SEBUAH agensi media, RBC di Rusia ketika memetik majalah rasmi Kementerian Pertahanan Rusia memberitahu, tentera negara itu menggunakan taktik paranormal untuk membantu askar mereka mempelajari bahasa asing. Selain itu, taktik tersebut turut digunakan untuk merawat tentera cedera dalam peperangan; mengesan serangan hendap, lokasi persembunyian musuh dan senjata; mendengar perbualan rahsia dan mengganggu telekomunikasi termasuk gelombang radio serta televisyen. Rusia juga nampaknya mempunyai pakar yang menggunakan telepati untuk bertanya kepada orang tahanan dan memberi arahan kepada ikan lumba-lumba. Penggunaan teknik telepati boleh menentukan kekuatan dan kelemahan sebenar tentera musuh. Menurut majalah ketenteraan Armeisky Sbornik itu, angkatan bersenjata Rusia pernah mengerahkan aset paranormal di Chechnya. Majalah tersebut turut mendakwa terdapat beberapa eksperimen dengan menggunakan teknik itu berjaya dilaksanakan. "Pakar psikik didakwa berjaya membaca dokumen, ditulis dalam bahasa asing dan terkunci dalam peti besi. Mereka juga berjaya mengenal pasti pengganas dan calon pengganas," menurut laporan Armeisky Sbornik. Ketua Jabatan Analitis di majalah Soldaty Rossii (Askar Rusia), Anatoly Matviichuk memberitahu RBC bahawa pasukan paranormal berhak mendapat tempat dalam tentera negara itu. Beliau menjelaskan bahawa ahli sains Soviet bekerja untuk mengembangkan teknik paranormal tersebut terutama pada tahun 1960-an dan 1980-an. Bagaimanapun, ketua suruhanjaya anti-pseudosains di Akademi Sains Rusia, Evgeny Aleksandrov berkata, 'parapsikologi tentera' adalah mengarut. - Meduza