suria

“Tukar kain darah ke tu?” - Wanita baru lepas bersalin kaku ‘akak wad hujung’ rayu jangan cuci tuala wanita

Kisah ditegur 'akak wad hujung' ketika berada di dalam tandas masih segar dalam ingatan Mayang Sari. Gambar hiasan

PENGALAMAN seram ketika melahirkan cahaya mata kedua masih segar dalam ingatan wanita ini meskipun sudah berlalu hampir 16 tahun.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mayang Sari@Adik, sejurus selepas bertarung nyawa melahirkan puteri kedua, dia kemudian ditempatkan di wad biasa.

Namun disebabkan katil di bahagian hadapan telah penuh, dia ditempatkan di wad paling hujung, iaitu hanya beberapa langkah dari pintu kecemasan untuk penghuni menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran dan sebagainya.

"Pada hari itu, saya bersalin pada lewat petang selepas waktu Asar. Oleh kerana itulah juga saya terpaksa bermalam di wad bersalin untuk memastikan saya dan anak sihat apabila dibenarkan meninggalkan hospital kelak.

"Petang itu, seorang demi seorang penghuni di wad hujung dibenarkan pulang. Tinggallah saya berdua dengan seorang pesakit yang menunggu masa untuk ditolak ke 'labour room'.

wad 3

Mayang Sari ditempatkan di wad hujung selepas melahirkan bayinya. Gambar hiasan

"Alhamdulillah anak tidak meragam, tidur lena ibarat sang puteri salji. Sedang saya melayan mata untuk lelap, tiba-tiba pesakit di katil sebelah menjerit kerana ketubannya telah pecah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak ada siapa, aku duduklah” - Mimpi makhluk huni bilik kosong, siap bawa kain baju... ustaz check memang betul ada!

ARTIKEL BERKAITAN: Buang kain putih lusuh, rupanya baju pontianak! Mengilai bila penghuni call ustaz minta tolong dari rumah sewa puaka

"Dengan segera dia ditolak ke ruang bersalin yang terletak beberapa meter dari meja jururawat. Ketika itu jugalah saya dapati tuala wanita saya telah penuh," cerita wanita ini mengimbas kembali peristiwa yang berlaku ketika dia bersalin di sebuah hospital lama pada Ogos 2006.

Disebabkan hanya beberapa orang sahaja jururawat bertugas ketika itu dan mereka sibuk mengendalikan pesakit wanita yang mahu bersalin sebentar tadi, Mayang Sari menggagahkan dirinya berjalan ke tandas untuk menukar tuala wanita yang baharu.

Bagi Mayang Sari, tidak menjadi masalah untuknya ke tandas memandangkan ia hanya terletak beberapa langkah dari katil.

"Perasaan seram dan takut tu tetap ada memandangkan hijab saya ini yang senang terbuka jadi sangat memerlukan teman ketika itu.

"Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam dan waktu melawat juga sudah tamat, mengharapkan suami datang jauh sekali kerana banyak perkara yang perlu beliau lakukan, daripada mencuci uri, menanam uri dan menguruskan anak sulung yang ketika itu berusia dua tahun," ceritanya.

wad 1

Menerusi perbualan jururawat, difahamkan insiden mistik kerap kali berlaku di 'wad hujung' tersebut. Gambar hiasan

Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam tandas, bulu roma Mayang Sari mula meremang, seolah-olah memberi 'petanda' akan kehadiran sesuatu.

"Saya duduk di kerusi khas yang disediakan kepada pesakit untuk mandi. Selesai sahaja menukar tuala wanita, tiba-tiba ada suara seorang perempuan menegur sedang tukar kain darah ke tu? Jangan dicuci ye, biarkan sahaja di situ nanti akak tolong cucikan, katanya sambil ketawa.

"Saya cekalkan hati menjirus sebanyak mungkin air supaya darah yang tinggal di tuala wanita tidak ketara banyak.

"Saya tidak berani menoleh ke kiri atau kanan apatah lagi mendongak ke atas kerana dapat saya rasanya suara itu benar-benar berada di atas kepala saya. Janganlahhhhh akak hausss, perempuan itu merayu pula," kongsinya.

Dalam ketakutan, Mayang Sari menggagahkan diri untuk kembali duduk di atas kerusi lalu menarik tali kecemasan bagi meminta bantuan jururawat.

Ketika itu juga, sepatah ayat al-Quran pun tidak terluah daripada mulutnya kerana kaku dan menggigil kerana terlalu takut.

Saya tidak berani menoleh ke kiri atau kanan apatah lagi mendongak ke atas kerana dapat saya rasanya suara itu benar-benar berada di atas kepala saya.

MAYANG SARI@ADIK

"Mengenangkan anak yang masih ada sisa darah (belum mandi) keseorangan di luar, saya menarik tali kecemasan berkali-kali.

"Lega apabila mendengar derap tapak kasut menghampiri tandas dan pintu luar bilik air dibuka oleh seseorang. Saya gagahi diri untuk berdiri untuk membuka pintu bilik air. Kenapa tak panggil nak ke tandas. Kalau jatuh tadi tak pasal-pasal saya kena marah, omel jururawat itu kepada saya.

"Saya hanya berdiamkan diri. Jururawat itu membawa saya kembali ke katil. Kak, pad saya belum dibuang. Masih ada di lantai, kata saya perlahan. Tak apa, akak tolong buangkan, kata jururawat tersebut lalu masuk kembali ke tandas," ceritanya.

Namun hampir 30 minit, jururawat yang membantu Mayang Sari tadi masih belum muncul, menyebabkan wanita itu meminta seorang jururawat lain untuk pergi memeriksa di tandas.

wad 2

Selepas insiden berkenaan, Mayang Sari dan seorang lagi pesakit wanita dipindahkan ke wad lain. Gambar hiasan

"Setelah beberapa minit berada di dalam, dia keluar juga bersendirian dan berjalan laju meninggalkan saya bersama pesakit yang baru masuk tadi.

"Kemudian dia datang kembali dengan jururawat yang berbaju biru. Tolak katil-katil pesakit ni ke wad depan, tumpang di wad kelas kedua sementara untuk discarge esok, kata jururawat berbaju biru itu memberi arahan.

"Saya dah baritahu, pesakit yang bermalam di hospital jangan letak di wad hujung. Suka sangat lah 'dia'. Dah lama 'dia' tak datang, malam ni datang pula'.

"Pada hujung pendengaran saya jelas kedengaran perbualan mereka sambil menolak katil. Entah siapa lah 'dia' yang dimaksudkan itu tadi.

"Walau siapa pun 'dia', saya tak ingin ambil tahu. Apa yang penting malam itu saya dan anak dapat tidur dengan tenang, aman dan damai kerana alunan al-Quran mula berkumandang memenuhi ruangan wad bersalin pada malam itu," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain