suria

Kaki pucat kebiru-biruan, petugas bilik mayat tahu wanita di depannya bukan rakan... “Gangguan perkara biasa, tapi tetap rasa takut”

Tugas menyimpan mayat di dalam peti sejuk adalah perkara biasa dilakukan Siti Fazilah. - Gambar Sekadar Hiasan

KETIKA Siti Fazilah sedang ralit termenung sambil menahan rasa mengantuk, telefon di kaunter bilik mayat tiba-tiba berbunyi membuatkannya tersentak.

Panggilan daripada jururawat tingkat tiga itu memintanya menghidupkan suis peti sejuk mayat kerana ada jenazah yang akan disimpan.

Sambil melihat ke arah jam yang menunjukkan pukul 1 pagi, Siti Fazilah memberitahu dia sempat bertanya tentang si mati bagi memudahkan urusannya menyediakan barang-barang diperlukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit menjerit ada mayat dalam bilik, jururawat terkejut makhluk jelmaan bekas pesakit sejak 11 tahun lalu

"Sementara menunggu mayat turun, saya ambil keputusan untuk duduk di dalam bilik tersebut dan membelek beberapa helaian kertas dan fail yang terdapat di atas meja.



Bilik mayat memang menyeramkan.

"Sesekali saya menjeling ke arah peti sejuk simpanan mayat untuk melihat suhu sama ada ia sudah mencapai kadar sejuk yang diperlukan atau pun belum," katanya.

Namun tiba-tiba, pintu bilik mayat tersebut terbuka sebelum melihat rakannya, Sarah, jururawat dari wad tingkat 4 muncul dan duduk di kerusi berdekatan tempat dia sedang berdiri.

Sarah nampak keletihan tetapi dia tidak mahu bertanya banyak kepada rakannya itu kerana sedang sibuk menyusun fail dan dokumen di atas meja.

"Dalam saya tak hiraukan Sarah, hati saya terdetik apa mimpi dia turun ke bilik mayat? Tapi saya fikir ia mungkin arahan jururawat senior memandangkan kami kekurangan staff ketika ini," ujarnya.

Jam hampir menunjukkan pukul 2 pagi, tetapi kelibat mayat yang ditunggu masih belum tiba malah Siti Fazilah berkata, Sarah juga sudah terlelap sambil melentokkan kepalanya di atas meja.

Saya cukup kenal dengan kaki jenis itu... rasa seram terus menyelubungi diri saya kerana mengetahui itu bukan rakan saya Sarah tetapi makhluk menyerupainya.

SITI FAZILAH

Pada awalnya, dia ingin mengejutkan Sarah tetapi tak sampai hati kerana melihat rakannya itu seperti benar-benar keletihan. Fikirnya, biarlah Sarah tidur seketika sementara jenazah sampai ke bilik mayat.

"Ketika saya sibuk mengemas semua dokumen, tiba-tiba sehelai kertas jatuh ke atas lantai berdekatan dengan kaki Sarah. Apabila saya tunduk untuk mengutip kertas itu, saya terkejut melihat kakinya yang kelihatan pucat dan kebiru-biruan.

"Saya cukup kenal dengan kaki jenis itu... rasa seram terus menyelubungi diri saya kerana mengetahui itu bukan rakan saya Sarah tetapi makhluk menyerupainya yang cuba menakut-nakutkan saya," katanya.

Bagaimanapun kata Siti Fazilah, dia tidak cepat menggelabah sebaliknya cuba berlagak seperti biasa memandangkan pernah berada dalam situasi sama sebelum ini.

"Kebetulan telefon berbunyi, jururawat dari wad 3 memberitahu mereka tidak jadi menghantar jenazah ke bilik mayat kerana keluarga sudah datang untuk menuntutnya.



Siti Fazilah sudah biasa diganggu ketika bertugas. - Gambar Sekadar Hiasan

"Sejurus talian dimatikan, saya lihat kelibat Sarah sudah tiada dan seperti dijangka ia adalah gangguan," ujarnya.

Berpengalaman 10 tahun berkhidmat sebagai petugas di bilik mayat, kata Siti Fazilah, ramai yang akan memberi reaksi terkejut apabila diberitahu tentang kerjayanya itu.

Malah soalan paling biasa ditanya kepadanya adalah sama ada dia tidak takut atau pernah mengalami kejadian seram sepanjang bertugas.

"Mula-mula dahulu, memang saya rasa takut dan gementar setiap kali ada mayat baharu yang tidak dituntut dan perlu disimpan di dalam peti sejuk.

"Mendengar cerita-cerita rakan sekerja yang lebih lama tentang pengalaman mereka juga memang menyeramkan tetapi ia adalah sebahagian daripada tugas di bilik mayat," jelasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain