suria

Susah jadi peniaga apabila kawan iri hati... Usahawan kongsi perut membusung perbuatan kenalan sendiri

Juliza beberapa kali mendapatkan rawatan bagi memulihkan keadaannya akibat disantau dan mengalami busung.

PERBUATAN syirik dengan memohon bentuan makhluk tertentu selain Allah biasanya berlaku disebabkan wujud perasaan hasad dengki, dendam dan cemburu sehingga mereka sanggup membelakangkan agama walaupun Islam melarang keras perbuatan itu.

Namun demi menjatuhkan 'musuh' dalam perniagaan, segelintir individu sanggup berbuat apa sahaja termasuklah dengan memuaskan hati dan nafsu sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengurus jenazah terpaksa panggil 4 isteri potong tangkal di pinggang arwah suami... Berlaku kejadian pelik pintu bilik mayat tiba-tiba terbuka

Itu juga terpaksa dihadapi oleh usahawan, Juliza Julizz yang menanggung derita apabila perutnya membusung kerana dipercayai disantau oleh orang yang dianggap kawan sehingga menyebabkan dia pernah berputus asa dalam bidang perniagaan.

Tidak cukup itu, pekerjanya, adik serta anak saudaranya turut menjadi mangsa akibat dendam dan perasaan iri hati.

Perut Busung

Mimpi ngeri Juliza bermula apabila dia mengalami perut busung.

Juliza yang mempunyai perniagaan butik, restoran dan chalet di sebuah kawasan peranginan memberitahu keadaan kesihatannya mula berubah sekitar 2019 apabila perutnya tiba-tiba membusung seperti wanita sedang hamil.

Pada awalnya dia menyangka terdapat ketumbuhan atau masalah berkaitan sistem penghadaman atau peranakan namun usaha berubat di hospital tidak membuahkan hasil.

"Bingung juga saya memikirkan keadaan yang berlaku pada diri saya sebab doktor sendiri tidak dapat mengesan apa penyakit saya. Tetapi keadaan saya tetap begitu malah semakin teruk setiap hari sehingga membuatkan saya tak tahan menanggung derita.

"Akibat sakit itu juga saya terpaksa hentikan perniagaan saya kerana tak larat bekerja," katanya kepada mStar.

Dalang muncul dalam mimpi

Atas nasihat beberapa ahli keluarga dan rakan-rakannya, Juliza memberitahu dia berusaha untuk berubat secara perubatan Islam malah sudah menjelajah ke seluruh Malaysia untuk melakukan perbuatan itu.

"Dua bulan saya menanggung derita perut membusung seperti orang sedang hamil. Sakit yang terpaksa ditanggung hanya Allah sahaja mengetahui... Tak boleh makan, tidur, memang perit dan siksa!

"Ketika mendapatkan rawatan secara perubatan Islam, ustaz berkenaan memberi saya minum tiga biji air kelapa dan seluruh badan menjadi sakit selain saya muntah semahunya.

"Badan jadi lemah dan tak bermaya tetapi Alhamdulillah keadaan saya beransur pulih selepas itu," ceritanya.

Ketika mendapatkan rawatan itu di Semenyih, Juliza memberitahu ustaz berkenaan memberitahu dalam tempoh seminggu dia akan mengetahui dalang di sebalik penderitaannya.

Selang beberapa hari kemudian, Juliza memberitahu dia bermimpi tentang seorang individu yang melakukan perbuatan terkutuk itu dan tidak menyangka ia individu dikenalinya.

Nyawa dihujung tanduk! Individu itu memang nak saya mati.

JULIZA JULIZZ

"Apabila mengetahui dalangnya sudah tentu saya berasa sedih kerana tiada sedikit rasa cemburu atau dendam pun terhadapnya tetapi saya pilih untuk lupakan sahaja kerana Allah akan membalas perbuatannya itu," ujarnya.

Kembali sakit, muntah darah dan histeria masuk butik

Juliza memberitahu dia kembali ke kawasan peranginan itu pada November tahun lalu selepas beberapa bulan menetap di kampung halamannya untuk membuka semula butik dan restoran yang ditutup sebelum ini.

Namun sangkaan keadaan dirinya sudah pulih jauh meleset apabila dia kembali mengalami perkara pelik selain sering berasa sakit di bahagian pinggang sehinggakan dia tidak boleh memandu atau bergerak aktif seperti biasa.

Tidak cukup dengan itu, dia sering berasa sakit dada selain kerap muntah darah sehingga membuatkan dia tidak bermaya.

"Ketika itu saya rasa seperti nyawa dihujung tanduk! Individu itu memang nak saya mati... Setiap kali masuk ke butik atau restoran saya akan histeria, badan jadi sejuk sehingga tidak boleh buat apa.

Juli

Juliza mengakui hampir berputus asa dalam perniagaan disebabkan perbuatan syirik terhadapnya.

"Apabila saya pergi berubat, ustaz memberitahu saya telah disantau. Mengucap panjang saya kerana langsung tak sangka sampai ke tahap ini dendam individu itu terhadap saya," katanya.

Enggan merisikokan dirinya, Juliza mengambil keputusan pulang ke kampung kerana merasakan kehadirannya di kawasan peranginan itu akan memusnahkan dirinya.

"Pada tahap ini saya fikir, ada duit yang banyak pun tidak guna. Tiada siapa boleh tolong saya... Hanya Allah yang tahu derita saya tanggung.

"Saya ambil keputusan menutup restoran kerana tidak mahu ada orang berasa kurang senang dengan saya, " katanya.

Peliknya kata Juliza, sejak dia pulang ke kampung, keadaannya kembali seperti biasa sehinggalah dia kembali ke pusat peranginan itu pada Januari lalu.

Berubat sampai bumbung tercabut!

Juliza memberitahu dia kembali ke sana kerana anak saudaranya yang ketika itu berusia lapan bulan mengalami masalah mata berdarah dan perlu dirawat segera.

Mata Anak Saudara

Keadaan anak saudaranya yang turut menjadi mangsa santau.

Namun seperti dijangka, doktor tidak dapat mengesan sebarang penyakit lain pada bayi itu dan terdetik dihatinya ia ada kaitan dengan santau dialaminya.

"Ketika pulang ke sana saya kembali sakit dan anak saudara saya pun turut sakit... matanya berdarah, badan menjadi merah dan kerap menangis.

"Saya bawa jumpa ustaz dan beliau memberitahu anak saudara saya juga sudah terkena tempias santau yang dihantar kepada saya, " katanya.

Tanpa melengkah masa, Juliza terus berubat dengan ustaz berkenaan dan dia menyifatkan rawatan itu paling dahsyat yang pernah dia lakukan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mana tidaknya kata Juliza, santau yang dihantar kepadanya cukup kuat sehingga ketika rawatan dilakukan, bumbung rumah tercabut membuatkan dia berasa gementar.

Julizz A

Juliza berharap individu tersebut bertaubat akan perbuatannya.

"Tak dapat saya gambarkan perasaan takut ketika rawatan itu sehingga bumbung tercabut tapi Alhamdulillah selepas itu keadaan saya beransur pulih dan anak saudara saya pun tiada lagi masalah pendarahan atau bengkak.

"Apabila membawanya merujuk ke hospital, doktor juga mengesahkan matanya kembali pulih," katanya.

Meskipun terpaksa mengharungi pelbagai dugaan namun Juliza mengambil keputusan untuk meneruskan perniagaannya kerana memikirkan dia mempunyai ramai kaki tangan yang bergantung kepadanya.

"Kalau saya mengalah, dia akan tepuk tangan tapi saya yakin dan berserah kepada Allah yang menjadi pelindung saya.

"Saya ada Allah, rezeki saya juga milikNya... Apa saya boleh harapkan agar individu itu segera bertaubat dan sedar perbuatan syirik itu haram di sisi Islam, " katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain