CHENOR merupakan sebuah mukim dalam daerah Maran, Pahang. Tidak ramai yang tahu, terdapat sebuah bukit di sini yang dipanggil Bukit Kertau. "Orang dulu-dulu kata di bukit ini ada sebuah gua tersembunyi. Zaman dulu orang cerita jika lalu di kawasan hutan bukit ini tiba-tiba nampak kawasan itu lapang dengan rumput cantik bagai terjaga, itu maknanya kawasan Bunian. "Ada juga yang cerita jika bernasib baik boleh nampak ayam, itik dan kambing. Tapi, awas! Jangan berani nak ambil haiwan-haiwan tu sebab ia kepunyaan ‘penghuni’ di bukit ini. ARTIKEL BERKAITAN: 4 beranak terkejut disangka tuala jatuh rupa-rupanya sejadah keras berdiri "Kalau tak, ada laa benda pelik jadi nanti. Tapi, tak semua orang bertuah dapat lihat kawasan lapang dengan haiwan ternakan tu di bukit ini. Siapa yang nampak tu dianggap bertuah," cerita Din, salah seorang penduduk Chenor. Jepun simpan harta karun Tidak ramai yang tahu Bukit Kertau ini pernah menjadi pusat pemetaan negara dari tahun 1948 sehingga 1989 yang mana ketika itu, Bukit Kertau dijadikan titik asal untuk aktiviti pemetaan dan ukur di Semenanjung Malaysia, sebelum ia diganti dengan sistem Global Positioning System (GPS). Selepas tidak lagi digunakan sebagai pusat pemetaan, Bukit Kertau hanya tinggal kenangan dalam lipatan sejarah sebagai lokasi yang pernah menjadi pusat pemetaan Malaysia. Bukit Kertau dikatakan mempunyai seribu satu rahsia. Pun begitu, ada banyak kisah masyarakat yang menyelingkari bukit ini. Dikatakan sejak zaman dulu, ramai orang luar datang ke bukit ini terutama warga Jepun yang dipercayai mahu membuat kajian. "Ada orang-orang tua yang pernah bercerita pada saya, kononnya Jepun ada menyimpan harta karun di bukit ini. Sebab itu ada orang Jepun yang datang ke sini mungkin cuba untuk menjejak harta itu. Tak tahulah betul ataupun tidak. "Tapi ada rakan saya yang ramai kenalan bomoh ni cerita, ada yang pernah cuba untuk ‘tarik’ keluar harta yang tersembunyi di bukit ini, tapi tak berjaya. Kata bomoh tu, bukit ni terlalu ‘keras’, susah nak tarik harta tu," cerita Din lagi. Selain itu, kawasan Bukit Kertau juga kaya dengan kisah-kisah dendangan masyarakat sejak zaman dahulu. Di sebuah kawasan berdekatan lereng kaki bukit ini, jalannya lurus bertar namun pada satu bahagian, tanah di situ mendap. Kata Din, sudah jutaan wang habis untuk membetulkan jalan itu sejak dahulu, namun akhirnya ia tetap akan mendap juga. Ada orang kata, ‘penghuni’ di bukit itu marah kerana mengganggu jalan mereka kerana jalan yang mendap itu merupakan laluan ‘mereka’ untuk turun ke sungai. Bertentangan dengan kawasan bukit ini adalah sungai Pahang. Puncak bukit Kertau pernah menjadi pusat pemetaan negara sebelum sistem GPS diperkenalkan. Gua di Lubuk Kertau Juga berdekatan dengan lereng bukit bersebelahan dengan sungai Pahang yang terbentang luas ini, ada sebuah kawasan di gigi air sungai tersebut yang jika dilihat, bagaikan terdapat pusaran air kecil. Menurut Din, kawasan pusaran air itu dipanggil Lubuk Kertau. "Kawasan lubuk ni banyak udang besar. Pernah ada orang yang menyelam ke bawah lubuk ni nak cari udang. Kata mereka, di bawahnya seperti ada laluan macam gua. Tapi tak ada siapa yang berani nak menyelam lebih jauh ke dalam. Tak tahulah betul atau tidak ada gua di bawahnya," ujar Din. Menurut Din lagi, jika ada gua, mungkin ia dikaitkan dengan kisah orang tua dahulu yang menceritakan, kononnya di bawah Bukit Kertau ini tinggal seekor naga. Namun ia sudah keluar ke sungai Pahang semasa banjir besar berlaku. "Ini kisah orang tua dahulu sebab saya memang suka bertanya dan dengar kisah dulu-dulu dari orang-orang lama. "Mereka ceritakan zaman dahulu, penduduk kampung selalu meminjam pinggan mangkuk dari penghuni Bukit Kertau ini jika ada kenduri kendara. Urusan pinjaman itu selalunya dijalankan oleh pawang," kata Din. Bunyi aneh amaran banjir Lagi satu yang anehnya, dikatakan Bukit Kertau akan ‘berbunyi’ sebagai tanda amaran banjir. Chenor merupakan kawasan yang mudah dinaiki air semasa musim tengkujuh. Dikatakan sejak dahulu, penduduk yang tinggal berdekatan Bukit Kertau tahu jika bukit itu ‘berbunyi’, itu tanda amaran banjir besar akan melanda kawasan mereka. Dikatakan sejak zalam sebelum banjir besar tahun 1970-an dahulu, bukit ini masih ‘berbunyi’ dan selalunya, selepas beberapa hari kemudian, Chenor akan banjir. HAJAH KIAH PENDUDUK MARAN Bunyinya seakan-akan ombak besar yang menghempas pantai. Bunyinya amat kuat dan boleh didengari penduduk berhampiran. Dikatakan sejak zalam sebelum banjir besar tahun 1970-an dahulu, bukit ini masih ‘berbunyi’ dan selalunya, selepas beberapa hari kemudian, Chenor akan banjir. Begitu juga semasa bah besar melanda pada tahun 2014, pun bukit ini mengeluarkan ‘bunyi’ amaran beberapa sebelumnya. Namun, pada tahun 2015, bukit ini tidak berbunyi dan pada tahun itu, Chenor tidak dilanda banjir yang teruk. Yang pasti, sehingga kini penduduk berhampiran sentiasa peka jika terdengar ‘bunyi’ amaran Bukit Kertau apabila musim hujan menjelma. Salah seorang warga emas berusia lebih 80 tahun bernama Hajah Kiah yang ditemui menceritakan, pada zaman dahulu, Bukit Kertau bukan saja menjadi lokasi penduduk bersembunyi daripada kekejaman Jepun, bahkan turut menjadi tempat meminjam barang. "Memang zaman dulu orang kampung akan pinjam pinggan mangkuk jika ada kenduri. Bukan pinggan saja, orang pinjam juga barang perhiasan macam rantai, subang dan dokoh untuk majlis kahwin. Begitu juga bila nak tanam padi, mereka pinjam benih padi. Memang dapat dan padi tumbuh subur dulu," katanya. Banjir besar akan berlaku jika Bukit Kertau 'berbunyi'. - Gambar Sekadar Hiasan Namun, bila ramai yang tidak ikut janji, ‘orang’ bukit Kertau sudah tidak mahu memberi pinjam lagi. "Macam mana orang bukit tu tak marah. Ramai yang mungkir janji. Lain dipinjam, lain dipulangnya. Pinjam banyak, bila pulang tak cukup bilangan. Pinjam barang lain, bila hantar barang lain. "Bagi pinjam benih, dibayarnya dengan huma. Bagi pinjam emas, dia bayar dengan perak. Lama kelamaan orang bukit pun marah dah tak mahu lagi bagi pinjam dengan manusia," cerita Hajah Kiah. Tentang naga yang menghuni Bukit Kertau, kata Hajah Kiah orang dahulu mengatakan naga itu sudah keluar semasa banjir besar tahun 1971. "Orang dulu gelar naga ular lidi. Masa banjir besar tahun 70-an, orang dengar satu letupan kuat dari bukit tu, macam bukit tu pecah dibom. Orang kata masa itulah naga itu keluar ke sungai Pahang sebab ia dah terlalu besar, tak muat lagi tinggal di bawah bukit tu. Itu cerita dulu-dulu," kata Hajah Kiah. Berkaitan bukit itu yang berbunyi sebagai tanda amaran banjir, Hajah Kiah mengiakannya. Katanya, sejak zaman dahulu bukit itu jadi petanda penduduk di sini sebelum banjir besar berlaku. Selalunya ia berbunyi pada waktu malam. Bunyi yang kuat bagai ada benda berdentum atau menghempas benda keras. Jika terdengar bunyi itu, penduduk akan bersiap siaga menghadapi banjir. "Bunyi tu tak pernah salah. Kalau bukit tu berbunyi semasa musim tengkujuh, tanda akan berlaku banjir. Sejak dulu sampai sekarang begitu. Jika ia tak berbunyi, maka tak berlakulah banjir besar," ujar Hajah Kiah.