PERNAH atau tidak anda membayangkan ketika berada seorang diri di rumah, tiba-tiba pintu bilik anda diketuk namun tidak kelihatan sesiapa pun apabila dibuka? Tidak cukup dengan itu, anda turut kedengaran kerusi dan meja yang berada di ruang tamu pula digoncang sekuat hati! Itulah yang berlaku kepada seorang penuntut di sebuah universiti yang mendakwa diganggu makhluk halus di rumah sewanya di Melaka baru-baru ini. ARTIKEL BERKAITAN: Disangka kawan, pelajar kolej selamba marah kelibat berbau hanyir himpit katilnya, “Patutlah lama tak ada orang duduk” Dakwaan itu bukan cakap kosong sebaliknya Alya Aleera menerusi Twitter miliknya berkongsi beberapa video yang sempat dirakamkan ketika melalui detik cemas itu sehingga ia tular di media sosial. Bagaimanapun Alya turut mendapat pujian netizen kerana kagum dengan keberaniannya merakam situasi mendebarkan itu serta cuba berkomunikasi dengan makhluk halus itu selepas diganggu secara berterusan. Ketika kejadian Alya berada seorang diri di rumah. Bercakap kepada mStar, Alya berkata, dia sebenarnya bukan seorang yang berani tetapi memilih untuk tidak berasa takut kerana tidak mahu menunjukkan kelemahan diri bimbang akan dirasuk oleh makhluk itu. Atas sebab itu juga kata Alya, dia berani untuk merakamkan kejadian itu dan cuba 'berbual' dengannya selepas ketukan pada pintu biliknya tidak henti-henti sehingga menjelang waktu subuh yang bermula kira-kira pukul 12 malam. "Anda tidak boleh kata saya bodoh ke apa... Gangguan itu tidak berhenti dan sebab itu saya cuba halau tetapi tak makan 'saman'. "Jadi sebab itu saya ketawa dan cuba ajak ia masuk... Sampai ke Subuh saya macam orang gila. Saya cuba fokus untuk belajar tetapi pintu tidak berhenti ada orang ketuk. Tapi saya nekad untuk keluar dari rumah dan dalam keadaan tutup mata saya jalan sambil pegang dinding untuk ke pintu. Ketika melalui ruang tamu semakin kuat kedengaran meja dan kerusi diseret. ALYA ALEERA PELAJAR KOLEJ "Tetapi tidaklah sampai saya berani untuk buka pintu itu dan menjenguk dan hanya duduk dalam bilik," katanya. Mendaki bukit sendirian sebelum kejadian Bercerita lanjut mengenai gangguan itu, Alya memberitahu sebelum ini dia tidak pernah mengalami kejadian seumpama itu namun dia yakin ada sesuatu mengikutnya selepas dia pulang mendaki bukit di Melaka seorang diri pada 8 Ogos lalu. Kata Alya, ketika mahu menuruni bukit itu dia mengambil keputusan untuk mengikut jalan hutan berbanding laluan biasa digunakan oleh pendaki sejauh lapan kilometer dan berjaya sampai ke bawah sekitar 7 malam. "Saya memang yakin dapat sampai ke bawah sebelum waktu Maghrib memandangkan ketika itu baru pukul 6 petang tetapi saya berjalan agak perlahan hari itu. "Tetapi saya tidak kisah sangat kerana ada ramai orang turut melalui laluan sama dan apabila sampai ke bawah saya terus pulang ke rumah walaupun ramai berpesan agar relaks dahulu sebelum balik. "Pada hari itu tiada apa yang berlaku dan saya lakukan aktiviti seperti biasa di rumah walaupun semua teman serumah sudah pulang ke kampung," jelasnya. Alya memberitahu dia menerima gangguan itu selepas mendaki sebuah bukit seorang diri beberapa hari sebelum kejadian. Pun begitu kata Alya, pada 11 Ogos iaitu ketika hari pertama Aidiladha, kejadian pelik mula menimpanya apabila dia mendapati pintu di beranda apartmentnya terbuka luas selepas dia pulang daripada makan malam. Alya menyangka teman serumahnya sudah pulang namun apabila dia mengetuk setiap bilik tiada siapa menyahut dan dia tidak berasa takut kerana berfikiran positif sehinggalah pada waktu tengah malam bermulalah kejadian menakutkan apabila pintu biliknya diketuk tanpa henti. Tak cukup ketuk pintu, kerusi meja pula bergoncang Pada hari kedua kejadian kata Alya, dia sekali lagi terkejut apabila pintu beranda rumah terbuka luas walaupun dia yakin sudah menutupnya sebelum keluar. Ketika itulah dia mula rasa berdebar dan mula membuka ayat suci al-Quran menerusi komputer ribanya. Tepat pukul 9 malam kata Alya, dia terdengar bunyi meja dan kerusi di ruang tamu diseret dan dia cuba memberanikan diri keluar dari bilik untuk merakam kejadian. "Mengigil satu badan, pucat muka saya sebab terlalu takut dengan apa yang berlaku pada malam itu sampai saya menangis dan terfikir bagaimana saya ingin keluar dari rumah. "Tapi saya nekad untuk keluar dari rumah dan dalam keadaan tutup mata saya jalan sambil pegang dinding untuk ke pintu. Ketika melalui ruang tamu semakin kuat kedengaran meja dan kerusi diseret," ceritanya. Kongsinya lagi, ketika sampai di pintu ia terkunci dan tidak boleh dibuka membuatkannya dia lebih cemas dalam situasi itu. "Saya jerit nama Allah banyak kali, baca ayat (al-Quran) pun sampai berterabur sambil tutup telinga... Saya cuma mahu keluar dari rumah itu. Alhamdulillah tiba-tiba pintu boleh buka dan saya terus melarikan diri tanpa mengunci pintu rumah," katanya. Sementara itu, Alya memberitahu dia memberanikan diri pulang ke rumahnya pada waktu tengah malam ditemani oleh pengawal keselamatan dan warden untuk mengambil barang-barangnya. Antara komen netizen yang kagum dengan keberaniannya serta kata-kata semangat untuk Alya. Dia terkejut sebaik tiba di rumah, pintu terkunci dan lebih pelik apabila kunci apartment yang diletakkan pada rantai kunci hilang. "Nasib baik salah seorang pengawal di situ terjumpa kunci rumah di bawah dan apabila membuka pintu, kerusi dan meja yang bergegar macam nak gila tadi tersusun cantik seperti tiada apa berlaku. "Namun kakak warden yang teman kami dapat merasakan sesuatu dalam rumah itu... tanpa fikir panjang saya ambil barang untuk menginap di hotel malam itu," ujarnya. Ujar Alya, ketika ini tiada lagi gangguan berlaku malah dalam masa yang sama kawan-kawan yang pulang ke kampung sudah kembali ke asrama berkenaan tetapi dia tetap berwaspada agar kejadian serupa tidak mengganggu hidupnya lagi dengan memperbanyakkan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Bagaimanapun sesuatu perkara yang masih menjadi persoalan Alya makhluk apakah yang mengganggunya itu dan apakah tujuan dia berbuat demikian? Mengambil positif perkara itu Alyah percaya, kejadian tersebut mengajar dia betapa penting seseorang itu untuk percaya akan kebesaran Allah selain menjadikanNya sebagai tempat berlindung dan meminta pertolongan.