suria

Ahli sihir Rusia dedah siapa paling senang terkena ilmu hitam... Zhanna Kushnir mengaku jumpa orang mati dalam mimpi sejak kecil

Zhanna berkata orang Islam yang taat kepada ajaran agama sangat sukar untuk ditembusi dengan sihir.

AMALAN sihir wujud sejak berkurun lama, malah ia masih lagi diamalkan segelintir individu dalam dunia serba moden hari ini.

Tidak terkecuali tentunya Zhanna Kushnir, seorang ahli sihir wanita dari Rusia yang secara tiba-tiba menjadi terkenal di Malaysia.

Kisah mengenai Zhanna menjadi tular selepas satu video wawancaranya diterjemah dalam bahasa Indonesia, sekaligus membolehkan rakyat Malaysia memahami apa yang dituturkannya.

Ibadah jadi pendinding

Paling menarik tentunya pendedahan Zhanna dalam wawancara itu yang mengaku sukar untuk menghantar sihir kepada orang Islam, khususnya kepada mereka yang alim dan taat perintah Allah.

zhana3

Ahli sihir itu berkata, amalan solat dan berdoa menjadi pendinding sihir kepada orang Islam.

"Saya berhadapan dengan orang daripada pelbagai jenis agama. Sangat susah untuk saya mempengaruhi orang Islam. Mereka diwajibkan beribadah setiap hari. Maka mereka sentiasa berada dalam kubah pelindung.

"Sangat susah untuk sihir menembusi mereka. Orang Islam sentiasa berdoa kepada pencipta mereka. Orang Muslim memiliki iman dan hubungan yang kuat dengan pencipta mereka. Pencipta itu juga sangat protektif.

"Jadi usaha untuk menyerang Muslim yang taat pada agamanya adalah sangat sukar untuk dilakukan," ujar Zhana yang berpakaian serba hitam dalam wawancara itu.

Menurut Zhanna, bukan dia tidak pernah mencuba untuk menyihir orang Islam, namun kaedah yang digunakannya seolah-olah tidak berkesan, malah ada kuasa misteri yang sentiasa menjadi penghalang.

zhana1

Zhana mendakwa dia mempunyai kecenderungan ke arah bidang sihir sejak kecil lagi.

"Setiap kali saya cuba mengikat seorang Muslim dengan sihir, kuasa sihir itu seolah-olah diseret keluar dan dihalang oleh sesuatu kekuatan yang asing.

"Biasanya ketika nak jalankan sihir ke atas orang Islam, saya akan pegang foto mangsa, saya lihat dan bayangkan (wajah) mereka. Namun entah kenapa, bayangan itu hilang dalam minda saya.

"Ini bermakna ada sesuatu yang melindungi individu tersebut. Tapi apabila saya mahu menyihir orang bukan Islam, saya dapat membayangkan mereka dengan tepat, sekaligus mudah untuk mangsa dipengaruhi dengan sihir," dedahnya lagi.

Dalam perkongsian itu, Zhanna turut mendedahkan bahawa individu yang fikirannya kosong atau berada di bawah pengaruh alkohol paling senang untuk dipengaruhi dengan sihir.

Berbeza sejak kecil

Mengenai dirinya, Zhanna berkata dia menyedari bahawa dia merupakan individu yang sangat berbeza dengan rakan sebaya sejak kecil lagi.

Menurut Zhanna dalam wawancara bersama projek Shadow Control, dia tertarik dengan benda-benda pelik yang mungkin tidak difahami ramai orang dan mengaku boleh melihat mereka yang sudah meninggal dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang bomba sado belanja biceps terkejut tiba-tiba jadi ‘famous’, netizen jumpa akaun IG... Rupanya bertugas di balai Puchong je!

Ketika membesar, dia semakin mengerti akan keistimewaan diri dan mula mempelajari amalan sihir tanpa bimbingan sesiapa.

"Ianya bermula ketika zaman kanak-kanak. Ketika saya berumur empat tahun, nenek saya meninggal dunia di hospital. Keluarga kami tidak dimaklumkan mengenai hal itu.

"Saya tiba-tiba menjerit dan histeria. Keluarga tak faham apa yang berlaku dengan saya. Mereka kemudiannya cuba ambil suhu badan saya. Pada waktu itu, saya boleh merasai kematian darah daging sendiri.

"Keesokannya, kami dimaklumkan mengenai kematian nenek. Pada umur 9 tahun, saya mula tilik nasib. Pada waktu itu, ibu bapa saya sedar bahawa saya ada kecenderungan itu. Saya juga minat dengan keganasan sejak kecil.

zhanba4

Pendedahan Zhanna mengenai sihir ke atas umat Islam turut mendapat perhatian rakyat Malaysia.

"Pada umur 12 tahun, saya nampak orang mati yang tak dikenali dalam mimpi saya. Masa umur 13, saya mendalaminya dengan lebih mendalam dan sedar bahawa saya seorang yang berbeza.

"Orang mati sentiasa datang dalam mimpi saya. Sejak saya berumur 12 tahun dan sejak itu saya ada hubungan dengan alam kematian," dakwanya lagi.

Zhanna tiba-tiba tular di Malaysia

Untuk rekod, sedutan video wawancara Zhanna bukan sahaja meraih tontonan tinggi di YouTube dan Facebook, malah turut menjadi perbualan dalam kalangan pelayar Twitter Malaysia.

Rata-rata netizen turut berkongsi amalan yang dilakukan mereka untuk menghindari sihir, tak kurang juga yang berkongsi pengalaman mereka sebagai mangsa sihir.

"Betul, pendinding paling utama dan asas sebenarnya amal-amal harian kita. Ayatul Kursi lepas solat, sebelum tidur, masa rasa tak sedap hati.

"Aku pun ada member bekas bomoh. Dia pun cakap sama. Ramai je orang solat, tapi yang betul-betul khusyuk tu susah nak tembus.

"Berdoa untuk lindungi diri. Jangan pernah tinggalkan solat," tulis beberapa netizen.

Sebagai peringatan bersama, menurut laman web pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Islam menolak amalan sihir dan mengajar umatnya untuk meminta perlindungan dengan Allah SWT daripada kejahatan sihir.

Semoga kita dijauhkan oleh Allah daripada perbuatan sihir, sama ada melakukannya atau dibinasakan dengannya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain