suria

“Siapa sanggup ambil risiko duduk dalam tu?” - Kereta jatuh gaung, bro trak tunda bingung siapa campak karpet berdarah... orang tua-tua kata jerangkung

Penampakan jari panjang dirakam sebuah video yang diambil semasa operasi menaikkan sebuah kereta Perodua Viva yang terjunam ke dalam gaung di Jalan Gombak Lama pada petang Jumaat lalu.

MISTERI kelibat jari panjang dalam video yang dirakam seorang pekerja trak tunda semasa operasi menaikkan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang terjunam ke dalam sebuah gaung di Jalan Gombak Lama pada Jumaat lalu terus menjadi tanda tanya.

Rata-rata netizen mengaitkan penampakan itu dengan entiti ghaib tetapi ada juga yang mendakwa ia adalah kelibat seekor kucing.

Namun ada juga cakap-cakap kurang enak kononnya video penampakan itu sengaja dibuat-buat untuk menarik perhatian ramai.

Muhammad Ibrahim atau lebih mesra disapa Ayien, salah seorang daripada pasukan penarik kereta yang merakam video itu menafikan dakwaan bahawa rakan sekerjanya berada di dalam kereta tersebut untuk menjatuhkan sesuatu ke dalam gaung sebagaimana yang dapat dilihat dalam rakaman berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar kongsi video seram, keluar rumah tutup mata ketika bunyi meja diseret

ARTIKEL BERKAITAN: Suara misteri nyanyi ‘berduet’ ketika lalu selekoh kubur, dua sahabat terus balik rumah... tak jadi makan tongkeng ayam

"Dalam kereta tu tak ada apa dah. Semua mangsa dan barang-barang kelengkapan macam beg dah dibawa naik ke atas. Dekat bawah (dalam gaung) tu cuma tinggal kereta saja.

Penampakan jari panjang dapat dilihat dengan jelas dalam rakaman tersebut.

"Bila ada yang cakap budak towing sengaja duduk dalam tu memang tak betullah. Siapa yang sanggup ambil risiko duduk dalam tu? Lagipun kereta tu dalam keadaan terbalik.

"Kami bukan buat kerja stuntman, kalau stuntman ya duduk dalam tu untuk buat rakaman tapi kami cuma dibayar untuk tarik keluar kereta tu dan lepas tu bawa ke balai," katanya kepada mStar.

Menurut pemuda berusia 29 tahun itu, dia telah turun ke bawah gaung untuk mengikat tali pada kereta tersebut bagi memudahkan proses menaikkannya kira-kira pukul 6.30 petang.

"Kami dapat panggilan untuk tarik kereta tu dalam pukul 5 petang. Kami sampai ke lokasi kejadian kira-kira sejam selepas tu, dari Desa Melawati sebab banyak kereta guna laluan tu untuk balik kampung.

"Masa turun ke bawah tu dah dekat senja (kira-kira pukul 6.30 petang). Saya dua kali terjatuh sebab curam... kedalaman lebih kurang 20 ke 30 meter. Perasaan masa turun tu memang seramlah.

"Bulu roma saya tiba-tiba je meremang. Bila saya duduk atas kereta tu untuk ikat tali saya terasa ada sesuatu di belakang saya... macam tengah perhatikan saya tapi saya tak endah sangat sebab saya fikir nak cari rezeki untuk keluarga saya," katanya.

Kereta tersebut berjaya dinaikkan kira-kira pukul 7.20 malam Jumaat lalu.

Bercerita lanjut, Ayien berkata semasa sedang merakam video itu dia memang ada ternampak karpet kereta terjatuh dalam gaung melalui tingkap belakang semasa ia dibawa naik ke atas tetapi tidak ternampak kelibat jari panjang yang heboh diperkatakan itu.

"Masa rakam tu saya fokus pada kereta tu dan saya perasan ada benda jatuh tapi saya tak nampak apa-apa kelibat. Bila saya upload video tu dekat Facebook saya tak perasan sehinggalah saya tengok balik video tu.

"Memang kelibat tanganlah tu. Masa rakam, benda yang jatuh tu adalah karpet kereta yang ada darah. Saya tahu sebab masa saya masuk kereta tu saya nampak karpet (kereta) ada darah... dekat bumbung pun ada darah.

Bila ada yang cakap budak towing sengaja duduk dalam tu memang tak betullah. Siapa yang sanggup ambil risiko duduk dalam tu? Lagipun kereta tu dalam keadaan terbalik.

MUHAMMAD IBRAHIM

Pekerja trak tunda

"Tapi saya pun pelik macam mana karpet tu boleh jatuh. Saya ingatkan karpet tu tersangkut dekat pintu lepas tu jatuh sendiri bila kami naikkan kereta tu tapi sebenarnya tak. Bila tengok video tu ada jari panjang putih yang pegang karpet tu dan kemudian lepaskan," katanya.

Ayien turut menyangkal dakwaan netizen yang mendakwa kelibat putih itu adalah seekor kucing.

"Masa kat bawah tu tak ada pun dengar bunyi kucing ke apa... yang ada hanya bunyi cengkerik dalam hutan. Tapi keadaan dekat bawah gaung tu saya akui memang seram. Lagi tiga ke empat kilometer dari lokasi tu nak sampai ke Genting Sempah kalau ikut jalan dalam.

"Jadi bila ada yang kata video 'tipu' memang saya kecewalah. Kalau tarik masa breakdown nampak kerja ringan, tapi kalau tarik dalam gaung ni memang mencabar. Cakap memang senang tapi kesusahan itu kami sahaja yang rasai.

Ayien berkongsi pengalaman ngerinya itu selepas kecewa dengan komen netizen yang mendakwa video itu sengaja dibuat-buat untuk diviralkan.

"Lokasi kemalangan tu pula betul-betul dekat selekoh U jadi perlu ada orang jaga di sebelah kiri dan kanan jalan. Sebab itu jugalah saya turun sorang-sorang ke bawah gaung, memang tak boleh buat apa," katanya.

Ayien berkata usaha menaikkan kereta tersebut selesai kira-kira pukul 7.20 malam dengan bantuan dua trak tunda milik syarikat Extra Towing Service dan Wanmika Empire.

"Nak naikkan sekejap saja dalam lima minit macam tu cuma yang buat lama tu sebab keadaan jalan yang tak mengizinkan dan kenderaan pula banyak," katanya.

Jelas Ayien, dia turut bertanya kepada orang tua-tua mengenai penampakan jari panjang dalam video yang diambilnya.

"Saya tunjuk dekat orang tua-tua, mereka cakap benda tu memang wujud sebab kawasan tu hutan tebal. Ada yang cakap gayanya macam jerangkung tapi saya malas nak fikir sangat.

"Kalau dalam gambar yang saya ambil sebelum ni pun ada juga nampak kelibat, bagi saya benda tu perkara biasa. Tapi inilah pengalaman paling seram dan real pernah saya lalui sepanjang lapan bulan saya kerja towing service," katanya.

Artikel Lain