suria

Jika terserempak wanita Inggeris berpakaian era 1950-an, mungkin itu Nona Baker... pelakon pernah kaku ketika ‘shooting’

Ramai mendakwa pernah terlihat kelibat Nona Baker di kawasan muzium.

SUNGAI Lembing yang terletak di Kuantan, Pahang, dahulunya pernah digelar sebagai kota El Dorado Timur pada zaman kegemilangannya dengan aktiviti perlombongan bijih timah antara tahun 1920 sehingga 1950-an.

Terletak hampir 30 kilometer dari bandar Kuantan, Sungai Lembing yang satu ketika dahulu menjadi bandar paling maju kerana hasil peribuminya kini hanya menjadi bandar sepi dengan peninggalan sejarah perlombongan yang pernah memonopoli pasaran dunia dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Padah seru roh, main 'Spirit of the Coin' - “Badan aku menggeletar... suruh benda tu balik tapi syiling bergerak ke NO”

Bandar ini mula merundum setelah kejatuhan harga bijih timah di pasaran dunia  sebelum aktiviti perlombongan dihentikan pada penghujung tahun 1980-an.

Jika berkunjung ke Sungai Lembing, selain dari terowong bijih timah, salah satu tempat popular adalah Muzim Sungai Lembing yang dibuka untuk pengunjung pada tahun 2001.

Muzium ini asalnya adalah rumah kolonial untuk pengurus besar Eropah yang menguruskan perlombongan bijih timah di sini. Pada zaman dahulu, rumah ini digelar ‘The European Bungalow’. Pelbagai peralatan artifak dan sejarah Sungai Lembing dipamerkan di muzium dua tingkat ini.

Muzium Sungai Lembing yang merupakan rumah kolonial pengurus lombong dan pernah didiami Nona Baker dan abangnya.

Jika anda berkunjung ke muzium ini, bermacam informasi anda dapati. Oh ya, jika anda terserempak dengan wanita Inggeris yang berpakaian gaun putih seperti tahun 1950-an, anda jangan berasa pelik. Mungkin kelibat wanita itu adalah Nona Baker. Siapa Nona Baker?

“Dah ramai yang pernah terserempak dengan bayangan wanita Inggeris itu. Selalunya ia muncul sekilas pandang dan hilang begitu saja. Tidak mengganggu pun,” ujar Pak Itam, salah seorang penduduk Sungai Lembing yang sering membawa pengunjung melawat kawasan bersejarah di sekitar kawasan ini.

Pernah ketika membawa rombongan pelajar sekolah, Pak Itam memberikan taklimat tentang gambar-gambar yang dipamerkan di dalam muzium ini. Ketika itu, salah seorang pelajar memberitahu, sebentar tadi dia terserempak dengan seorang wanita Inggeris yang rupanya sama seperti gambar yang digantung pada dinding dalam muzium itu.

Bila mendengar kata-kata pelajar itu, Pak Itam hanya tersenyum. Dia tidak hairan sebab memang sudah ramai yang nampak jelmaan wanita Inggeris bergaun putih itu. Wajahnya sama seperti foto yang dipamer dalam muzium itu. Ia adalah foto Nona Baker yang merupakan adik kepada V.B.V Baker.

V.B.C Baker merupakan pengurus besar yang pernah ditugaskan menjaga aktiviti perlombongan di Sungai Lembing. Muzium ini adalah rumah tempat tinggal kedua beradik ini.

Satu-satunya buku yang menceritakan kisah Nona Baker.

“Bukan hendak reka cerita, tapi sudah ramai yang nampak jelmaan Nona Baker sama ada di muzium itu atau di sekitar kawasan lombong,” ujar Pak Itam yang merupakan bekas pelombong di sini.

Menurut Pak Itam lagi, kisah peralatan lama dalam muzium itu seperti mesin taip, mesin kira dan telegraf yang tiba-tiba berbunyi sendiri merupakan perkara biasa yang sering kedengaran. Para petugas juga sudah lali dengan bunyi-bunyi ganjil tersebut.

Sebelum ini, ramai syarikat produksi yang menjadikan kawasan ini sebagai lokasi penggambaran mereka turut mengalami kisah misteri.

“Mana yang shooting dekat tangga muzium tu mesti akan jadi benda pelik. Selalunya pelakon akan jadi kaku dan menggigil, tak mampu nak lafazkan dialog.

"Shoot banyak kali pun tak jadi di situ. Saya sendiri lihat kejadian itu. Dan banyak juga berlaku filem yang mereka shoot di kawasan ini hilang, tak tahu ke mana pergi,” ujar Pak Itam yang selalu membantu team produksi drama atau filem di Sungai Lembing ini.

V.B.C Baker, abang Nona Baker yang merupakan pengurus lombong.

Menurut Pak Itam lagi, dahulu di kawasan bukit berdekatan lombong tersebut, ada sebuah kolam kecil.

“Dulu orang selalu nampak ada perempuan turun dari bukit itu dan mandi di kolam itu. Selepas itu ia ghaib. Orang percaya ada perkampungan halus di kawasan bukit itu,” ujar Pak Itam yang dahulunya berbelas tahun bekerja di lombong tersebut.

Bagaimana pula dengan jelmaan wanita Inggeris yang menyerupai Nona Baker tadi?

Menurut Pak Itam, Nona Baker popular di kalangan penduduk Sungai Lembing ketika itu apatah lagi wanita Inggeris itu boleh berbahasa Melayu. Nona Baker sanggup berhijrah meninggalkan Eropah untuk ke Sungai Lembing semata-mata mahu menemani abangnya yang ditugaskan ke sini.

Namun, ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941, dia dan abangnya terpaksa melarikan diri ke dalam hutan untuk mencari perlindungan.

Sungai Lembing dahulunya pernah menjadi bandar gemilang kerana hasil bijih timah.

Abangnya meninggal kerana wabak penyakit. Nona Baker yang sendirian bergabung dengan tentera bagi menentang Jepun di hutan sehingga ke akhir hayatnya.

Kisah hidup Nona Baker pernah dibukukan berjudul ‘Pai Naa: The Story Of Nona Baker’ yang ditulis Dorothy Thatcher dan Robert Cross.

Dalam buku itu turut diceritakan bagaimana V.B.C Baker, abang Nona Baker meletupkan dan menenggelamkan lombong di Sungai Lembing bagi mengelakkan Jepun mengambil alih keuntungan lombong yang diusahakan oleh British itu setelah Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun.

Muzium yang pernah menjadi rumah kediaman Nona Baker ini sewaktu zaman kegemilangan bijih timah dahulu turut menjadi lokasi gadis Inggeris itu bersuka ria dengan warga Eropah yang lain.

Ketika itu, Sungai Lembing tidak pernah sunyi. Bila tiba hari Krismas, Nona Baker akan mengadakan sambutan besar-besaran meraikannya. Mungkinkah sebab itu kelibat Nona Baker sering kelihatan berkeliaran kerana rapatnya gadis Inggeris itu dengan kawasan perlombongan ini?

Artikel Lain