suria

Rakaman suara wanita menangis belum cukup seram... Lelaki ini dedah kisah cekik diri sendiri, mata terjegil

Perkongsian video yang secara tidak sengaja terakam suara wanita menangis oleh Mohammad Hattaf Junaidi menjadi tular di laman sosial sejak Selasa lalu.

PENULARAN video dipercayai suara wanita sedang menangis sejak Selasa lalu cukup menyeramkan apatah lagi anda menerima video itu melalui Whatsapp pada  tengah malam!

Pasti ramai sudah menonton video berdurasi tujuh saat dirakamkan oleh seorang lelaki yang ketika itu ingin ke tandas di asrama tempat tinggalnya.

Suara wanita menangis itu masih kekal misteri namun pemilik asal video berkenaan, Mohammad Hattaf Junaidi, 26, ketika dihubungi mendedahkan kejadian itu bukan kali pertama berlaku di asramanya yang terletak di Kota Kinabalu, Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN: Akibat mulut celupar... 'tangan sejuk' di gua batu kapur di Temerloh pegang kaki pendaki

ARTIKEL BERKAITAN: Anjing menyalak ketika azan subuh beri petanda, anak Bidin menangis seperti disiksa

"Sudah empat tahun saya tinggal di sini dan ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku dan mungkin faktor asrama saya terletak di kawasan bukit dan hutan serta berdekatan laut membuatkannya 'keras'.

"Seperti mana kita tahu, kawasan yang saya sebutkan itu adalah tempat tinggal makhluk lain seperti jin jadi tidak hairan ada gangguan berlaku," katanya.

Perkongsian Hattaf di Twitter.

Menceritakan kejadian sebenar, Hattaf berkata, sekitar pukul 1.30 pagi dia kebetulan hendak ke bilik air dan apabila melangkah ke luar biliknya dia mula rasa meremang sehingga ke bahagian tengkuk.

Kebetulan kata anggota badan beruniform itu, dia membawa telefon untuk merakamkan video untuk dikongsi Instastory dan secara tidak sengaja merakamkan suara wanita berkenaan.

"Apabila saya dengar suara orang menangis saya terus menekan butang rakaman pada telefon tetapi tidak pasti suara itu datang dari arah mana.

"Kerana berasa takut saya kembali ke bilik sebelum ada seorang rakan keluar ke tandas dan apabila dia kembali ke bilik baru saya suruh dengar suara daripada video yang saya rakam.

"Rakan-rakan lain juga terdiam apabila mendengar rakaman itu sehinggakan kami semua tidak dapat tidur kerana mula berasa takut," ujarnya.

Lebih menyeramkan kata Hattaf, ketika mereka cuba melelapkan mata, mereka terdengar suara bunyi burung hantu yang kuat di luar tingkap.

Saya tiba-tiba terbangun dan mencekik tengkuk sendiri sebelum terbaring sambil mata terjegil memandang siling dan badan menjadi melengkung seperti diangkat seseorang.

MOHAMMAD HATTAF JUNAIDI

"Empat tahun saya duduk sini, itu adalah kali pertama saya dengar suara burung hantu begitu kuat... Saya ingat saya seorang yang dengar tetapi rupa-rupanya semua pun dengar," ujarnya.

Kata Hattaf lagi, gangguan dialaminya itu mungkin disebabkan dia terlanggar sesuatu ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan sekitar asrama tempat tinggalnya sehari sebelum kejadian.

Pernah dirasuk... Cekik diri sendiri, mata tercegil sambil meracau

Mengimbau beberapa kejadian pelik di asramanya itu, Hattaf berkata, dua tahun lalu dia pernah mendapatkan rawatan secara perubatan Islam selepas diganggu makhluk halus yang menyebabkan dia sering meracau apabila menjelang waktu Asar sehingga ke Maghrib.

Kata Hattaf, sikapnya akan menjadi pasif dan pendiam selain cepat mudah marah apabila ditegur oleh orang lain menyebabkan dia lebih suka menyendiri.

"Apabila tiba waktu petang saya suka menyendiri dan ketika itu juga saya akan nampak ada 'benda' mengelilingi saya sehingga menyebabkan saya meracau.

"Ada satu kejadian ketika tidur saya tiba-tiba terbangun dan mencekik tengkuk sendiri sebelum cuba dileraikan oleh rakan sebilik.

Hattaf pernah dirasuk dua tahun lalu.

"Tidak cukup itu, cerita teman-teman, saya terbaring sambil mata terjegil memandang siling dan badan menjadi melengkung seperti diangkat seseorang," katanya.

Sepanjang tempoh itu kata anak kelahiran Manjung, Perak ini, badannya akan dipenuhi dengan lebam-lebam selain berasa lemah ketika bangun akibat meracau pada malam sebelumnya.

"Saya tidak tahu sama ada suara wanita yang didengari mempunyai kaitan dengan apa berlaku pada saya sebelum ini tetapi pernah ada satu kejadian saya mengangkat barang ke aras bilik seorang diri sebelum rasa ada suara memanggil saya ketika menaiki tangga," jelasnya.

Bagaimanapun kata Hattaf selepas beberapa kali mendapatkan rawatan secara Islam, keadaannya beransur pulih namun dia terkejut apabila diberitahu apa berlaku pada dirinya adalah perbuatan khianat dan dendam seseorang kepadanya.

"Rupa-rupanya ada banyak 'benda' dalam badan saya akibat perbuatan khianat ditambah dengan keadaan sekeliling yang 'keras' membuatkan keadaan saya bertambah teruk.

"Saya juga akui mudah lemah semangat menyebabkan anasir-anasir jahat mudah menyerap ke dalam badan saya. Alhamdulillah saya kembali pulih walapun terpaksa mengambil tempoh agak lama menjalani rawatan," katanya.

Tak sangka perkongsian menjadi tular

Bercakap mengenai perkongsiannya itu, Hattaf berkata, ada di segelintir pihak mendakwa video itu adalah hasil edit atau sengaja direka-reka namun menyangkal perkara itu.

Katanya, dia tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian malah tindakannya berkongsi di laman sosialnya bukan bertujuan menakutkan sesiapa.

"Saya cuma berkongsi kisah benar yang berlaku kepada diri saya dan sekiranya ada yang tidak percaya itu terpulang kepada individu.

"Ada juga marah apabila saya berkongsi info daripada penuntut universiti yang pernah mengalami kejadian serupa sehingga menyangka rakaman saya kongsi itu berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia tetapi ia tidak benar.

"Saya rasa bersalah pula apabila ada yang mesej saya tidak mahu melanjutkan pengajian ke universiti berkenaan kerana salah faham itu," katanya.

Misteri

Artikel Lain