suria

Lembaga hitam ganggu jemaah wanita, pengalaman seram tingkat tiga penginapan Aziziyah

Kisah hotel dengan kejadian pelik dan seram turut berlaku di Makkah. Foto Sekadar Hiasan

MUSIM haji tiba lagi. Kumpulan pertama jemaah haji sudah pun berlepas pada 4 Julai lalu.

Teringat pelbagai pengalaman yang pernah dilalui ketika mengerjakan ibadat haji, sama ada ketika bergelar jemaah mahupun menggalas tugasan menyantuni duyufurahman.

Segala-galanya manis belaka. Banyak yang boleh dijadikan pengajaran, teladan dan sempadan. Hakikatnya kita perlu sentiasa beringat kerana segala yang terdetik di dalam hati boleh menimpa diri sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Perempuan ini susah pak” - Seram! Ibu Aliff Syukri disihir, meronta-ronta diganggu 6 jin dari gunung

Usah bercakap besar, elak bertelagah dan jangan sesekali memandang rendah pada jemaah lain. Jika kita sihat, bersyukurlah, jika diberi kekuatan teruskan berdoa agar ibadat dan amalan dapat disempurnakan sebaik-baiknya.

Tidak mahu memikirkan yang pahit, seronok lagi teringat kisah manis dan kadangkala perkara yang boleh dikatakan mistik.

Selalunya kita ingat di Makkah dan Madinah bebas daripada perkara seumpama itu, tetapi setelah berlaku pada diri sendiri, barulah saya terfikir bahawa kisah seperti itu ada di mana-mana saja.

Kisah yang hendak dipaparkan minggu ini berlaku di sebuah penginapan di Aziziyah, yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Masjidil Haram. Aziziyah, selalunya menjadi perhatian jemaah haji untuk tinggal seketika bagi memudahkan mereka berjalan kaki ke Mina untuk melontar jamrah pada hari-hari tasyrik.

Justeru, saya dan hampir 200 jemaah dari sebuah agensi pengendali haji tinggal di sebuah hotel yang terletak kira-kira 700 meter dari tempat melontar jamrah di Mina. Kami menghuni hotel itu selama 10 hari.


Ketika berada di Makkah kita perlu sentiasa beringat kerana segala yang terdetik di dalam hati boleh menimpa diri sendiri.

Pada 2016, saya pernah tinggal di hotel yang sama tetapi tidak pula timbul pelbagai cerita dan pengalaman yang terkesan pada diri. Pada 2017, saya dikejutkan apabila seorang jemaah mengatakan tempat itu keras dan ada jin.

“Ana hotel ini keras ke?” tanya seorang jemaah ketika bertemu saya selepas makan tengah hari.

“Tak tau pulak pasal tu. Tahun lepas Ana duduk di sini juga, Alhamdulillah okay saja,” balas saya ringkas.

“Kenapa ye?” tanya saya.

“Ada orang kata, tingkat tiga ada hantu,” ujar jemaah itu.

“Taklah. Tahun lepas (2016) Ana duduk tingkat tiga. Tapi tak de pulak apa-apa berlaku,” ujar saya penuh yakin.

Pada 2017, saya duduk di tingkat empat hotel berkenaan.

Namun, pada esok malamnya, usai solat Isyak berjemaah dan menikmati hidangan makan malam, saya bersembang seketika dengan jemaah di ruang lobi. Tidak lama selepas itu, saya naik ke bilik dan melihat rakan sebilik sedang berbaring sambil bercerita.

Mereka menyapa saya dan mengatakan sudah mengantuk. Saya masuk ke tandas seketika. Suara jemaah paling berusia di dalam bilik itu mengingatkan saya agar tidak menutup pintu bilik air dan biarkan lampu terbuka. Sebenarnya saya tidak selesa jika pintu bilik air dibuka tetapi akur dengan permintaan yang lain.

Saya terkejut apabila dikatakan sebegitu. Saya cakap saya bermimpi buruk. Seperti ada sesuatu yang mahu mengejar saya.

RAIHANAH ABDULLAH

Tidak lama selepas itu, saya naik ke katil lantas menarik selimut. Hampir pukul 11 malam ketika itu. Saya tidur dan bermimpi. Tidak sampai satu jam tidur, saya menjerit ketakutan.

Namun, tidak seorang pun terjaga. Saya lihat bilik itu gelap pekat. Saya berpeluh ketakutan. Saya bangun menutup pintu bilik air tetapi membiarkan lampu di dalamnya terbuka.

Pukul 3 pagi, semua jemaah bangun dan kakak yang tidur paling hampir dengan saya bertanya.

“Kenapa Ana menjerit semalam? Kakak tengok Ana macam orang nak menurun…” ujar kak Zai.

Saya terkejut apabila dikatakan sebegitu. Saya cakap saya bermimpi buruk. Seperti ada sesuatu yang mahu mengejar saya.

Kak Zai pula mengatakan, dia ternampak seperti lembaga hitam masuk ke dalam bilik itu sebelum saya menjerit.

“Kakak tak berapa tidur semalam. Kakak perhatikan Ana,” ujar kak Zai.

“Kenapa tak kejutkan Ana? Kenapa tak tepuk saja badan Ana?” soal saya bertalu.

“Kakak pun terasa takut juga dan terus baca ayat Kursi serta al-Fatihah,” katanya dengan nada agak gentar.

Penulis bangun menutup pintu bilik air tetapi membiarkan lampu di dalamnya terbuka.

Saya terus meluahkan yang terbuku di hati dan meminta agar pintu bilik air ditutup rapat sebelum tidur. Alhamdulillah, semua setuju.

Namun, beberapa hari selepas itu, seorang lagi jemaah sebilik dengan saya menceritakan pengalamannya sejurus solat Subuh.

“Saya baru hendak tidur, tapi terasa dihempap lembaga hitam, saya terasa lemas dan terus membaca ayat-ayat suci,” ujar Ina.

Dia turut bertanya saya adakah saya terasa dihempap lembaga, saya katakan tidak, saya cuma bermimpi sesuatu mengejar saya. Selepas kejadian itu, Ina nampak ketakutan juga kerana sukar tidur selepas dihempap lembaga hitam.

Kami sepakat merahsiakan peristiwa dilalui itu kepada jemaah lain kerana bimbang mereka ketakutan. Namun, ada beberapa jemaah bertanya adakah tempat itu dihuni jika bukan pada musim haji?

Pertanyaan itu menyebabkan saya bertanya beberapa peniaga di kedai runcit berhampiran hotel itu.

Menurut peniaga berkenaan, hotel itu selalunya dihuni oleh warga Pakistan, India dan Turki pada musim umrah. Namun, adakala hotel itu kosong kerana ia hanya digunakan ketika umrah dan bukan musim haji.

Kejadian yang dilalui tidak habis di situ saja kerana kisah sepasang suami isteri turut menimbulkan tanda tanya dan agak menggemparkan jemaah lain.

***Raihanah Abdullah ialah mutawif dan pembimbing jemaah haji wanita.

Makkah, Madinah, ayat Kursi

Artikel Lain