suria

Padah seru roh, main 'Spirit of the Coin' - “Badan aku menggeletar... suruh benda tu balik tapi syiling bergerak ke NO”

Permainan Spirit of the Coin adalah perbuatan syirik dalam Islam. Foto Sekadar Hiasan

PERASAAN ingin tahu seorang pengguna Twitter Khalid Amir bersama tiga rakannya tentang kisah seram tentang dakwaan seorang pelajar membunuh diri akibat tekanan di kampus mereka mengundang padah.

Mana tidaknya, keempat-empat mereka mengalami malam yang sangat menyeramkan apabila mencuba permainan Spirit of the Coin yang kononnya dapat berhubung dengan roh tergantung menggunakan syiling.

ARTIKEL BERKAITAN: Lembaga hitam ganggu jemaah wanita, pengalaman seram tingkat tiga penginapan Aziziyah

Cerita Khalid, situasi bertukar tegang apabila mereka berjaya memanggil roh tersebut namun ia enggan pulang ke tempat asalnya apabila ingin menamatkan permainan itu.

"Permainan ini untuk sesiapa yang jenis rasa, nampak dan dengar. Ada empat orang yang berani sahut cabaran itu termasuk aku (jenis nampak), Dodo (dengar), Azi (rasa) dan Capang (mendengar dan merasai). Permainan ini terlalu bahaya, bukan macam Jumanji (judul filem) tetapi 'Jumainantu'.

Seseorang hembus di belakang tengkuk, bunyi getap gigi

Bercerita mengenai pengalaman seram itu, Khalid memberitahu ketika rakannya bertanya tentang siapa di antara mereka boleh melihat kelibat makhluk halus dan terkejut apabila syiling bergerak mengeja namanya.

"Masa ini badan aku menggeletar... Takut nak buka mata! Kawan aku bertiga suruh aku buka mata dan perlahan-lahan saya ikut permintaan mereka.

Permainan ini selalunya melibatkan beberapa orang. Foto sekadar hiasan

"Selepas melihat kertas dan kedudukan syiling, aku memandang ke arah Dodo dan aku hampir tersentak dan mengangkat jari daripada syiling apabila terlihat kelibat mengerikan tanpa mata dan berambut panjang sedang memerhati ke arah Dodo.

"Apabila beralih ke arah Capang pula ternampak kelibat berbulu tetapi wajahnya gelap dan di belakang Azi pula seorang wanita seperti Hantu Kak Limah berbaju Sari," ceritanya.

Lebih mencemaskan kata Khalid, dia terasa seperti ada seseorang menghembus di belakang tengkuknya selain bunyi mengetap gigi seperti kesejukan.

Tidak mahu menunggu lama, Khalid meneruskan soalan dengan bertanya mengapa 'benda' itu berkeliaran di sekitar kawasan kampusnya dan jawapan diperolehinya sangat mengejutkan.

Mana tidaknya kata Khalid, jawapan itu memberitahu rohnya digantung selain dipuja oleh bekas pelajar di kampus tersebut.

Aku minta izin untuk menutup permainan serta meminta 'benda' itu pulang ke tempat asalnya namun jawapan itu beralih ke petak NO membuatkan kami cemas!

KHALID AMIR

"Kami berempat saling berpandangan dan aku minta izin untuk menutup permainan serta meminta 'benda' itu pulang ke tempat asalnya. Namun jawapan itu beralih ke petak NO membuatkan kami cemas sebelum Dodo cuba bertanya mengapa ia tidak mahu pulang.

"Syiling tetap bergerak memberi jawapan dan 'benda' itu memberitahu aku tahu bagaimana untuk menghantar dan membebaskannya... Aku tersentak!," ujarnya.

Roh tak mahu pulang

Walaupun cemas dengan situasi itu, Khalid memberitahu mereka berjaya menghalau roh itu pulang dan nampak makhluk yang berada di sekeliling mereka kebelakang dan lenyap.

"Kami pun angkat jari daripada syiling sebelum mengemas kertas dan mengambil syiling untuk dibakar namun apabila bangun untuk buka lampu tiba-tiba satu hostel blackout!

"Aku mengucap dan beristifar sebab kami tahu permainan kami tadi memang syirik. Sebab kau berhubung dengan alam ghaib sebelum Capang dan Azi memberitahu terdengar sesuatu seperti sedang mendengus marah. Aku mula goyang sebab kami semua tahu dari mana ia datang," katanya.

Perkongsian Khalid di Twitter mengenai kisah itu mendapat lebih 9,000 ulang kicau.

Ceritanya lagi, mereka cuba untuk tidak panik dan cuba meminta maaf sebelum Khalid menyebut; “Kau adalah makhluk diciptakan oleh Allah SWT dan aku adalah makhluk nyata yang diciptakan juga oleh Allah SWT. Aku meminta izin kepada pencipta yang Maha Esa untuk membebaskan kau dari tergantung dari segala pemujaan manusia terhadap kau”.

Sejurus selepas itu katanya, mereka berempat dapat melihat satu persatu makhluk itu terbang ke tempat gelap sebelum hilang dari pandangan mereka.

"Inilah risiko jika bermain game ini... Jika pemain angkat jari daripada duit syiling, roh itu akan ikut kita balik dan akan sentiasa menganggu kita seumur hidup kerana tidak menghantarnya pulang.

Pun begitu kata Khalid, sebagai umat Islam, dia sedar permainan tersebut merupakan perbuatan syirik dan berdosa di sisi Allah dan meminta sesiapa sahaja tidak melakukannya walaupun atas nama 'suka-suka kerana ia boleh menyebabkan aqidah seseorang terpesong.

"Alhamdulillah masing-masing sudah pun bertaubat," katanya mengakhiri kisah yang dikongsi di Twitter miliknya.

Misteri, Kampus, Spirit of the Coin

Artikel Lain