BERTUGAS pada waktu malam bukan satu perkara yang dapat dilaksanakan semua individu kerana umumnya kitaran waktu kerja normal bermula dari pagi hingga ke petang. Berbeza dengan pengawal keselamatan, secara umumnya mereka perlu bekerja tak kira siang mahu pun malam mengikut jadual kerja yang ditetapkan majikan. Demikian yang dilalui Ashraf (bukan nama sebenar), seorang graduan lepasan universiti tempatan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan secara sambilan di sebuah masjid di Selangor. Sepanjang tempoh menjalankan tanggungjawabnya mengawal kawasan masjid itu, pemuda ini tidak terlepas berdepan dengan peristiwa aneh. Biasanya apabila tiba syifnya waktu malam, usai solat Isyak, dia ditugaskan di bahagian kaunter informasi. Ashraf hanya duduk sambil memerhatikan jemaah pulang peringkat demi peringkat selepas mereka menunaikan solat. Namun, pada suatu malam, dia mengalami peristiwa yang tidak diduga ketika malam semakin larut sewaktu jemaah sudah meninggalkan masjid. Ketika sedang leka di kaunter informasi dalam suasana semakin sunyi, tidak semena-mena Ashraf didatangi seorang lelaki dari arah belakang yang tiba-tiba meludah di kepalanya sehingga membuatkan dia terpinga-pinga. Asharaf terkejut kenapa dia tiba-tiba berada dalam masjid? Gambar hiasan. Ashraf segera menoleh, namun sekelip mata lelaki misteri itu melarikan diri sehingga bayangnya pun tidak kelihatan. Sungguh aneh dengan tindakan lelaki itu sehingga membuatkan Ashraf tertanya-tanya kenapa individu itu meludahnya? "Cis! laju betul dia lari. Suka hati je meludah atas kepala aku, kalau dapat memang siap aku kerjakan kau," dengus Ashraf. Kejadian itu membuatkan Ashraf berasa tidak sedap hati, malahan meremang bulu romanya memikirkan hal itu namun untuk memastikan tugasnya tidak terganggu dia enggan ambil peduli apa yang berlaku. Dia beranggapan lelaki itu mungkin seorang yang tidak waras. Waktu terus berdetik pada jam dinding ditemani angin malam yang sejuk menusuk ke tulang. Ish, semalam rasanya aku dekat kaunter, macam mana boleh ada dalam masjid pulak? ASHRAF PENGAWAL KESELAMATAN Namun, beberapa jam sebelum azan Subuh, entah kenapa Ashraf merasakan tubuhnya lesu tidak bermaya hingga membuatkan dia tersandar di kerusi dan terlelap. "Dik, bangun. Dah masuk waktu Subuh, kami nak solat berjemaah ini," kejut seorang lelaki tua yang juga jemaah masjid berkenaan. Ashraf terpinga-pinga bangun selepas dikejutkan pakcik tersebut. Dan lebih mengejutkan, dia terbaring tidur di tengah ruangan solat di dalam masjid itu. "Ish, semalam rasanya aku dekat kaunter, macam mana boleh ada dalam masjid pulak?" kata hatinya dengan penuh persoalan. Perasaan gelisah menyelubungi Ashraf dan selepas itu, dia tergesa-gesa bangun mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh. Pada pagi itu, dia ke bilik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi pada dirinya. Apabila diteliti semula visual yang dirakam, didapati tiada siapa yang datang ke kaunter informasi ketika dia bertugas, hanya dia sahaja di situ. Persoalan demi persoalan menyelubungi benak fikirannya. Persoalannya, mengapa susuk tubuh lelaki misteri yang meludahnya itu tidak kelihatan dalam rakaman tersebut? Bagaimanakah pula dirinya boleh berada di ruang solat? Ashraf mula bermuhasabah diri, tetapi dia mula terfikir mungkinkah lelaki misteri itu menjadi punca dia 'diangkat' ke tempat solat atau mungkin ada sesuatu yang 'membawanya' dalam keadaan tidak sedarkan diri? Selepas kejadian yang menimpa dirinya, Ashraf mula bertanyakan beberapa rakan sekerjanya jika mereka pernah melalui pengalaman sama dan tidak syak lagi bukan dia seorang yang menjadi mangsa insiden sedemikian. Namun peliknya, sampai ke hari ini Ashraf tidak mengetahui apakah punca dia diangkat ke dalam masjid dan macam mana ia boleh berlaku? Bagaimanapun peristiwa itu membuatkan Ashraf mengambil postif kejadian berkenaan yang mungkin berkehendakkan dia agar tidak meninggalkan pegangan Islam selepas diangkat ke dalam masjid itu.