suria

Kejadian seram selepas beli anak patung… Suri rumah terkejut mainan muncul di bucu katil

Sejak patung mainan ini dibakar, Hasnifalina tidak lagi menerima sebarang gangguan misteri.

SEJAK beberapa hari lalu pengguna media sosial kecoh dengan kisah seorang wanita yang berkongsi tindakannya membakar patung permainan milik anaknya kerana mainan itu dikatakan mempunyai roh lalu menggangu mereka sekeluarga.

Perkongsian itu juga turut membuatkan orang ramai teringat akan babak anak patung yang bergerak sendiri dengan perwatakan menakutkan dalam filem Annabelle sehingga boleh membuatkan penonton tidak dapat tidur malam mengenangkan wajah seramnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar kongsi video seram, keluar rumah tutup mata ketika bunyi meja diseret

Itulah yang berlaku kepada Hasnifalina Ramli, 27, apabila beberapa kejadian aneh berlaku kepadanya sekeluarga sejak dia membeli sebuah patung mainan untuk anak perempuannya di sebuah kedai permainan popular di Kuching, Sarawak kira-kira setahun lalu sewaktu tinggal di negeri tersebut.

Hasnifalina bersama suami, Mohamad Fadhli Shamsuddin dan anak mereka Hanna Malaiqa. 

Hasnifalina memberitahu, anaknya iaitu Hanna Malaiqa yang berusia dua tahun tidak pernah berenggang dengan patung tersebut malah sentiasa bersamanya ke mana sahaja sejak ia dibeli.

"Anak saya dan patung itu memang seperti tidak boleh dipisahkan kerana itu sahaja kawannya di rumah malah dia akan menangis kalau mainan itu tidak ada bersamanya.

"Jujurnya saya langsung tidak fikir tabiat itu sebagai perkara pelik kerana biasalah budak-budak, ada ragamnya. Tambahan pula saya tidak begitu mempercayai perkara mistik, jadi saya tidak merasakan sesuatu yang pelik dengan tabiat anak itu," katanya kepada mStar.

Pun begitu, sejak kehadiran patung itu dalam rumah mereka di Kuching, situasi mula berubah apabila sering kedengaran perkara pelik seperti bunyi seseorang sedang berjalan, guli berguling serta kerusi dan meja diseret.

Itu belum lagi seperti ada suara berbisik di telinga dan tengkuk saya selain pintu bilik dan paip air kedengaran seperti dibuka. Saya juga pernah terjumpa uban melekat pada baju.

HASNIFALINA RAMLI

SURI RUMAH

Lebih malang kata Hasnifalina, kejadian sering berlaku ketika dia bersendirian di rumah bersama anak memandangkan suaminya sering pulang lewat kerana bekerja.

"Saya selalu berfikiran positif walaupun kawasan rumah kami agak dekat dengan hutan... tapi sampai satu tahap saya tidak boleh tahan lagi kerana terlalu banyak gangguan sampai suami saya pun merasakan sesuatu tidak kena dalam rumah itu.

"Malah suami sering minta tutup pintu bilik anak kerana dia rasa seperti patung itu sedang memerhatikannya," ujar Hasnifalina.

Alami gangguan serupa selepas pindah ke Kelantan

Katanya, kejadian serupa terus berlaku selepas dua minggu mereka sekeluarga berpindah ke Kota Bharu, Kelantan iaitu pada akhir Julai lalu.

Lebih menakutkan pada suatu malam dia terjaga dari tidur apabila berasa katil seperti digoncang dan ketika memandang sekeliling, dia ternampak anak patung itu berada di bucu katilnya.

Kini permainan anak perempuannya lebih kepada barangan yang tidak menyerupai patung.

"Itu belum lagi seperti ada suara berbisik di telinga dan tengkuk saya selain pintu bilik dan paip air kedengaran seperti dibuka. Saya juga pernah terjumpa uban melekat pada baju.

"Akhirnya saya mula percaya makhluk yang sama seperti di Kuching dahulu punya angkara," jelasnya yang merupakan isteri kepada kakitangan kejajaan.

Tidak tahan dengan gangguan berterusan, Hasnifalina mengambil keputusan memanggil seorang seorang ustaz untuk membantu menyelesaikan masalah itu.

Ketika proses perubatan secara Islam dilakukan, gangguan itu dipercayai berpunca apabila terdapat makhluk halus menumpang dalam patung tersebut selain sedang mencari tuan. 

Untuk menyelesikan gangguan itu, mereka terpaksa membakar mainan tersebut namun anaknya pula menangis semasa proses berkenaan dilakukan namun kesedihannya reda selepas patung itu menjadi abu.

"Selepas ia dibakar, Alhamdulillah saya tidak menerima sebarang gangguan dan anak saya juga sudah boleh lupa mainannya itu," katanya yang merupakan seorang suri rumah.

Peristiwa seram itu menyebabkan dia sudah serik untuk membeli anak patung sebagai barang permainan anaknya.

Patung, Roh, Nenek Kebayan, Misteri, Mistik

Artikel Lain