suria

Tragedi lagun Kuala Semerak... Mangsa lemas masuk ICU, nampak entiti tarik sepupu sebelum ditemui mati

Lagun Kuala Semerak di Pasir Puteh, Kelantan mempunyai pemandangan cukup indah namun ia menyimpan seribu satu kisah misteri di sebaliknya.

LAGUN Kuala Semerak? Ya... sudah lama orang bercakap mengenainya.

Terletak di Pasir Puteh, Kelantan, lagun ini menjadi tumpuan khususnya buat orang luar yang berkunjung ke jajahan itu untuk berkelah.

Tidak dinafikan tenang airnya mendamaikan jiwa. Maka tidak hairanlah setiap hujung minggu, kawasan ini sering dikunjungi ramai.

Di sebalik keindahan itu, orang Pasir Puteh kebanyakannya tidak berani untuk mandi-manda di situ.

ARTIKEL BERKAITAN: Suara minta tolong di Bukit Putus, 2 beradik berhenti kereta muncul kelibat wanita rentung

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Nampak Ketam Sebesar Tayar, Lagun Kuala Semerak Ragut Nyawa

Bukannya apa, sudah banyak kejadian tidak diingini berlaku yang kebanyakannya melibatkan kehilangan nyawa.

.

Berita yang pernah disiarkan mengenai kejadian meragut nyawa Nik Norfatin dan seorang lagi kanak-kanak iaitu Nik Norhidayah.

Dikatakan orang yang tidak biasa di lagun berkenaan apabila mandi, mereka tidak sedar sedikit demi sedikit akan berada di tengah dan seterusnya terjerelus di kawasan dalam, seterusnya lemas.

Begitulah yang terjadi buat Nabila Mohd Azmi apabila percutian indahnya bersama keluarga mencatatkan memori duka.

Tragedi buruk menimpa Nabila apabila sepupunya meninggal dunia akibat lemas di teluk berkenaan ketika mereka asyik mencari siput laut di kawasan itu.

Mengimbau kejadian pada September 2011, Nabila yang ketika itu berusia 15 tahun memberitahu pada awalnya mereka seronok bermandi-manda serta mencari siput sebelum tiba-tiba tempat mereka mandi mengalami pasir jerlus dan dinaiki air sehingga menenggelamkan sepupunya, Nik Norfatin Izati Nik Mohd Noor.

Bukan sahaja Nik Norfatin, dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, ia turut meragut nyawa seorang lagi kanak-kanak Nik Norhidayah Nik Man yang berada di tempat sama.

"Air di tempat kami mandi tidak dalam, hanya paras lutut jika kami berdiri... Namun secara tiba-tiba pasir jerlus dan menyebabkan air naik membuatkan kami tenggelam.


Nabila memberitahu walaupun kejadian di lagun Kuala Semerak sudah lama berlaku namun ia masih menghantui dirinya. 

"Saya cuba memegang kedua-dua tangan sepupu untuk menyelamatkannya namun saya terpaksa melepaskan sebelah tangan bagi meminta tolong sebelum terlepas sebelah lagi tangannya sehingga melihat dia tenggelam," imbaunya.

Diseru turun bermain air

Kisah seram di lagun Kuala Semerak itu bukanlah perkara baharu, malah cukup terkenal dengan kisah misteri di sebalik keindahan alam semula jadinya.

Peristiwa kehilangan nyawa akibat lemas juga bukan kali pertama malah ada pengunjung mendakwa mereka seakan-akan 'diseru' untuk turun bermain air apatah lagi tarikan banyaknya siput sungai seperti kepah, tijah, lala serta ketam di situ.

Namun kisah-kisah mistik di situ tidak pernah diendahkan sehinggalah mereka sendiri menerima musibah malah sebelum kejadian menimpa Nik Norfatin, terdapat 28 kes korban dilaporkan dari 1980 hingga 2011.

Saya cuba memegang kedua-dua tangan sepupu untuk menyelamatkannya namun saya terpaksa melepaskan sebelah tangan bagi meminta tolong sebelum terlepas sebelah lagi tangannya sehingga melihat dia tenggelam.

NABILA MOHD AZMI

SEPUPU MANGSA LEMAS 

Meskipun lagun Kuala Semerak telah ditutup kepada orang ramai selepas kejadian itu, namun nampaknya pengunjung tidak serik dan menghiraukan notis amaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dua lembaga putih tarik sepupu

Bercerita kisah sedih itu kata Nabila, meskipun cemas apabila melihat sepupunya hilang daripada pandangan, dia masih tidak berputus asa untuk menyelamatkan Nik Norfatin, malah sanggup menyelam bagi mencari remaja itu.

Ketika menyelam, Nabila memberitahu dia ternampak dua lembaga putih yang memegang dan menarik kepala dan kaki Nik Norfatin ke dasar sebelum ia hilang dari pandangan.

"Saya cuba menyelam untuk cari sepupu sebelum ternampak dua lembaga putih menariknya di bahagian kepala dan kaki.

"Saya tidak tahu apakah benda itu kerana kejadian berlaku terlalu pantas," katanya.

Nabila memberitahu dia sendiri tidak ingat apa terjadi selepas itu kerana dia sendiri bertarung nyawa untuk menyelamatkan diri dan mujur berjaya diselamatkan.

Pun begitu katanya, dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu selama empat hari berikutan air memenuhi ruang paru-parunya ketika cuba menyelamatkan diri.

"Sehingga ke hari ini saya trauma apabila mengenangkan kejadian apatah lagi melihat sepupu saya tenggelam dan tidak berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Tinggal kenangan... Nik Norfatin (paling kanan) bergambar bersama sepupunya ketika menyambut hari raya.

"Perkelahan yang sepatutnya menjadi kenangan indah kami sekeluarga bertukar mimpi ngeri yang menghantui sehingga ke hari ini," ujarnya.

Kelibat hitam berlegar di kepala

Traumanya tidak terhenti di situ kata Nabila apabila selepas dibenarkan pulang dia sering berasa tidak tenteram seperti diperhatiakan seseorang.

Tidak cukup dengan itu kata gadis berusia 23 tahun itu, setiap kali sebelum tidur dia merasai ada kelibat hitam yang berlegar-legar di atas kepalanya sehingga membuatkan dia tidak boleh melelapkan mata.

"Pada awalnya saya fikir ia hanya perasaan saya sahaja tetapi lama-kelamaan ia semakin menakutkan dan setiap malam akan ada benda hitam di atas kepala saya.

"Sehinggalah keluarga bawa saya berjumpa seorang ustaz, dia memberitahu ada benda yang mengikut saya... Alhamdulillah ia berjaya dibuang dan tidak menganggu saya lagi," ujarnya.

Nabila menasihati orang ramai yang berkunjung ke lagun itu supaya berhati-hati kerana mereka boleh menerima musibah yang tidak disangka-sangkakan jika terleka dengan keadaan sekeliling.

Bagaimanapun sebagai umat Islam kita harus percaya hidup dan mati itu adalah ketentuan Allah kerana hanya Dia sahajalah lebih mengetahui segala-galanya selain apa yang berlaku itu sekadar penyebabnya sahaja. 

Artikel Lain