HARI ini cukup bermakna buat Cikgu Bidin kerana akhirnya dia dapat juga tinggal satu bumbung bersama isteri tercinta. Sejak lima tahun lalu, Bidin kerap berulang-alik dari Bintulu, Sarawak ke Selangor kerana permohonan pertukarannya sebagai guru tidak diluluskan. Selepas lebih setahun berumah tangga, baharulah permohonan dia diterima. Isterinya Rozie yang bekerja sebagai jururawat pula kini sedang sarat mengandung dan hanya menunggu hari untuk bersalin. ARTIKEL BERKAITAN: Pondok Tanjung? Selepas 10 malam orang dah tak lalu... ada wanita cantik ajak mandi ARTIKEL BERKAITAN: Meracau setiap kali malam Jumaat… Mohd Fitri tak sangka disihir kawan sendiri! Adanya Bidin di sisi, menguatkan lagi semangat Rozie untuk menempuh cabaran bergelar ibu kepada anak sulung mereka. Seperti dijadualkan, Rozie akhirnya bersalin anak lelaki. Bayi comel itu diberi nama Muhammad Ridhuan. Selepas bersalin, Rozie berpantang di kampungnya, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Ibunya bekas bidan kampung memang mahir bab-bab menjaga orang dalam pantang. Alhamdulillah… bayi comelnya tak banyak meragam. Cuma dia akan menangis apabila lapar dan lampin basah. Selepas berpantang habis, Bidin dan Rozie meneruskan kehidupan seperti biasa. Anak mereka dijaga pengasuh berdekatan rumah sewa mereka yang terletak kira-kira 1 kilometer. Bayi akan tidur nyenyak jika berada dalam keadaan selesa dan kekenyangan namun akan menjadi pelik jika tak henti menangis. Gambar hiasan. Tapi sejak dua minggu selepas pulang dari kampung dan habis tempoh berpantang, kehidupan Rozie dan Bidin menjadi tidak tenteram. Muhammad Ridhuan tidak berhenti menangis pada tengah malam dan awal pagi seperti menanggung sakit disiksa. Bidin dan Rozie bingung dan kadang-kala mereka pun hilang sabar jadinya. Kerana anak, mereka boleh bergaduh. Tangisan pelik Sejak beberapa hari Bidin memikirkan apakah puncanya si bayi asyik menangis sedangkan tiada masalah anaknya itu lapar, kembung perut atau lampin basah. Paling membimbangkan tangisan itu cukup pelik, si anak seolah-olah menahan kesakitan yang amat sangat. Peliknya, bayi mereka mula buat perangai sekitar pukul 1.30 pagi sehingga 2 pagi. Boleh dikatakan setiap malam. Kemudian bersambung pula pukul 5.30 pagi sehinggalah selesai azan Subuh. Semua itu memberi tekanan kepada Bidin dan isterinya. Prestasi kerja kedua-dua mereka agak menurun selepas hadirnya Ridhuan. Selepas hampir sebulan masalah itu tidak juga selesai, akhirnya baharulah Bidin terfikir, ada sesuatu yang tidak kena kerana rutin anaknya menangis hanyalah pada dua waktu itu sahaja. Sewaktu sayup kedengaran suara anjing menyalak itu, dia melihat satu kelibat seperti cahaya putih terbang dari tingkap biliknya menuju ke hutan di depan rumah mereka. BIDIN GURU Perkara itu turut dikongsi kepada si isteri dan Rozie juga turut mengakui perkara serupa. Akhirnya pada suatu hari ketika si anak asyik menangis, Bidin berdiri di beranda rumah sambil menekan-nekan kepalanya yang kian sakit sementara si isteri pula asyik memujuk bayi mereka agar berhenti menangis. Ketika azan subuh menjelang, kedengaran suara anjing menyalak panjang membuatkan Bidin tergamam. Sejak dia pulang ke Selangor, suara salakan ketika azan Subuh itu selalu kedengaran namun tidak diendahkannya. Bidin fikir, anjing itu mungkin terkejut dengan bunyi kuat pembesar suara masjid berdekatan taman perumahannya itu. Tapi kali ini agak pelik selepas Bidin sendiri menyaksikan depan matanya. Sewaktu sayup kedengaran suara anjing menyalak itu, dia melihat satu kelibat seperti cahaya putih terbang dari tingkap biliknya menuju ke hutan di depan rumah mereka. Selepas kelibat lembaga berambut panjang itu melepasi kawasan rumah ibadat bukan Islam yang dapat dilihat di beranda rumahnya itu, tangisan anaknya pun berhenti. Bulu roma menegak Bidin menjadi panik dan bulu romanya mula menegak lalu dia bergegas masuk ke rumah. Diceritakan kepada isterinya itu, lalu Rozie pun turut sama menjadi kecut. Keesokan harinya Bidin bangun lebih awal lalu dia berada di beranda yang sama. Dan kali ini dia bersama kamera telefon bimbitnya merakamkan detik itu. Seperti biasa, anaknya mula menangis dan ketika masuknya azan subuh, anjing-anjing di rumah ibadat itu mula menyalak. Apa lagi… Bidin terus merakamkan suasana itu termasuklah ketika dia melihat satu kelibat putih berambut panjang terbang dari kawasan rumahnya. Malang sekali, hanya suara azan dan salakan anjing sahaja yang berjaya dirakam manakala kelibat putih tidak berjaya ditangkap oleh lensa kamera telefon bimbitnya. Maka… terjawablah sudah misteri bayi menangis seperti disiksa itu ada kaitan dengan kelibat tersebut dan salakan anjing ketika azan subuh memberi pentanda tidak baik di rumah sewaannya. Akhirnya Bidin dan Rozie memutuskan untuk berpindah. Patutlah, harga rumah sewa mereka itu agak rendah berbanding kawasan sekitar. Rupa-rupanya ia juga dihuni oleh lembaga putih berambut panjang yang mungkin selama ini turut mengganggu penyewa lain. Bidin dan Rozie memutuskan berpindah rumah dengan segera dan Alhamdulillah, selepas itu Ridhuan tidak menangis seperti dahulu lagi. View this post on Instagram Dengar baik-baik rakaman video ni yang dikirimkan pembaca #mstaronlineofficial . Akhirnya barulah Cikgu Bidin tahu sebab apa anak dia kerap menangis. Semoga ia satu pengetahuan berguna buat kita semua. Swipe Up di IG Story dan baca kisahnya. #mstaronline #mistik #misteri A post shared by mStar Online (@mstaronlineofficial) on Apr 3, 2019 at 4:26pm PDT