suria

Bilik air diketuk bunyi orang seret kaki... Pelajar dapat habuan akibat tegur kelibat 3 pagi

Kejadian menyeramkan di kolej itu rupa-rupanya permah berlaku kepada pelajar lain.

KEBIASAANNYA Muhammad Hakim akan pulang ke kampungnya di Kemaman, Terengganu setiap kali cuti semester bagi menghabiskan masa bersama keluarga.

Bagaimanapun Hakim bersama rakan baiknya, Din, tidak dapat pulang ke kampung kali ini meskipun mendapat cuti seminggu kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara penting di kolej.

Termenung Hakim dan Din melihat dua lagi rakan sebilik mereka yang berwajah ceria mengemas barang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh pelajar berat selepas lalu rumah misteri, ayah nampak sesuatu bertenggek atas bahu

Namun keputusan untuk tidak pulang ke kampung bertukar menjadi mimpi ngeri buat dua anak muda ini apabila mereka mengalami pelbagai kejadian pelik di kolej kediaman mereka.

"Pada malam pertama kami tinggal berdua. Saya dan Din melakukan aktiviti biasa termasuk menonton filem di dalam bilik. Dalam seronok, bergelak ketawa tiba-tiba lampu bilik terpadam pada pukul 3 pagi!

"Kami pelik tapi tidak mengesyaki apa-apa dan terus bangun tengok suis. Sangka saya, mungkin mentolnya terbakar," katanya kepada mStar.



Laluan koridor yang gelap membuatkan Hakim gelabah selepas ternampak kelibat. - Gambar Sekadar Hiasan

Berani ke bilik air 3 pagi, gelabah nampak kelibat

Sebelum tidur kata Hakim, dia pergi ke bilik air untuk mencuci muka dan menggosok gigi meskipun berasa seram memandangkan keadaan kolej yang gelap dan tidak berpenghuni. Sunyi pula tu keadaannya.

Tidak mahu fikir yang bukan-bukan, Hakim terus ke bilik air dan mimpi ngerinya bermula apabila dia tiba-tiba mendengar seseorang mengetuk pintu tandas ketika dia sedang menggosok gigi.

"Knock... Knock... Saya tidak menghiraukan bunyi itu, tapi sekali lagi saya dengar bunyi yang sama. Masa ni saya dah mula mengelabah kerana bunyinya semakin kuat dan entah dari arah mana bunyi itu datang," ujarnya.

Menyedari ada sesuatu tidak kena, Hakim berkata dia terus keluar daripada bilik air sebelum terdengar bunyi seseorang sedang menyeret kaki di lantai.

Imbaunya, bunyi itu datang daripada sudut koridor bersebelahan tandas dan dia ternampak seolah-olah ada makhluk berdiri tegak dengan kaki agak tempang.

"Saya beranikan diri untuk lihat kelibat itu tetapi kurang jelas. Sangkaan saya mungkin ada pelajar lain yang tidak pulang ke kampung sedang berdiri di situ untuk merokok.

Tapi lagi terkejut apabila saya tengok Din yang tadi tidur lena sudah tiada di katilnya.

MUHAMMAD HAKIM

PELAJAR

"Saya cuba mendekati kelibat itu tapi yang peliknya, semakin saya dekat, semakin jauh kelibat itu. Pada hal lebih kurang satu bilik jer jarak saya dengan makhluk itu. Saya takut tapi perasaan ingin tahu ketika itu mengatasi ketakutan," katanya.

Cerita Hakim lagi, dia cuba memberanikan diri dengan menjerit ke arah kelibat itu dan tiba-tiba ia terus hilang daripada pandangannya.

"Saya dah tak nampak kelibat itu tapi yang peliknya saya tiba-tiba terbau sesuatu kurang menyenangkan ketika saya melintas koridor tempat saya nampak makhluk itu.

Tak boleh lelap mata, kelibat dalam cermin

"Dalam hati saya baca macam-macam surah sebab mula rasa tak sedap hati dan mula rasa menyesal pergi tegur benda itu," ceritanya.

Hakim memberitahu dia yang tadi sangat mengantuk tidak boleh melelapkan mata selain mata dan kepala rasa sakit selain badan rasa lenguh.

Dalam gelisah tidak dapat melelapkan mata, Hakim memberitahu dia terpandang cermin yang berada di depan katilnya sebelum terkejut melihat makhluk serupa di dalam cermin.



Kelibat itu bukan sahaja menggangu tetapi memunculkan diri. - Gambar sekadar hiasan.

"Mata dia tajam tengok saya, mukanya bujur seperti bola ragbi. Hidung kemek... Saya cuba jerit tapi tak keluar suara, seperti ada benda yang halang saya!

"Semakin lama kelibat itu semakin dekat dengan saya, saya cuba pandang Din yang sedang tidur dengan harapan dia bangun untuk tolong saya. Tapi lagi terkejut apabila saya tengok Din yang tadi tidur lena sudah tiada di katilnya!

"Waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu apa saya rasa, saya cuba baca segala jenis ayat yang saya ingat tetapi benda itu tetap berada di situ. Kepala saya semakin sakit, tapi saya tak mampu berbuat apa-apa. Macam ada benda ikat saya, saya rasa kejang," ceritanya lagi.

Hampir 10 minit kata Hakim dia cuba bertarung dengan makhluk itu, sebelum Din tiba-tiba masuk ke dalam bilik.

Katanya, Din terkejut melihat keadaannya yang berpeluh-peluh dan badannya yang panas namun dia hanya tergamam tidak mampu berkata apa-apa sambil menggigil ketakutan.

Rupanya bukan Din! Habis tu siapa?

"Saya pegang Din dan beritahu yang saya nak balik kampung. Saya cerita padanya yang tadi saya nampak dia tidur lena. Tapi rupa-rupanya Din keluar selepas Isyak kerana menghantar rakan kelas kami ke stesen bas.

"Jadi dengan siapa saya tengok movie tadi? Yang saya tegur itu siapa?" katanya.

Sementara itu, Hakim memberitahu dia tetap berkeras untuk pulang ke kampung dan menyedari ada sesuatu tidak kena, Din melaungkan azan di setiap bucu bilik kami.

Usai melaungkan azan, baharulah Din membuka cerita yang sebenarnya dia mengetahui benda yang menggangunya berikutan cerita daripada pelajar senior sebelum ini.

"Din minta saya istigfar dan dia tahu apa yang saya nampak malah tak menyangka kejadian itu akan berlaku kepada saya," katanya.

Keesokan harinya kata Hakim sebelum pulang ke kampung, Din membawanya berjumpa dengan seorang ustaz untuk memulihkan semangatnya ekoran kejadian menyeramkan itu.

"Ia malam yang sangat ekstrem untuk saya kenang. Sejak kejadian itu, saya mula sedar, apa pun yang kita nampak, jangan ditegur. Sebab kena ingat, bukan kita sahaja penghuni di situ," katanya mengakhiri bicara.

Mistik, Kolej, Kelibat, Seram, Ustaz

Artikel Lain