KISAH misteri restoran sate di laluan lebuh raya Pasir Mas-Salor cukup popular dalam kalangan penduduk di Kelantan namun kepada orang luar berhati-hatilah sekiranya terlihat gerai tersebut di tepi jalan. Mengikut ceritanya, ramai orang luar pernah singgah ke gerai itu selepas melihat ia dihiasi lampu terang dan pelanggan memenuhi gerai untuk menikmati hidangan sate sedap. Pada hal hakikatnya, gerai itu sudah tidak wujud dan jika sesiapa melalui kawasan itu pada waktu siang hanya akan terlihat sekadar sebuah pondok usang yang dijadikan tempat berteduh oleh penunggang motosikal ketika waktu hujan. ARTIKEL BERKAITAN: Menakutkan! Kerusi rotan di ruang tamu terus bergerak laju, remaja puas menjerit tak siapa dengar ARTIKEL BERKAITAN: Dapat ‘call’ dari bilik tak berpenghuni, dengar bunyi nafas dan angin… Bekas staf dedah gangguan tingkat 5 hotel di Penang Malah seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai Sulong memberitahu cukup mudah untuk mengenalpasti pondok usang tersebut kerana ia terletak bersebelahan stesen minyak dan terdapat sebuah tanah perkuburan di belakangnya. Tapak gerai sate ini sudah lama ditutup selepas pemiliknya meninggal dunia. Lampu warna-warni, ramai pelanggan tertarik ke gerai sate "Pada waktu malam ramai orang pernah nampak pondok usang itu bertukar menjadi gerai menjual sate. Ada juga orang kata, kalau dari jauh, ada yang pernah nampak gerai itu meriah dengan lampu warna-warni dan ramai pelanggan. "Orang luar yang tidak mengetahui cerita sebenar pasti akan singgah untuk menikmati sate yang terdapat di situ kerana tertarik dengan hiasan lampu warna-warni dan pelanggan di situ," katanya. Cerita Sulong, mengikut kisahnya, sebelum ini pemilik gerai berkenaan memang berniaga sate di gerai berkenaan namun ia sudah lama ditutup kerana pemilik itu meninggal dunia. "Bukan niat untuk menakutkan pengguna jalan raya tetapi kalau sesiapa datang ke Kelantan dan melalui jalan Salor-Pasir Mas elaklah berhenti di kedai sate itu pada waktu malam. Beringat sebelum terkena," katanya. Lebih mengejutkan dia terjumpa wang RM17 yang dibayarnya semasa makan di gerai itu di atas sebuah batu nisan. Dia kemudian tersedar dan berasa ada sesuatu tak kena. SULONG PENGGUNA TWITTER Malah pernah diceritakan seorang pemuda pernah singgah ke gerai itu ketika menuju ke Kota Bharu atas urusan kerja kerana melihat ia masih ramai pelanggan walaupun waktu itu jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Wang RM17 atas batu nisan di kubur Namun pemuda tersebut hairan apabila dia sekali lagi singgah ke gerai itu dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke Pasir Mas pada siangnya dan mendapati gerai itu tidak wujud. "Mundar-mandir lelaki itu mencari gerai berkenaan kerana dia benar-benar yakin dia pernah singgah makan di tempat yang sama tetapi apa yang dijumpainya hanyalah sebuah pondok usang dan belakangnya ada kubur. Stesen minyak yang terletak berdekatan gerai itu juga dikatakan 'keras'. "Lebih mengejutkan dia terjumpa wang RM17 yang dibayarnya semasa makan di gerai itu di atas sebuah batu nisan. Dia kemudian tersedar dan berasa ada sesuatu tak kena," ceritanya. Agak menyeramkan apabila stesen minyak bersebelahan gerai itu juga yang sudah lama ditutup tetapi pada waktu malam ia terang benderang seolah-olah ia dibuka kepada orang ramai. "Stesen minyak ini juga sudah lama tutup. Kalau ternampak cahaya terang dan orang di kaunter itu bukannya manusia dan ramai orang luar sudah terkena," ujarnya lagi. Sementara itu, lokasi itu juga dikatakan tempat 'panas' kerana sering berlakunya kemalangan. Ia sering terjadi apabila dikatakan pemandu cuba mengelak daripada melanggar kelibat yang tiba-tiba muncul dari arah tanah perkuburan itu untuk melintas di jalan raya. Pernah dalam satu kejadian katanya, tiga buah kenderaan bertembung apabila salah satu kereta dipercayai cuba mengelak lembaga yang tiba-tiba muncul sebelum memasuki arah bertentangan dan melanggar dua kereta lain. Bagaimanapun sehingga kini, pelbagai kisah misteri menyelubungi gerai tersebut masih menjadi tanda tanya penduduk setempat.