suria

Kerap pulang lewat, pemuda tak sengaja rakam imej lembaga depan cermin tingkap... Cleaner dedah ada kes bunuh di pejabat

Gangguan mistik di pejabat membuatkan ramai pekerja bimbang apabila menyiapkan tugasan di waktu malam.

PULANG lewat dari tempat kerja kerana ingin menyiapkan tugasan mungkin sudah menjadi perkara biasa bagi sesetengah orang terutamanya jika sesuatu tugasan itu perlu disiapkan segera.

Begitu jugalah bagi Mohamad Amirul Hazim Ab Halim. Menyandang jawatan sebagai pereka produksi di sebuah syarikat di Subang Jaya, Hazim terpaksa akur untuk bekerja lebih masa di pejabat bersama dua orang kawannya yang mahu dikenali sebagai Deena dan Eisya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul 12 malam bayi mula menangis tunjuk ke satu arah... Kelibat hitam melintas di dapur beri petunjuk

Namun begitu, hasrat untuk berada lebih lama di pejabat demi menyiapkan kerja mengundang satu kenangan pahit buat Hazim dan temannya,

Sebaik sahaja selesai sesi perjumpaan di bilik mesyuarat, selepas waktu Maghrib, mereka masing-masing pulang ke tempat duduk semula di mana Deena dan Eisya duduk bersebelahan namun kedudukan Hazim agak jauh daripada yang lain.

Hazim mula berasa tidak sedap hati memandangkan tiada staff lain berhampiran dengannya dan lama kelamaan Hazim terdengar seperti ada bunyi orang berjalan dan sedang memerhatikannya di depan cermin tingkap.



Bunyi seperti ada yang sedang berjalan membuatkan Hazim tidak sedap hati semasa menyiapkan tugasan.

“Tempat saya duduk tu memang jauh dengan pekerja lain walaupun kami di bahagian yang sama, komputer saya betul-betul berada di depan cermin tingkap yang boleh nampak bilik lain. Bilik tu kosong memang tak ada apa, nak elakkan rasa gemuruh ni saya terus buat kerja sambil dengar lagu Kpop baru semangat sikit.

“Tak lama lepas tu, tiba-tiba terdengar bunyi macam orang tengah berjalan pula. Masa tu memang dah gelabah, tapi dalam hati saya mungkin itu makcik cleaner kot datang untuk bersihkan pejabat," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pemuda yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini menceritakan dirinya tidak boleh fokus untuk menyiapkan tugasan sehingga dia membuat keputusan untuk berehat sebentar dan menonton dokumentari bagi menghilangkan rasa takut ketika itu.

“Bila dengar lagu cepat pula habis, saya terus buka rancangan Majalah 3 dekat komputer, saya memang tak boleh fikir dah nak buka video apa masa tu memang main tekan je apa yang ada.

"Sambil tengok telefon saya suka buat story dekat Instagram saja la nak tunjuk harini kena ‘stay back’ disebabkan ada event yang akan dilancarkan, secara tak langsung masa tengah rakam tu ternampak ada budak melintas dengan laju," katanya.

Situasi yang menyeramkan itu membuatkan Hazim rasa ingin tahu keadaan sebenar, dia cuba sembunyikan apa yang sedang berlaku daripada pengetahuan kawan-kawanya.

Dia melihat semula rakaman tersebut lalu ternampak seperti lembaga yang berupa kepala budak kecil di hadapan tingkapnya.



Kelihatan seperti bayangan kepala budak kecil di hadapan tingkapnya.

“Nak sedapkan hati, saya rakam untuk kali kedua. Mungkin tadi hanya perasaan saya semata-mata, tapi bila saya tengok semula kiri ke kanan dalam video tu memang jelas kelihatan lembaga kecil. Saya ingatkan mula-mula bayangan tu terbentuk disebabkan barang, yelah mana tahu kerusi dengan meja ke saya pun cuba gerakkan memang tak jadi apa-apa," katanya.

Walaupun dia cuba untuk menidakkan kejadian aneh itu berlaku, Hazim yakin bunyi ketukan di tingkap dan tapak kasut yang dialaminya terjadi disebabkan lembaga kecil itu.

Selesai siapkan tugasan, dia terus kemas barang dan bergegas pergi ke tempat kawannya kerana takut untuk bersendirian. Hazim sempat bergurau dan menceritakan mengenai kejadian yang berlaku pada Deena dan Eisya namun mereka tidak mempercayainya.

Sambil mereka berbual, kehadiran polis bantuan secara tiba-tiba membuatkan semua terdiam seketika, namun polis tersebut lalu di hadapan bagi memastikan semua suis lampu termasuk tandas ditutup selepas digunakan.

Tambah Hazim, 10 minit selepas polis bantuan beredar mereka terdengar bunyi paip air terbuka yang sangat jelas, Eisya membuat keputusan untuk memeriksa, alangkah terkejutnya dia mendapati lampu tandas masih terbuka dan paip air tidak dapat untuk ditutup.



Mengejutkan, paip air dan lampu tandas terbuka secara tiba-tiba tanpa ada sesiapa di dalam.

Tanpa berkata apa-apa, Eisya terus memaksa yang lain untuk pulang ke rumah dengan segera. Hazim menceritakan kejadian tersebut turut di alami oleh pekerja lama di mana mesin photostat akan berbunyi sendiri walaupun tiada yang menggunakannya.

Peristiwa misteri itu berlanjutan sehingga ia menjadi bualan di pejabat. Namun begitu misteri tersebut terungkai apabila seorang daripada pekerja pembersihan yang telah berkhidmat hampir 10 tahun membuka cerita bahawa sebelum ini pernah terjadi kes rogol dan bunuh di pejabat.

Menjadi tanda tanya buat Hazim, kemungkinan kes pembunuhan tersebut telah mengakibatkan gangguan mistik dan kejadian aneh yang dialaminya.

Hazim telah berkongsi rakaman tersebut pada kawan-kawannya yang lain untuk mengelakkan perkara yang sama berulang serta mengambil pengajaran agar tidak pulang lewat dari pejabat.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain