suria

‘Dang Isah Tandang Sari’ jadi mangsa kecantikannya sendiri... Legenda Sarawak yang ramai tak tahu

TIDAK sepopular cerita rakyat Sarawak seperti 'Puteri Santubong, Puteri Sejinjang' bagaimanapun kisah 'Dang Isah Tandang Sari' seakan-akan dipandang sepi biarpun sebenarnya ia sehebat cerita legenda Mahsuri yang dibanggakan masyarakat Langkawi.

Tambahan pula, kisah ini secara tidak langsung turut mengetengahkan kegemilangan kerajaan Saribas dan daerah Tandang Sari yang pernah wujud di Sarawak lebih 300 tahun lalu.

Menyorot kisah yang berlaku di zaman pemerintahan kerajaan Saribas sewaktu diteraju oleh Datu Temenggong Kadir yang tinggal di Tandang Sari, pemimpin berjiwa rakyat ini mempunyai seorang isteri bernama Dayang Hajar.

Sayangnya, mereka tidak dikurniakan cahaya mata biarpun telah tujuh tahun bergelar suami isteri.

Sewaktu bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong di muara Batang Saribas, Datu Temenggong yang keletihan telah tidur beralaskan sebatang buluh.

Apabila terjaga, buluh tersebut dikatakan bertukar menjadi telur dan akhirnya menetaskan seorang bayi perempuan, yang kemudian dinamakan Dang lsah.

Dang Isah membesar sebagai gadis yang sangat cantik dan disayangi ramai, namun hatinya telah dicuri oleh Awang Bunut.

Terdapat bahagian rambut Dang Isah yang ditumbuhi tujuh warna rambut dan apabila dewasa, Datu Temenggong telah bermimpi agar meletakkan hantaran 10 kati emas untuk mengahwini Dang lsah.

Makam 'Dang Isah Tandang Sari' yang masih wujud di Sarikei.

Perkara tersebut amat mendukacitakan Awang Bunut dan demi mengahwini Dang Isah, dia telah merantau untuk mencari emas sebanyak itu.

Sepeninggalan Awang Bunut, seorang nakhoda Bugis bernama Nakhoda Khar telah datang untuk mengahwini Dang lsah.

Dengan hantaran 10 kati emas, mereka pun berkahwin.

Sebulan selepas perkahwinannya, Nakhoda Khar meneruskan aktiviti pelayarannya.

Dia telah berlayar kembali ke Brunei.

Sewaktu Nakhoda Khar berlayar, Awang Bunut kembali ke Tandang Sari dengan membawa 10 kati emas untuk mengahwini Dang lsah.

Namun, segalanya telah terlambat. Pertemuan terakhir Awang Bunut dan Dang Isah itu telah disalahertikan oleh Nakhoda Khar yang berpatah balik kerana kerisnya tertinggal.

Nakhoda Khar membunuh Awang Bunut kerana cemburunya.

Dang Isah cuba membunuh diri dengan keris Nakhoda Khar yang menikam Awang Bunut tetapi keris tersebut tidak dapat menembusi perut Dang lsah.

Melihat kejadian itu, Datu Temenggong kemudian membunuh Nakhoda Khar dan kisah tragis ini berakhir dengan kematian Dang Isah yang dibelit dengan rambut tujuh warnanya sendiri, oleh ayahnya.

Kisah bangsawan Sarawak ini, telah dihidupkan semula oleh pertubuhan Maher Seni Kuching yang merungkai kisah legenda 'Dang Isah Tandang Sari' menerusi pentas teater pada November lalu.

Diberi tajuk 'Dang Isah Tandang Sari - Aku Adalah Mangsa Kecantikanku', pementasan teater hasil karya Moh Azam Rezali dan arahan Andenn Hassan ini telah menonjolkan kewujudan kisah Dang Isah Tandang Sari, yang sebelum ini hanya diketahui oleh orang zaman dahulu sahaja.

Malah berbanding 'Puteri Santubong, Puteri Sejinjang', kisah legenda Dang Isah Tandang Sari juga adalah benar-benar wujud, dan ini dibuktikan dengan terdapat makamnya di Sarikei, cuma ramai orang Sarawak tidak mengetahuinya.

Artikel Lain