suria

Adik meninggal dunia dalam keadaan misteri, kini si kakak pula menderita perut bagaikan mendidih!

Tiga tahun Qistina menderita akibat perbuatan khianat seseorang.

SUDAH tiga tahun Qistina (bukan nama sebenar) menderita akibat penyakit misteri dan pelbagai usaha dilakukan untuk berubat namun keadaannya masih sama.

Qistina bukan satu-satunya yang menghidap penyakit misteri itu tetapi adik lelaki dan isterinya turut menderita perkara sama sehinggakan kedua-dua mereka menemui ajal secara mengejut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pintu bilik tutup kemudian terbuka, kaki bagaikan diikat... Pekerja cuci rumah penginapan terkejut video dirakam keluar suara seram

"Siapa yang tidak sedih dengan pemergian ahli keluarga tersayang dan apa lebih meragukan kematian mereka berlaku selepas menderita penyakit misteri yang sehingga kini tidak dapat dirungkaikan.

"Selepas kematian mereka, saya pula yang diserang penyakit sama sehinggakan saya buntu dengan keadaan yang berlaku pada diri saya," katanya.

Menceritakan keadaannya, Qistina memberitahu dia mengesyaki ada pihak yang berdendam kerana dia mendapat tanah pusaka arwah bapanya manakala adiknya tinggal di rumah pusaka keluarga mereka.



Qistina sentiasa mengalami sakit perut yang menyucuk sehingga menyukarkan dia bergerak.

Sejak mengalami penyakit misteri itu, keadaan kesihatannya bukan sahaja terjejas tetapi sering mengalami gangguan di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan kediaman pusaka arwah bapanya sehinggakan dia tidak tahan dan berpindah ke tempat lain.

Ceritanya, sebelum ini rumah pusaka itu didiami oleh Allahyarham adiknya memandangkan adik-beradik yang lain termasuk dirinya sudah mempunyai tempat tinggal sendiri.

"Arwah bapa tidak pernah memfaraidkan hartanya tetapi memandangkan kami adik-beradik sudah mempunyai rumah sendiri, jadi adik tinggal di situ bersama isteri dan empat anaknya sejak bapa kami meninggal dunia.

"Sejak dia tinggal di rumah itu, bermulalah episod ngeri apabila adik dan isterinya tiba-tiba jatuh sakit sebelum meninggal dunia," katanya.

Qistina memberitahu pada awalnya dia tidak percaya adik kesayangannya itu sakit akibat disantau tetapi selepas dirinya sendiri mengalami perkara sama dia mula percaya ada sesuatu tidak kena.

Selepas kematian mereka, saya pula yang diserang penyakit sama sehinggakan saya buntu dengan keadaan yang berlaku pada diri saya.

QISTINA

Kisahnya, Qistina memberitahu pada suatu hari perutnya tiba-tiba terasa mendidih seperti gastrik namun kesakitannya disifatkan berkali ganda sehingga membuatkan dia kerap mengambil cuti sakit.

"Saya fikir saya silap makan, jumpa doktor lega sekejap tetapi tak lama ia serang kembali sampai rasa menyucuk di bahagian perut dan dada membuatkan saya tak larat bekerja.

"Apa membuatkan saya gelisah, perkara sama berlaku kepada arwah adik saya sampai dia tak bermaya menahan sakit meskipun pelbagai cara telah dilakukan," ceritanya.

Tidak cukup dengan itu, Qistina memberitahu perutnya menjadi keras serta kesakitan dialami merebak ke seluruh badan sehinggakan setiap kali ia menyerang, dia mengalirkan air mata.

Lebih malang, serangan biasanya berlaku pada waktu malam dan ketika menahan sakit dia turut diganggu dengan kemunculan kelibat selain badannya menjadi lebam ketika bangun tidur.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Pergi hospital pun tiada apa doktor dapat lakukan sehinggalah kakak sulung saya memanggil seorang ustaz untuk melihat keadaan saya yang semakin teruk.



Perbuatan sihir itu dilakukan oleh individu dikenalinya.

"Seperti dijangka benar saya terkena santau dan proses 'membuang' itu memang cukup menyeksakan... saya jadi lemah satu badan sampaikan ustaz dan tiga pembantunya turut keletihan.

"Ada beberapa jenis santau yang dihantar kepada saya yang membuatkan proses itu menjadi sukar," katanya.

Malah dia mengesyaki pihak yang melakukan perbuatan terkutuk itu berdendam dengan keluarga mereka selama ini.

"Saya sudah jangka ia perbuatan seseorang yang kami kenali tetapi saya anggap perkara itu sebagai ujian. Sehingga kini saya masih berubat dalam usaha 'membuang' saki baki santau dihantar kepada saya.

"Malangnya individu tersebut seolah-olah tidak serik dan mengetahui saya sedang berubat dan cuba menghantar pelbagai benda syirik kepada saya," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain