suria

Tubuh pelajar berat selepas lalu rumah misteri, ayah nampak sesuatu bertenggek atas bahu

Sebuah rumah misteri di kawasan Shah Alam.
1 / 1

SEPERTI biasa, selepas sahaja selesai kelas malam, Amri Hamzah akan melepak bersama kawan-kawannya di sebuah restoran berhampiran rumahnya.

Menurut Amri, sudah menjadi rutin dia dan kawan-kawannya bertemu seketika selepas seharian penat menghadiri kuliah di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Selangor

Jelas Amri, 21, dia akan pulang ke rumah keluarga sekitar pukul 2 atau 3 pagi selepas puas melepak sambil berbincang mengenai pelajaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Cicit lihat peristiwa pelik saat moyang nazak! Mata terbeliak, mulut ternganga... susah benar Oyang nak ‘pergi’

Pelajar dalam jurusan kejuteraan awam ini memberitahu, setiap minggu dia mempunyai satu kelas malam iaitu pada hari Selasa sebelum meneruskan pengajian secara online berikutan tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Minggu kedua Januari lalu saya mengalami demam biasa dan tetap pergi ke kelas malam. Saya ni jenis yang malas nak layan perasaan kalau demam atau tak sihat.

“Biasanya selepas makan Panadol, semuanya akan okay. Jadi saya tetap teruskan rutin mingguan meluangkan masa bersama kawan-kawan sebelum balik ke rumah di kawasan perumahan di Shah Alam.



Amri dalam perjalanan pulang ke rumahnya pada waktu malam. Gambar hiasan.

“Jarak rumah dengan restoran yang saya selalu lepak tu lebih kurang dua kilometer sahaja dan keluarga pun tahu aktiviti saya ini,” kongsinya kepada mStar.

Kawasan keras

Menurut Amri, di kawasan tempat tinggalnya terdapat sebuah rumah kosong yang memang sudah lama tidak berpenghuni.

“Setiap kali balik ke rumah, saya akan lalu kawasan rumah kosong itu. Pada waktu malam memang menakutkan. Seperti ada mata-mata sedang perhatikan kita.

“Pada malam kejadian, saya memandu agak perlahan sambil melayan lagu di radio. Kebetulan hujan pula turun renyai-renyai. Masa tu lebih kurang pukul 1.30 pagi.

“Tak sampai 15 minit saya tiba di rumah. Peliknya masa nak turun kereta itu, saya rasa kaki seperti berat untuk melangkah. Namun saya gagahi juga dan masuk ke rumah.

“Sebaik sahaja masuk ke rumah saya tengok ayah belum tidur lagi, sedang menonton perlawanan bola EPL.

Sebaik sahaja sampai rumah, kaki saya seperti berat untuk melangkah

AMRI HAMZAH

“Ayah hanya melihat saya sekilas dan terus menonton TV. Tetapi saya masih tercegat di pintu rumah,” jelas anak kedua daripada tiga orang adik beradik ini.

Tak sedarkan diri

Menurut Amri, dia berdiri di pintu rumahnya lebih kurang sepuluh minit sebelum ayah menghampirinya.

“Saya dapat rasakan ketika itu badan dan bahu saya terlalu berat. Saya dengar suara ayah sayup-sayup memanggil nama dan masa sama memberi salam.

“Sebaik sahaja dengar ayah bagi salam, saya rasa badan terus ringan dan boleh bergerak.

“Dalam masa sama juga ayah menyuruh saya keluar sehingga pagar rumah dan memberi salam terlebih dahulu.

“Saya ikut sahaja cakap ayah. Selepas itu barulah saya kembali masuk ke rumah,” jelannya.



Amri bersama rakan-rakannya akan melepak di restoran berdekatan dengan rumahnya setiap kali tamat kelas malamnya. Gambar hiasan.

Keesokannya ayah Amri memberitahu bahawa dia ternampak sesuatu entiti pelik bertenggek di atas bahunya.

“Sebaik sahaja bangun tidur, ayah ada beritahu dia ternampak sesuatu sedang bertenggek atas bahu saya.

“Masa tu memang rasa macam menggigil satu badan kerana terkejut. Ayah cakap mungkin benda tu ikut ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah semasa kejadian.

“Lagipun badan saya tengah lemah malam tu, sebab itulah senang benda-benda pelik nak tumpang.

“Dan paling penting ayah cakap, kalau balik malam perlu bagi salam terlebih dahulu sebelum masuk rumah supaya benda tu tak dapat ikut sampai ke dalam.

“Sejak kejadian itu, memang saya dah tak lagi melepak sampai lewat malam dan sanggup lalu jalan lain untuk balik ke rumah. Tak sanggup nak lalu kawasan rumah kosong itu,” akhirinya.

Artikel Lain