SEORANG pengamal perubatan tradisional yang membahasakan dirinya sebagai Tok tampil berkongsi cerita mengenai arwah gurunya yang meninggal dunia, dipercayai terkena buatan orang. Menurut Tok, arwah gurunya yang berdepan pelbagai gangguan misteri, namun tetap bertahan sehingga hayatnya berakhir pada usia genap 62 tahun. "Dulu Tok pernah tanya arwah guru, setiap kali nak datang rumah dia, mesti ada terjumpa barang sihir, macam-macam jenis. Tok tanya arwah, Tok Ayah, saya rasa ada yang nak kenakan Tok Ayah, ada yang tak suka Tok Ayah. Antara barang sihir yang ditemui. "Arwah tersenyum. Katanya, selagi kita merasakan apa yang dihantar oleh mereka itu akan memudaratkan kita, maka mudaratlah pada kita. Tapi sekiranya kita yakin yang memudaratkan kita itu adalah Allah, InsyaAllah nescaya Allah lindungi kita. "Kata Tok Ayah, dia dah lama tahu ada yang tak suka dekat dia. Ada yang cuba khianat dirinya. Memang banyak dia jumpa barang pelik-pelik, barang khurafat, dia hanya mampu senyum dan menadah tangan. "Ya Allah jika ini adalah ujian yang kau turunkan buat aku, aku reda. Tapi sekiranya ini adalah ujian yang engkau izinkan, tapi kau tak pernah reda, kau jauhkanlah ya Allah," ujar tok, mengimbas semula cerita serta doa yang dibaca oleh arwah gurunya. Perjalanan penuh misteri Menurut Tok, dia juga pernah mengikuti arwah untuk keluar merawat pesakit dan berlaku satu kejadian aneh yang membuatkan dia hairan dan tertanya-tanya. Imbas Tok, kereta arwah gurunya kehabisan minyak namun masih mampu meneruskan perjalanan selepas mengisi tangki dengan air lumpur. "Pernah Tok ikut arwah berubat. Dalam perjalanan ke rumah pesakit, tiba-tiba kereta mati tengah jalan, kawasan kiri kanan hutan. Tok dah mula resah, perjalanan lebih kurang 35 minit untuk sampai ke rumah pesakit. "Tok tanya Tok Ayah, macam mana sekarang? Dia senyum. Allah nak uji kamu dengan saya, berserahlah. Tok ayah pergi dekat bonet, tok nampak dia ambil botol mineral, kemudian dia berjalan seperti mencari sesuatu. Dia terjumpa lopak air. Tok akui hairan apabila kereta yang dinaiki mereka boleh bergerak tanpa minyak. "Tok nampak dia tadah air tersebut ke dalam botol yang dibawa. Arwah suruh Tok baca apa-apa doa yang Tok hafal. Sambil leka membaca, Tok Ayah sudah duduk sebelah Tok, suruh hidupkan enjin dan terus jalan jangan cakap apa-apa. "So kami pun teruskan perjalanan, sampailah kami pulang semula ke rumah. Alhamdulillah kereta tak ada masalah. Pelik menggaru kepala. Meter minyak E, kereta boleh teruskan perjalanan. Esoknya, Tok pun nak bersihkan kereta. Jumpa botol yang Tok Ayah cedok air malam tadi. "Dalam botol tu tak ada air, cuma kesan lumpur. Kepala otak dia! Tok terduduk fikir. Takkan Tok Ayah tuang air dalam tangki minyak. Mustahil!" ceritanya panjang lebar. Doa tujuh kali sehari Menurut Tok, gurunya tiba-tiba menyapa daripada belakang dan memecah kebuntuannya mengenai kejadian tersebut sebelum berkongsi doa yang menjadi amalan. "Leka duduk berfikir, Tok Ayah sapa daripada belakang. Kata Tok Ayah, kalau Dia berkehendak apakah mustahil bagi Doa? Ada satu amalan tu Tok tanya Tok Ayah. Apakah amalan dia selalu buat sehinggakan banyak perjalanan dia lancar. ARTIKEL BERKAITAN: Bermula di Gunung Jerai, gadis dakwa dirinya kembar ular emas! Sering gurau dalam mimpi, lepas bangun ada kesan gigitan "Banyak orang dengki kepada dia, sihir dia, semua tak menjadi. Tok Ayah cakap tak ada amalan hebat, cuma selalu amalkan doa," ujar Tok. Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaanNya dari keburukan yang sedang aku rasakan dan yang aku khuatirkan. Arwah meninggal dunia selepas dua tahun menahan derita. Demikian doa yang diamalkan Tok Ayah yang mana dia istiqamah membacanya sebanyak tujuh kali setiap hari. Sepanjang mengamalkan doa itu, Tok Ayah banyak diberi petunjuk setiap kali ada orang mahu mengkhianatinya, malah dia tidak pernah meninggalkan doa itu sepanjang 60 tahun kehidupannya. Pengakhiran paling memilukan Bercerita lanjut, Tok berkata gurunya itu bagaimanapun mula terlantar sakit akibat terkena buatan orang sebelum menghembuskan nafas terakhir dua tahun kemudian. Sebelum meninggal dunia, arwah juga sempat berpesan, seolah-olah memberi bayangan mengenai identiti individu yang mengkhianatinya. "Genap umur 62 tahun, setelah dua tahun terlantar arwah pergi dengan kezaliman manusia. Kadang-kadang kita kena berhati-hati. Musuh yang paling bahaya adalah musuh yang selalu dengan kita. "Tok tak nak cerita siapa yang lakukan. Tapi arwah guru pesan. Selepas dia pergi, jangan lagi ada hubungan dengan anak angkatnya. "Daripada kecil dibesarkan dengan penuh kasih sayang, pengakhiran arwah sangat memilukan kerana perbuatan orang yang paling dekat dengan dirinya. "Semoga arwah Tok Ayah tenang di sana, ditempatkan dalam kalangan orang beramal soleh," ujarnya mengakhiri nukilan panjang lebar yang dikongsi menerusi Facebook. Sekadar peringatan bersama, menurut laman web pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Islam menolak amalan sihir dan mengajar umatnya untuk meminta perlindungan dengan Allah SWT daripada kejahatan sihir. Semoga kita dijauhkan oleh Allah daripada perbuatan sihir, sama ada melakukannya atau dibinasakan dengannya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI