suria

Perabot kayu terpakai ada ruang rahsia, selepas dibawa masuk rumah tidur sekeluarga mula diganggu... Kemuncaknya munculah entiti seperti dalam mimpi

Set bilik tidur terpakai yang dibeli telah mengakibatkan pelbagai gangguan. - Gambar Sekadar Hiasan

SETIAP pasangan berkahwin pasti mengimpikan sebuah rumah yang selesa agar dapat membesarkan anak-anak dalam suasana yang aman dan harmoni.

Begitu juga bagi Wan Hisham Wan Mohammad, selepas beberapa tahun berkahwin, baharulah dia dan isteri berjaya membeli rumah impian.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak kecil 2 tahun tiba-tiba berlari ketakutan, bapa saudara sempat rakam video nampak buaian berhayun sendirian

"Alhamdulillah dapat juga beli rumah sendiri yang selesa tetapi ketika awal berpindah masuk masih banyak barang perabot dan elektrik yang tidak lengkap.

"Perlahan-lahan kami membeli satu persatu barang-barang rumah termasuklah dari sofa, meja makan, kabinet TV, almari... Alhamdulillah berkat kesabaran akhirnya lengkap juga hiasan dalaman rumah kami," katanya.

Bagaimanapun kata Wan Hisham, untuk bilik tidurnya, dia dan isteri mengambil keputusan untuk membeli barangan terpakai kerana ingin menjimatkan kos.

Apatah lagi ketika itu sudah banyak wang digunakan membeli kelengkapan lain dan isterinya juga tidak cerewet untuk menggunakan perabot terpakai.



Setiap malam isteri Wan Hisham akan mengalami mimpi pelik dan menyeramkan.

"Masa pergi ke sebuah kedai perabot terpakai, macam-macam pilihan ada sampai rasa nak juling mata. Pilih punya pilih kami berkenan dengan set bilik tidur yang diperbuat daripada kayu.

"Ia kelihatan sangat klasik dengan ukiran tradisional selain bahagian kepala katil mempunyai hiasan menggunakan kain baldu serta terdapat ruang simpanan rahsia.

"Ruang simpanan ini memang betul-betul 'rahsia' sampaikan saya sendiri tidak perasan dan cukup sesuai untuk simpan wang atau barang kemas," ujarnya yang membayar RM1,200 untuk set bilik tidur itu.

Mimpi seram dan menyedihkan

Wan Hisham memberitahu isterinya paling gembira apabila set bilik tidur itu sampai ke rumah dan ia kena dengan hiasan dalaman bilik tidur mereka.

Namun selepas seminggu perabut kayu itu memenuhi kamar mereka, kata Wan Hisham, isterinya sering mengadu kerap didatangi mimpi yang mengerikan serta menyedihkan setiap kali terlena di atas katil itu.

"Semua mimpi-mimpi menyedihkan dan ngeri seperti anak kena sembelih, dikejar sesuatu dalam hutan, mimpi kena bunuh dan bermacam-macam lagi.

Sudahlah isteri masih tetap mengalami pelbagai mimpi menyeramkan, saya sendiri turut bermimpi pelbagai perkara seperti kemalangan, isteri dan anak-anak kena sembelih, anak lemas dan bermacam-macam lagi.

WAN HISHAM WAN MOHAMMAD

"Asal tidur sahaja dalam bilik itu, mesti akan datangnya mimpi tidak kira siang atau malam. Setiap kali bangun, memang akan berpeluh dan bercucuran air mata jika datang mimpi yang sedih," ceritanya.

Wan Hisham bagaimanapun memberitahu sejak set bilik tidur itu sampai, dia belum berkesempatan tidur di situ kerana kebiasaannya dia akan tidur di bilik berasingan kerana mengalami masalah dengkur yang teruk.

Katil itu digunakan oleh isteri dan anak kedua mereka manakala dia akan tidur di bilik paling kecil di dalam rumah mereka.

Ceritanya, dia pada awalnya menganggap apa berlaku pada isterinya sebagai perkara remeh dan mainan tidur tetapi ia berterusan sehinggakan apabila bangun tidur ada rambut putus yang lurus di atas katil.

"Isteri sudah ikhtiar membaca doa, mengambil wuduk sebelum tidur dan membaca ayat-ayat amalan sebelum tidur namun keadaan tetap sama. Itu belum ada rambut putus di atas katil dan ia bukan milik isteri.

"Orang kata belum kena batang hidung sendiri memang tak akan percaya sehinggalah suatu hari ia berlaku kepada diri saya sendiri," ujarnya.



Tidak hanya mimpi, setiap kali bangun terdapat rambut di atas katil.

Anggap remeh, diri sendiri terkena!

Pada suatu petang sekitar pukul 3, Wan Hisham memberitahu dia tertidur di atas katil itu dan telah bermimpi berada dalam sebuah penerbangan.

Dalam mimpi itu pesawat dinaikinya tiba-tiba hilang kawalan lalu terjunam sebelum terhempas dan Wan Hisham berkata, dia berasa kejadian itu seperti benar-benar berlaku.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Sampaikan masa pesawat itu terjuman ke bawah pun saya dapat rasa gayat yang teramat dengan jeritan dan tangisan penumpang lain sebelum ia terhempas di dalam laut.

"Dalam mimpi saya, semua mangsa terkorban kecuali saya dan apabila terjaga saya menjadi ketakutan dan berpeluh-peluh... saya jadi kaku, terkejut dan rasa menggeletar," imbaunya.

Ketika itu juga kata Wan Hisham, hatinya mula terdetik dan mengesyaki masalah dihadapi oleh isterinya sebelum ini berkemungkinan adalah disebabkan katil tersebut kerana selama ini, mereka tidak pernah mengalami kejadian seumpama itu.

Masih enggan mempercayai perkara yang dianggap mainan tidur, Wan Hisyam memberitahu selepas kejadian itu dia tidur di bilik sama bagi menguatkan semangat isterinya namun keberaniannya pula tercabar.



Kelibat menyeramkan juga pernah muncul di hadapan mereka.

"Sudahlah isteri masih tetap mengalami pelbagai mimpi menyeramkan, saya sendiri turut bermimpi pelbagai perkara seperti kemalangan, isteri dan anak-anak kena sembelih, anak lemas dan bermacam-macam lagi seperti pernah dilalui isterinya," kata Wan Hisham.

Kemuncak kepada mimpi mereka apabila terdapat dua entiti yang menggangu di dalam mimpi dan ia makhluk sama apabila mereka berkongsi mimpi tentang kelibat yang pernah muncul di hadapan mereka.

Tidak cukup dengan mimpi, katanya dia juga pernah ditindih ketika tidur selain merasakan ada tangan berbulu yang cuba menutup mulutnya dan berbisik sesuatu di telinganya ketika tidur.

"Percayalah dengusan di telinga memang akan meranapkan keberanian sesiapa sahaja dalam sekelip mata... suaranya kasar, garau macam seorang lelaki yang sedang menahan marah," katanya.

Selepas malam itu, Wan Hisham memberitahu dia mengambil keputusan untuk membuang set bilik tidur yang dibeli dan sejak itu tiada gangguan atau mimpi pelik dialami mereka suami-isteri.

"Lebih baik tidur di atas lantai berlapikkan toto... tidur nyenyak, tiada gangguan mimpi yang pelik. Sehingga kini saya sendiri tidak tahu apa punca katil itu 'keras', pasti ada kisah di sebaliknya," katanya yang tertanya-tanya apakah rahsia di sebalik peristiwa berkenaan mengenai katil itu.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain