suria

Seminggu pelanggan lalu lalang tapi tak singgah, belum apa-apa ustaz dah tersenyum lihat burung tiong ketika dipanggil periksa kedai disihir

Tanah kubur dan lilin terbakar dibelakang kedai antara benda yang dijumpai. - Gambar Sekadar Hiasan

BUKAN main seronok lagi apabila Zawiyah dan suaminya Ahmad mendapat perkhabaran permohonan untuk membuka kedai runcit di kedai milik majlis perbandaran di Selangor diluluskan.

Mana tidaknya, sudah agak lama mereka membuat permohonan itu namun tiada jawapan. Namun berkat doa dan usaha membuat rayuan, akhirnya impian itu terlaksana.

ARTIKEL BERKAITAN: Blok kosong dijadikan asrama sementara... 3 sekawan demam nampak kelibat misteri buat persembahan pukul 1 pagi

Pada awalnya, perniagaan pasangan itu berjalan lancar meskipun terdapat beberapa buah premis lain yang turut membuka kedai runcit.

Bagi mengelakkan sebarang rasa kurang senang peniaga lain, Zawiyah dan suami turut memfokuskan menjual barangan basah seperti sayur-sayuran dan ikan segar memandangkan tiada lagi yang menjual barang-barang tersebut di situ.

Tidak hanya itu, Ahmad turut melakukan perkhidmatan menghantar surat khabar dan barang ke rumah pelanggan.

"Fikir saya, pelanggan boleh membeli barangan segar di kedai saya dan sekiranya ingin barangan dapur lain mereka boleh ke dua buah kedai yang lain. Dapat juga kami sama-sama berkongsi rezeki," katanya.



Kedai Zawiyah lengang tanpa pelanggan. - Gambar Hiasan

Pelanggan lalu, tiada yang singgah!

Namun tidak sampai setahun Zawiyah membuka kedai tersebut, timbul perasaan pelik di hatinya apabila melihat ramai pelanggan lalu lalang di hadapan kedainya namun tiada seorang pun yang singgah. Malah pelanggan setianya juga seolah-olah tidak nampak kedai mereka dan hanya lalu dan berlalu pergi.

"Semua lalu lalang depan kedai macam biasa tapi tak singgah. Kadang-kadang kelihatan raut wajah mereka seperti kehairanan.

"Hampir seminggu satu jualan pun tidak ada, kadang-kadang sampai bahan segar yang dijual terpaksa dibuang kerana sudah rosak. Termenung juga saya memikirkan kejadian pelik menimpa kedai saya," ceritanya.

Sehinggalah pada suatu hari kata Zawiyah, seorang pelanggan menelefon bertanya sama ada kedai buka atau tidak kerana ingin membeli tong gas. Bagaimanapun, pelanggan itu sekali lagi menelefon memberitahu dia berada di kawasan kedai namun melihat kedainya tutup.

"Pelanggan itu agak marah kerana berasa seolah-olah tertipu dan saya beritahu kedai tidak tutup malah suami saya menunggunya di hadapan kedai.

"Suami siap melambai ke arahnya tetapi dia seolah-olah tidak nampak dan mungkin kerana berasa tidak puas hati, pelanggan itu berlalu pergi dan tidak singgah ke kedai kami," ujarnya.

Hampir seminggu satu jualan pun tidak ada, kadang-kadang sampai bahan segar yang dijual terpaksa dibuang kerana sudah rosak.

ZAWIYAH

Zawiyah memberitahu dia terkejut dengan apa yang baru berlaku dan kejadian itu turut menjelaskan mengapa kedainya tidak ada pelanggan hampir seminggu lalu.

Hati kecilnya mengesyaki ada pihak berasa dengki dan telah melakukan perkara terkutuk untuk menutup pandangan orang ramai agar tidak nampak kedainya.

"Tidak tahu apa yang dimarahkan kerana saya sendiri cuba tampil perkhidmatan berbeza agar tidak menggangu perniagaan orang lain," katanya.

Tanah kubur, dua batang lilin belakang kedai

Enggan terus menunding jari ke arah orang lain, Zawiyah dan suami sepakat memanggil seorang ustaz untuk 'periksa' kedai mereka sekiranya ada sesuatu yang pelik.

Sebaik melangkah di kaki lima kedai mereka, Zawiyah memberitahu ustaz itu tersenyum dan memandang tepat ke arah burung tiong milik suaminya yang digantung di hadapan kedai mereka.

"Kalau burung tiong ini boleh bercakap apa dia nampak, rasanya panjang ceritanya," kata ustaz itu kepada mereka suami-isteri.



Zawiyah tidak menyangka ada pihak sanggup menggunakan ilmu hitam untuk menjahanamkan perniagaannya.

Selepas menyiasat seluruh kawasan kedai, ustaz itu memberitahu ada pihak cuba menutup pintu rezeki perniagaan mereka dengan melakukan amalan syirik.

Ustaz turut menunjukkan tanda taburan tanah di sekeliling kedai yang dipercayai tanah dari kubur selain terdapat dua batang lilin yang sudah terbakar di belakang kedai.

"Luluh hati saya apabila ustaz beritahu perbuatan khianat orang terhadap kami dan beliau berpesan agar tidak terlalu mempercayai orang lain kerana ia dilakukan oleh orang berdekatan kami.

"Ustaz itu tidak dapat 'memagar' kedai kami memandangkan ia terlebih dahulu dipagar dengan tanah kubur namun meminta kami memasang surah al-Baqarah dan membersihkan kedai pada keesokan harinya,"ceritanya.

Selain itu, ustaz itu turut membuat campuran garam kasar dan lada hitam untuk ditabur di sekitar kawasan kedai dalam usaha mengelak masalah berlaku bertambah teruk.

"Alhamdulillah selepas beberapa hari, pelanggan mula memenuhi kedai kami malah ada yang berseloroh bertanya adakah saya dan suami pergi berbulan madu kerana lama kedai ditutup.

"Saya hanya mampu tersenyum meskipun ada kepahitan yang ditelan akibat perbuatan syirik orang lain," ujarnya.

Sehingga ke hari ini kata Zawiyah dia tidak mengetahui siapa dalang di sebalik kejadian itu dan berharap individu tersebut sudah insaf dan bertaubat kepada Allah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain