Salahuddin, lagu nasyid mereka juga mengetengahkan muzik yang lebih segar serta disuntik dengan elemen rap untuk memenuhi selera semasa pendengar muzik. "Saya dengan Miqdad tinggal bersama, jadi tiada masalah. Kawan-kawan yang lain rakam suara pakai telefon sahaja, dan hantar untuk diproses. "Sebenarnya sebelum ni selalu jumpa, tak rasa terdesak sangat nak buat lagu. Bila dah ada PKP, tak dapat jumpa... rasa macam perlu untuk kami buat lagu," ujarnya lagi. Afliq yang ditubuhkan pada 2013 dibarisi lima anggota iaitu Salahuddin, 30, Muhammad Amirul Asraf Rahimi, 26, Ahmad Noor Deedat Noor Azman, 27, Mohd Miqdad Idris, 27 dan Ahmad Shamsul Effendi Abd Aziz, 27.