suria

Sultan Perak hilang di batu dalam masjid ini... Puas penduduk kampung cari

Seakan-akan batu nisan dalam sebuah masjid tapi ia sebenarnya batu tanda lokasi kehilangan Sultan Mansur Shah 1 yang memerintah Perak suatu ketika dahulu.

DI masjid Kampung Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar, Perak, ada sedikit keganjilan apabila terpacak sebuah batu seakan-akan batu nisan di dalam masjid tersebut.

Bagi orang luar yang pertama kali datang solat ke masjid itu pasti berasa hairan dan tertanya-tanya, bagaimana pada bahagian saf paling hadapan, terpacak sebuah batu nisan.

Batu nisan siapa? Mengapa di dalam masjid letaknya? Dan lebih aneh, batu nisan itu hanya satu, bukan dua buah seperti kebiasaannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk nak ke kebun, jumpa selonggok emas di Bukit Rahmat

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek tua, lembaga 'jahat hitam' jadi tanda tanya... Klinik desa alami 'episod kejadian aneh' terpaksa ditutup!

“Ini bukan batu nisan. Sebenarnya, ia batu tanda,” begitu penjelasan Haji Mokhtar yang merupakan siak di masjid tersebut.

Lalu beliau menceritakan satu kisah yang menjadi pencetus mengapa batu tersebut terpacak di dalam masjid itu.

Kisahnya berkisar tentang Sultan Mansur Shah 1, yang diputerakan di Bentan, Riau sewaktu zaman pemerintahan Sultan Melaka. Baginda merupakan Sultan ke-2 yang memerintah Perak antara tahun 1549 sehingga 1577.

Setelah kemangkatan Sultan Mudzaffar Shah di Tanah Abang, Lambor, Sultan Mansur Shah 1 ditabalkan menjadi Sultan Perak ke-2.

Haji Makhtar yang juga siak di Masjid Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar menceritakan misteri mengenai batu tanda dalam majlis tersebut.

Baginda kemudian bersemayam di Kampung Kan Kong (kini dikenali Kota Lama Kanan).

Jadi, apa kaitan Sultan Mansur Shah 1 dengan batu tanda di dalam masjid ini?

“Batu tanda ini boleh dikatakan sebagai batu tanda peringatan untuk Sultan Mansur Shah apabila baginda ghaib di sini,” jawab Haji Mokhtar yang sudah lebih 15 tahun berkhidmat di masjid ini.

Ghaib?

Begini ceritanya. Ia berlaku pada hari Jumaat sewaktu Sultan Mansur Shah 1 datang melawat kampung Kota Lama Kanan.

Setelah beramah mesra dengan rakyat jelata, baginda singgah dahulu di masjid ini untuk solat Jumaat sebelum berangkat pulang.

Dikatakan sewaktu sedang beriktikaf menunggu khutbah Jumaat, para jemaah mendapati baginda tiba-tiba hilang, tidak lagi kelihatan.

Puaslah semua orang cuba mencari Sultan Mansur Shah 1, namun tidak ditemui. Jasad baginda ghaib begitu saja tanpa disedari sesiapa.

Sejak itu juga, kelibat baginda tidak pernah lagi ditemui dan rakyat menganggap baginda sudah mangkat, walaupun jasadnya tidak dijumpai.

Terdapat juga versi lain tentang kisah ini. Kononnya ada yang mengatakan Sultan Mansur Shah 1 diculik.

Pemandangan masjid dari luar.

Semua jemaah ketika itu telah dipukau hingga tiada sesiapa yang perasan baginda diculik. Namun, tidak ada sesiapa dapat memastikan kesahihan cerita tersebut.

“Di sinilah tempat terakhir baginda dilihat sebelum hilang. Untuk memperingati Sultan Mansur Shah 1, batu peringatan ini dipasang di sini, tempat di mana baginda ghaib.

“Batu ini dipasang atas titah Sultan Perak ke-28 iaitu Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I.

“Orang dulu-dulu pasangkan batu nisan ini hanya sebagai tanda ingatan terhadap baginda kerana baginda tiada makam,” jelas Haji Mokhtar.

Disebabkan batu tanda ini, segelintir orang luar menggelar masjid ini sebagai ‘masjid keramat’.

Di sebalik kisah batu nisan dalam masjid, ada beberapa kisah lain berkaitan masjid lama ini yang pernah dibakar penjajah sekitar tahun 1875-1876 ketika perang Perak meletus.

Masjid ini turut diperkatakan dengan kisah banjir besar yang melanda pada tahun 1957.

Dikatakan ketika bah melanda, limpahan air sungai Perak telah menenggelamkan kawasan sekitar tetapi anehnya hanya masjid ini yang tidak ditenggelami banjir.

Ia menjadi tempat penduduk kampung berteduh daripada bah yang menenggelamkan rumah mereka ketika itu.

Selain itu, ada satu lagi kisah misteri yang berlaku pada tahun 2007. Ketika itu, datang orang luar solat di masjid ini. Selepas solat, dia merakamkan gambar sekitar masjid sebagai kenang-kenangan.

Setelah dibelek gambar-gambar yang diambilnya, dia terkejut apabila melihat sesuatu yang pelik dalam salah satu gambar tersebut.

“Dalam gambar itu di bahagian atas bumbung masjid, ada bayangan lembaga seakan-akan manusia yang berpakaian seperti pahlawan Melayu zaman dulu, siap berkeris.

“Saya pernah ditunjukkan gambar itu. Memang jelas kelihatan bayangan seakan-akan pahlawan dalam gambar tersebut. Kami tertanya-tanya juga, siapa agaknya jelmaan dalam gambar itu,” ujar Haji Mokhtar tentang kelibat pahlawan dalam masjid itu yang kekas misteri sehingga kini.

Sultan Mansur Shah, mistik, misteri

Artikel Lain