suria

Pintu bilik tutup kemudian terbuka, kaki bagaikan diikat... Pekerja cuci rumah penginapan terkejut video dirakam keluar suara seram

Atiqah tidak menyangka rakaman video yang dihasilkan terakam suara asing menyeramkan.

HAMPIR seminggu Nur Atiqah meratap kesedihan kerana dia dan beberapa rakan dibuang kerja ekoran syarikat mereka terkesan dengan pandemik yang melanda negara sejak tahun lalu.

Walaupun pekerjaan dan gajinya di tempat itu tidak besar namun sekurang-kurangnya ia dapat menampung diri sendiri selain membantu keluarga memberi barangan dapur.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri tanpa zuriat bingung rumah bau najis, kalau ada tetamu makin busuk... bantuan ustaz pun gagal, katanya sihir nak runtuhkan rumah tangga!

Tapi diam tak diam, sudah lima bulan Atiqah terperap di rumah dan terpaksa bergantung kepada keluarganya untuk menyara kehidupan sambil berusaha mencari pekerjaan lain.

Ketika negara diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Atiqah mengambil keputusan untuk membuat kerja sampingan membersihkan apartment dan tempat tinggal yang ditepah melalui Airbnb di Cameron Highlands.

"Kebetulan di Cameron Highlands ramai pengunjung datang bercuti ketika itu memandangkan mereka tak boleh ke luar negara sehingga tempahan Airbnb dan apartment persendirian di sini semuanya penuh.



Atiqah melakukan kerja-kerja pembersihan selepas kehilangan pekerjaan akibat pandemik.

"Saya ambil peluang untuk buat kerja sambilan membersihkan rumah selepas penyewa keluar memandangkan kebanyakan pemiliknya bukan menetap di sana," katanya.

Suara tak dikenali dalam rakaman video

Bagaimanapun kata Atiqah, cabaran pekerjaan baharunya itu bukan sahaja menuntutnya teliti dalam kerja-kerja pembersihan serta menggunakan tenaga yang banyak tetapi perlu berhadapan dengan pelbagai kejadian pelik.

Sebagai mempromosikan perkhidmatannya, Atiqah memberitahu dia biasanya akan mengambil gambar dan video hasil kerjanya untuk dihantar sebagai bukti kepada tuan rumah dan dimuat naik ke laman sosialnya.

"Biasanya saya akan mulakan rakaman daripada pintu masuk sehinggalah ke dapur, bilik tidur dan bilik air. Selepas rakam, saya terus hantar ke tuan rumah atau muat naik ke laman sosial tanpa menontonnya terlebih dahulu.

"Selepas balik kerja baru saya tengok semula dan baca komen, mana tahu ada orang berminat untuk menggunakan perkhidmatan saya," ujarnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Atiqah memberitahu, ketika pulang ke rumah, dia terkejut apabila mendapat banyak komen daripada pengikutnya di laman sosial pada video yang dikongsi itu apabila mereka mendengar suara seseorang dalam rakaman tersebut.

Kaki saya seolah-olah terkunci dan tak dapat bergerak. Saya hanya mampu memejamkan mata apabila pintu bilik sama tiba-tiba kembali terbuka.

NUR ATIQAH

Tidak berpuas hati dengan apa diberitahu rakan-rakan laman sosial, Atiqah menonton kembali video berkenaan bagi mendapatkan kepastian tentang apa diperkatakan.

"Apabila saya tengok balik rakaman itu, saya baru terperasan ada suara halus tetapi jelas yang bertanya 'buat apa tu?'... berpuluh kali juga saya ulang video itu untuk pastikan sama ada betul atau tidak suara tersebut.

"Meremang satu badan saya tapi saya tak berani beritahu pada tuan rumah kerana fikir saya ia mungkin sekadar 'usikan' yang belum tahap teruk, namun sangkaan saya meleset," katanya.

Atiqah memberitahu dia kembali ke rumah sama beberapa hari kemudian selepas ada tetamu menginap di apartment tersebut namun tidak banyak kerja dilakukan kerana keadaan rumah ditinggalkan dalam keadaan bersih.

"Ketika saya membasuh pinggan di dapur, tiba-tiba satu badan rasa meremang sebelum seperti ada sesuatu menyentuh bahu saya.

"Apabila saya pusing ke belakang, tiada sesiapa sebelum pintu bilik utama tiba-tiba tertutup sendiri... ketika itu kaki saya sudah mengeletar ketakutan kerana saya perlu melintas bilik itu untuk keluar dari rumah tersebut.



Pintu bilik yang tertutup dan terbuka dengan sendirinya membuatkan Atiqah tergamam.

"Tapi yang peliknya, kaki saya seolah-olah terkunci dan tak dapat bergerak. Saya hanya mampu memejamkan mata apabila pintu bilik sama tiba-tiba kembali terbuka," ceritanya.

Atiqah memberitahu selepas dia membaca ayat Kursi dan beberapa surah lain yang dihafalnya, baharulah kakinya seperti dapat bergerak dan dia terus lari keluar daripada rumah itu.

Penyewa pun cabut keluar!

Tanpa berselindung, Atiqah menceritakan apa yang berlaku kepada tuan rumah mengenai kejadian aneh dihadapinya dan dia terkejut apabila diberitahu penyewa sebelumnya turut mengalami kejadian serupa.

Memandangkan tidak tahan diganggu, mereka sekeluarga memaklumkan kepada tuan rumah dan mengambil keputusan untuk keluar daripada rumah itu pada hari mereka mendaftar masuk.

"Patutlah rumah itu dalam keadaan bersih dan tidak berselerak... Rupa-rupanya penyewa pun tak tahan dan cabut lari kerana diganggu," katanya.

Meskipun mengalami kejadian mengerikan, Atiqah memberitahu sehingga kini dia masih melakukan kerja tersebut dan menganggap apa berlaku sebagai dugaan dan kes terpencil.

"Alhamdulillah, setakat ini rumah itu sahaja yang berlaku kejadian pelik, tempat lain tiada pula gangguan. Saya anggap ini dugaan dalam mencari rezeki halal dalam suasana mencabar ketika ini," kongsinya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan