suria

Kisah ikan tapah bukan sekadar rekaan... sumpahan keturunan Pak Kaduk tiada penghujung, penawarnya hanya satu!

Meskipun sumpahan ini dikatakan hanya berlaku kepada keturunan Pak Kaduk yang berasal dari Perak, namun ia juga dipercayai boleh terkena kepada anak-anak mereka menerusi perkahwinan yang melibatkan keturunan ini.

BERBEZA dengan sumpahan Mahsuri yang bertahan selama 7 keturunan melibatkan penduduk Langkawi, namun sumpahan ikan tapah ini hanya dikenakan ke atas keturunan Pak Kaduk tetapi bersifat selama-lamanya.

Berlaku sejak zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah ibni Sultan Mansur Shah ketika tahun 1400-1500 dahulu di mana sukan menyabung ayam sangat popular dalam kalangan rakyat, bangsawan termasuk juga sultan.

ARTIKEL BERKAITAN: Percutian pasangan kekasih bertukar mimpi ngeri akibat perbuatan terkutuk... Benarkah sumpahan Bali target hubungan terlarang?

Pada ketika itu, ada seorang lelaki berketurunan raja bernama Pak Kaduk datang dari Siak, Sumatera belayar dari Selat Sungai Perak.

Dia telah membuat keputusan untuk menetap di Perak serta berkahwin dengan orang di sana.

Pak Kaduk merupakan seorang yang sangat handal dalam permainan menyabung ayam sehingga digeruni oleh penduduk kampung yang didiaminya.



Pak Kaduk terkenal dengan kisah mitos bermain sabung ayam.

Tewas Menyabung Ayam

Pada suatu hari, dia telah dicabar oleh sultan di mana jika Pak Kaduk kalah, dia terpaksa menyerahkan seluruh hartanya kepada sultan.

Tidak disangkal lagi ayam milik Pak Kaduk telah menang tetapi dia tidak tahu bahawa ayam taruhannya itu telah ditukarkan sebelum perlawanan tersebut.

Pak Kaduk akur dengan kekalahan lalu memberikan seluruh harta kepada sultan termasuk isteri dan anaknya sendiri kecuali haiwan peliharaannya kerana kucing tersebut tiada di rumah pada ketika itu.

Akur dengan kekalahan dihadapinya, Pak Kaduk mengembara ke Sungai Perak bersama si bulus miliknya itu.



Mengikut mitos kucing mampu mengesan ikan tapah di dalam sungai.

Semasa Pak Kaduk sedang beristirehat di pinggir Sungai Perak tersebut, kucingnya datang menghampiri seolah-olah mengajak dia mengikutnya ke suatu tempat. .

Hairan dengan kelakuan si bulus, Pak Kaduk ekori kucingnya ke tepi Sungai Perak dan ketika itulah Pak Kaduk terjumpa dengan seekor ikan tapah gergasi memiliki perut yang besar.

Dipendekkan cerita, Pak Kaduk membelah perut ikan tersebut lalu keluarlah emas yang banyak dalam badan ikan tapah itu.

Orang-orang tua dulu pernah berkata, Pak Kaduk kemudian mengambil emas tersebut dan menjahit semula perut ikan tersebut sebelum dilepaskan menggunakan benang batang pisang sambil melafaz sumpah kekal sehingga ke hari ini.



Sumpahan ikan tapah masih diperkatakan sehingga ke hari ini.

Sumpahan Ikan Tapah

Pak Kaduk dikatakan telah bersumpah, “Mulai hari ini dan ke hadapan, aku tidak akan menyabung lagi. Aku, isteriku, anakku, cucu-cicit, piyat-piyut, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh makan, menyakiti atau menganiaya anak ikan tapah.

“Barang siapa yang melanggar sumpah aku akan mendapat sakit kulit seperti gatal, melecur dan bengkak-bengkak. Kiranya tahan badan, tidak selamat hidupnya.”

Beginilah luahan kisah sumpahan Pak Kaduk yang masih berkait dengan lagenda ikan tapah sehingga kini.

Sejak itu, semua keturunan Pak Kaduk tidak lagi makan ikan tapah serta membuat pantang larang selepas mendapat bantuan daripada emas yang keluar dari perut ikan itu.

Mitos mengatakan harta Pak Kaduk ialah tiga kerongsang emas dipercayai daripada perut ikan tapah. Keturunannya masih utuh dan akan digunakan untuk mengubati penyakit yang berlaku selepas memakan ikan tapah.



Emas dijadikan sebagai penawar gatal-gatal akibat makan ikan tapah.

Terkena Penyakit Kulit

Orang yang mengalami kegatalan dan alahan selepas memakan ikan tapah akan mendapatkan rawatan di rumah waris Pak Kaduk berada di sebuah perkampungan di Perak.

Kebiasaannya waris Pak Kaduk akan memberikan air penawar diisi dalam botol kepada mereka yang dikatakan terkena sumpahan.

Waris Pak Kaduk menyediakan air penawar dengan merendam emas ke dalam air untuk diminum, disapu pada kawasan yang gatal, atau sebagai air mandian.

Meskipun sumpahan ini dikatakan hanya berlaku kepada keturunan Pak Kaduk yang berasal dari Perak, namun ia juga dipercayai boleh terkena kepada anak-anak mereka menerusi perkahwinan yang melibatkan keturunan ini.

Kebanyakan waris Pak Kaduk kini dikatakan tinggal di daerah Perak Tengah atau ada juga mereka yang telah berhijrah ke bandar untuk bekerja.

Percaya atau tidak adalah terpulang kepada diri masing-masing kerana ikan tapah itu sendiri kini sukar untuk dijumpai.

Kita boleh pilih untuk tidak memakan ikan tersebut bagi mengelak kepupusan haiwan ini mahupun terkena sumpahan ikan tapah itu sendiri.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain