suria

Tiba-tiba rasa meremang lalu tepi padang... Rupanya ada ‘benda’ bertenggek atas pokok besar!

Azura melalui sebatang pokok yang besar dan menyeramkan. -gambar hiasan foto stocksnap

PELUANG berpindah ke rumah sewa baharu di pangsapuri lima tingkat di Bayan Lepas, Pulau Pinang memang menyeronokkan.

Manakan tidak, lokasinya pula terletak dekat kawasan bukit yang menghijau dan cantik.

Kata Azura, tuan rumah pun dah ubah suai kediaman menjadikan ia lebih selesa dan kelihatan luas. Masuk rumah dah boleh nampak balkoni.

Semuanya okay, cuma masalah di sini hanyalah isu tempat parkir kerana sangat terhad.

"Siapa cepat, dia dapat. Selalunya tak dapat parking la, terpaksa parking dekat tepi-tepi jalan je jawabnya," kata Azura berkongsi cerita.

Pada suatu hari sekitar pukul 8 malam, dia tiba di kawasan perumahannya dan berlegar-legar mencari petak parkir.

mistik kaku depan pokok 4.jpg

Satu makhluk bertenggek di atas dahan pokok. - gambar hiasan.

Malangnya tak ada pula, nak tak nak kena letak kereta di tepi jalan.

"Dapat parking kat lorong tepi padang. Lorong tu cerah juga dengan bantuan lampu jalan. Daripada tempat saya park kereta nak ke rumah, saya perlu lalu tepi padang.

"Kat padang tu ada sebatang pokok yang besar dan rimbun. Tak tahu la pokok apa. Saspens juga nak lintas pokok tu. Macam-macam terfikir kat kepala.

"Saya huznuzon. Baru pukul 8 malam kot, tak ada apa-apa. Saya jalan cepat-cepat. Mata tepat tengok rumah je, tak tengok kiri kanan dah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah hujung jalan ada 'penunggu', 4 bulan penyewa hidup dengan jin... Akhirnya pemuda ini mengalah, entiti tunjukkan diri!

Tiba-tiba rasa meremang sebaik melintas di hadapan pokok yang besar itu, terasa seperti ada mata yang memerhati.

Rambutnya panjang mencecah tanah

Tanpa berfikir panjang, Azura mempercepatkan langkah dan terus berjalan sambil tunduk dengan harapan tidak melihat apa-apa yang aneh.

"Tolong la jangan nampak apa-apa. Jarak kereta nak sampai pintu masuk pondok pengawal tu tak jauh sangat pun. Kalau jalan cepat kejap je dah sampai.

"Peliknya, saya masih kat situ. Masih dekat pokok tu. Saya panik!" ujar Azura.

mistik kaku depan pokok 2

Rambutnya panjang mencecah tanah. - gambar hiasan.

Ketika itu juga dia melihat satu makhluk yang bertenggek di atas dahan pokok tu. Rambutnya panjang mencecah tanah, manakala tangan dan kaki pula terjulur panjang.

Makhluk itu mencangkung sambil memandang dengan matanya bersinar macam mata anjing.

"Apa lagi, saya buka langkah seribu. Tapi saya masih lagi kat situ! Macam mana saya lari pun masih kat pokok tu. Saya dah nangis macam orang gila dah. Lari-lari tapi masih kat tempat sama dan makhluk bermata anjing tu masih memandang," tambahnya.

Tiba-tiba dia terdengar suara suaminya yang entah dari mana muncul di hadapannya: "Allahuakbar!"

Saya buka langkah seribu... tapi saya masih lagi kat situ! Macam mana saya lari pun masih kat pokok tu.

AZURA

Makhluk yang dilihatnya dekat pokok yang besar itu terus hilang.

"Sayang, awak jalan depan. Tak ada apa, saya kat belakang awak," kata-kata suami membuatkanya terpinga-pinga sambil terus berjalan balik ke rumah.

Jari panjang mencengkam leher

Kejadian yang berlaku sebentar tadi terus mencetuskan tanda tanya tentang apakah yang berlaku sebenarnya?

"Saya cakap kat suami, saya lari sebab nampak hantu kat pokok tepi padang tu. Suami pula cakap, dia nampak saya keluar kereta tapi saya berdiri je kat pokok tu.

"Dia cakap dekat lima minit juga saya berdiri kaku kat situ. Masa tu dia dah rasa pelik dan sebab itu dia keluar pergi jemput saya kat kereta,” kata Azura.

Tidak terhenti sekadar itu, pada malam yang sama dia mahkluk bermata anjing yang mengejar untuk mencekiknya tadi muncul dalam mimpi.

mistik kaku depan pokok 1

Azura mimpi dicekik hantu. - gambar hiasan.

Dalam mimpi itu, makhluk tersebut berjaya mencekiknya dengan jari-jari panjang mencengkam lehernya sampai luka.

"Astaghfirullahalazim. Mimpi tu macam betul je. Bangun pagi tu, leher dan bahu saya sakit. Leher teleng, tak boleh nak pusing. Orang tua kata silap tidur.

"Badan pun mula rasa tak sedap. Saya ajak suami pergi klinik dan doktor kata muscle cramp je," kata Azura.

Malam itu, rasa sakit masih tidak berkurangan walaupun mengambil ubat-ubatan daripada klinik.

Berkongsi tentang mimpinya dicekik hantu, suami mula membaca doa dan berzikir termasuk menyediakan air penawar selepas solat Isyak.

"Dia syak ada benda yang dok bertenggek atas bahu saya dan cekik leher saya. Gulp! Takut la pula.

"Selepas kejadian tu semua okay. Dah tak sakit lagi. Kadang-kadang tu aku terpaksa juga parking kereta dekat lorong tepi padang tu. Masih lagi lalu dekat pokok tu.

"Tapi dah tak jumpa apa dah, Alhamdulillah. Nasib baik suami selalu ada. Suami ni ada kebolehan berubat sikit-sikit, cuma dia tak praktikkan.

"Dia belajar dengan arwah Abah dulu, untuk dia jaga keluarga dia. Nak berubat orang tu dia belum sedia lagi," kata Azura menerusi perkongsian di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain