suria

Bertahun pendam insiden seram bantal ditarik, kena ‘tindih’... gadis buat konten mistik tak sangka kisah makhluk ‘meraba’ buatkan followers naik mencanak - “Dia lari-lari dalam bilik”

Rosfadilla mengumpul lebih 117,000 pengikut di TikTok selepas dia memuat naik perkongsian kisah mistik dan pengalaman di asrama.

APLIKASI TikTok menjadi antara platform media sosial yang paling mendapat tempat ketika ini untuk berkongsi pelbagai kisah merangkumi pengalaman, hiburan, tip dan sebagainya.

Begitu juga gadis ini yang tidak ketinggalan untuk memanfaatkan akaun TikTok miliknya untuk berkongsi pengalaman dengan pengikutnya.

Menjadikan kisah mistik dan pengalaman ketika bergelar pelajar asrama sebagai kontent utama TikTok, gadis ini tidak menyangka menerima sambutan serta respon positif daripada netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Mulanya jumpa kubur, selepas itu terserempak gadis menangis tepi highway... ramai kata berani sebab siap rakam! - “Terus pecut motor, tak pandang kiri kanan dah!”

ARTIKEL BERKAITAN: Bagai nak luruh jantung... 3 remaja terserempak entiti seram pukul 1 pagi, salah seorang hampir demam terkejut - “Sampai ke tempat tu, dah tak ada”

Antara kisah yang dikongsikan adalah pengalaman bapanya sendiri diganggu ketika sedang membaiki van jenazah, pengalaman ketika 'ditindih', menyaksikan histeria dan pelbagai kisah lain untuk peringatan bersama.

Bercerita dengan mStar, gadis bernama Rosfadilla Nur Rosli berkata pada asalnya konten TikTok miliknya tidak memfokuskan satu-satu topik dan lebih berunsur bebas.

"Namun segala-galanya bermula apabila saya berkongsi kisah yang pernah berlaku ketika bergelar pelajar asrama beberapa tahun lalu. Ia adalah kisah di mana pelajar perempuan kerap diganggu dengan 'makhluk' yang menyelinap ke dalam bilik asrama untuk meraba.

"Bermula hanya satu bahagian (part), rupa-rupanya ramai berminat dengan kisah tu dan meminta buat sambungan demi sambungan. Kemudian ramai yang komen malah siap hantar mesej (DM) minta saya terus kongsi kisah seperti ini.

"Memang di luar jangkaan... mungkin mereka tertarik dengan cara penyampaian dan kisah-kisah itu sendiri. Namun saya beritahu awal-awal, apa yang saya kongsikan ini adalah kisah yang dialami sendiri serta individu terdekat yang menceritakan kepada saya," kata gadis berusia 23 tahun ini.

konten TT

Rosfadilla berkongsi pelbagai kisah mistik dan pengalaman kehidupan di asrama dalam akaun TikTok.

Rosfadilla atau lebih dikenali oleh pengikutnya sebagai Kekde berkata, pengalaman mistik yang pernah dialaminya sendiri berlaku ketika dia menginap di kolej di universitinya.

"Saya tak ada pengalaman ternampak makhluk menyeramkan atau sebagainya. Cuma yang saya rasa agak ekstrim dan tak dapat lupakan adalah insiden di kolej penginapan tidak lama dulu.

"Bilik saya terletak hujung di sebuah blok yang agak kebelakang. Sepatutnya bilik itu menempatkan empat orang tapi hanya didiami bersama seorang lagi rakan.

penampakan

Rosfadilla (dua dari kanan) merakamkan foto bersama rakan di sekolahnya yang tanpa sengaja turut terakam entiti misteri (dalam bulatan).

"Katilnya jenis dua tingkat dan kami berdua pilih tidur di tingkat bawah katil. Satu malam tu saya dengar ada benda main lompat katil tingkat atas. Begitu galak sekali. Dalam hati saya harapkan rakan sebilik tersedar.

"Dalam ketakutan, tiba-tiba ada 'benda' tarik bantal di tepi saya. Saya ni rabun, nampak samar-samar. Saya nampak macam rakan saya yang ambil tapi hairan bila dia siap lari-lari kecil dalam bilik. Takut nak tegur, saya biarkan.

"Esoknya saya tanya, tapi dia tak tahu menahu... dia tanya saya balik tapi saya tak cerita pun. Bantal tu memang ada dekat tengah bilik sewaktu saya terjaga. Memang seram," ceritanya sambil menambah, perkara itu dirahsiakan sehinggalah rakannya itu baru mengetahuinya selepas dia mendedahkan dalam video di TikTok, baru-baru ini.

Satu malam tu saya dengar ada benda main lompat katil tingkat atas. Begitu galak sekali. Dalam hati saya harapkan rakan sebilik tersedar.

ROSFADILLA NUR ROSLI

Tambah Rosfadilla lagi, kisah mistik yang dialami bapanya juga turut dikongsikan kepada pengikutnya dan ia antara yang menerima jumlah tontonan yang tinggi.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Ayah saya seorang mekanik dan ada bengkel sendiri sehinggalah sekarang. Ayah cerita, sebelum ini dia ada terima tender untuk baiki dan selenggara van jenazah. Ada banyak sebenarnya peristiwa mistik yang dialaminya.

kekde and friends

Bersama rakan-rakan satu kuliah ketika zaman menuntut di universiti.

"Tapi saya baru ceritakan satu sahaja di mana van jenazah yang dibaikinya tiba-tiba bergoyang seperti ada orang di dalam. Masa tu ayah sedang baring di bawah van. Bila bangun dan jenguk, tiada siapa pula.

"Selepas beberapa kali alami peristiwa aneh, ayah akhirnya putuskan untuk tidak lagi terima job tersebut," cerita siswi tahun akhir jurusan Sains Statistik di sebuah institusi awam di Negeri Sembilan ini.

Gadis yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik ini menambah, jumlah pengikutnya di TikTok bertambah secara mendadak selepas dia mula berkongsi kisah mistik.

kekde adik beradik

Rosfadilla (dua dari kiri) bersama adik beradiknya.

"Mula-mula sekitar 700 orang sahaja tapi selepas video pertama kisah 'raba' di asrama, jumlah followers makin naik sehinggalah ketika ini sekitar 117,000.

"Saya terharu sangat dengan sokongan dan feedback mereka. InsyaAllah, saya nak memanfaatkan jumlah pengikut yang ramai ini dengan penyampaian yang juga bermanfaat untuk kesedaran serta peringatan bersama," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain