suria

Buang kain putih lusuh, rupanya baju pontianak! Mengilai bila penghuni call ustaz minta tolong dari rumah sewa puaka

Wanita tersebut melihat sendiri sosok pontianak di dapur rumah sewanya. Gambar sekadar hiasan

BARU dua hari masuk ke rumah sewa, pasangan suami isteri ini mengalami gangguan, seolah-olah kehadiran mereka sama sekali tidak dialu-alukan.

Menurut si isteri yang enggan mendedahkan identitinya, mereka berpindah ke sebuah rumah sewa yang terletak di Petaling Jaya, Selangor atas tuntutan kerja suaminya.

Bukan sahaja kadar sewa berpatutan, lokasi rumah sewa tersebut yang agak strategik kerana terletak berhampiran dengan kemudahan seperti pasar raya dan klinik juga sudah cukup membuatkan wanita ini gembira.

Pada hari yang dinantikan, dia dan suami berpindah masuk ke rumah tersebut.

mistik 2

Wanita tersebut sudah berasa tidak sedap hati sebaik sahaja tiba di rumah sewa tersebut. Gambar hiasan.

Namun apa yang mengejutkan, ketibaan mereka 'disambut' oleh sesuatu yang agak aneh yang terdapat dalam salah sebuah bilik tidur di rumah tersebut.

"Aku siap jumpa kain putih lusuh berlumpur kering kat dalam bilik tidur aku. Siap ada dua, tiga helai rambut panjang lekat dekat kain tu.

"Dalam hati aku terdetik, 'kain pontianak ke ni? Pontianak tukar baju dalam bilik ni ke?'. Aku gelak kecil dengan diri aku sendiri. Aku tanpa banyak soal, terus campak kain tu dalam tong sampah luar rumah," kongsinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri lari malam! Tak tahan kongsi rumah sewa dengan penunggu... ‘Dia’ tumpang main kereta mainan, petik kipas...

ARTIKEL BERKAITAN: Pertama kali balik kampung suami, wanita di meja solek tegur ‘lama hangpa tak balik’... rambutnya panjang sampai lantai

Hari pertama pasangan ini di rumah baharu mereka berlalu seperti biasa tanpa ada insiden aneh lain sebagaimana siang hari tadi.

Namun pada hari kedua, bermulalah episod gangguan aneh sehingga membuatkan wanita tersebut menggigil dan menangis kerana ketakutan yang teramat.

"Suami pergi kerja. Aku dalam bilik ni main Candy Crush, selamba je aku dengar ada orang mandi macam orang gila dekat bilik air di luar bilik.

"Dia punya jirus air tu macam gelojoh sangat nak mandi. Aku menangis dan terus call suami aku. Suami suruh baca apa-apa yang patut.

"Bila bunyi orang mandi dah hilang, aku pergilah tengok dekat bilik air tu. Ya Allah, berus gigi aku dan suami betul-betul landing dalam lubang jamban duduk tu.

"Lepas tu ada najis dekat atas lantai. Aku cuci semua dan terus masuk bilik tak keluar-keluar," ceritanya.

'Benda' tersebut bukan sahaja mengganggu wanita itu ketika berseorangan di rumah, malah sudah berani menunjukkan 'belang' ketika si suami tidak keluar bekerja.

mistik 3

Wanita tersebut hanya mengunci diri di dalam bilik tidur sepanjang suaminya keluar bekerja, kerana terlalu takut. Gambar hiasan.

"Ada satu malam tu lagi teruk kena. Suami balik kerja nak makan nasi. Aku hidang nasi dekat suami. Menjerit suami kata nasi basi dan bau hancing! Aku panik, macam mana boleh basi? Aku baru je masak nasi tu, masih panas lagi.

"Suami aku bangun, terus pergi azan dekat tengah-tengah rumah. Habis je suami azan, ada suara ikut azan, suara tu datang dari sebuah bilik kosong yang pintunya bertutup.

"Benda tu azan main-main, gelak-gelak dan ia sangat menyeramkan campur ngeri. Suami terus tendang pintu bilik tu sampai terbuka! Nyalakan lampu, tapi tak ada apa-apa pula. Tapi bilik bau hanyir busuk bangkai," ujar wanita tersebut.

Disebabkan terlalu geram, suaminya terus menghubungi pemilik rumah untuk membuat aduan, namun jawapan yang diberikan amat menghampakan iaitu ia adalah 'masalah peribadi penyewa'.

Tidak habis setakat itu, 'benda' tersebut ligat membuat gangguan malah sehingga tidak terjangkau oleh akal pasangan berkenaan.

"Waktu suami balik kerja, suami kata 'awak bermentera apa dengan saya ni?'. Aku tak faham dan tanya suami, 'mentera apa bang?'. Suami suruh tengok WhatsApp.

"Aku on WhatsApp. Gila betul, aku ada hantar chat mentera dekat suami aku dalam WhatsApp.

"Menteranya berbunyi, 'terbang melayang-layang, ada di dahan, ada di darat. Masuk ke dalam jasad, terus ke hati. Menangis dijemput, menangis dihantar pulang, rambut mengurai, terkena sampuk, sehingga mati.'

"Berderau darah aku baca, takkan hantu syaitan pandai pakai WhatsApp pula? Pandai main teknologi?" katanya.

Tengah sedap-sedap tidur sambil pasang ayat suci, ada terbau asap. Alih-alih dengar suami menjerit sekuat hati. Mana tidaknya, beg duit suami terbakar!

ISTERI

Bukan itu sahaja, mereka juga pernah berdepan gangguan yang agak ekstrim sehingga tahap boleh membahayakan nyawa.

"Tengah sedap-sedap tidur sambil pasang ayat suci, ada terbau asap. Alih-alih dengar suami menjerit sekuat hati. Mana tidaknya, beg duit suami terbakar!

"Belum reda lagi kes terbakar ni, tiba-tiba semua frame gambar kahwin aku dengan suami retak serentak. Lepas itu terdengar bunyi benda mengilai dekat ruang tamu.

"Suami call ustaz yang dia kenal dan minta tolong datang ke rumah. Ustaz tu kata, 'saya dekat Kuantan ni'. Lepas je ustaz cakap macam tu, ada satu suara garau cakap dekat depan pintu bilik aku 'di Kuantan ya?'... sambil mengilai.

"Ustaz tu suruh suami azan di setiap penjuru bilik. Suami cepat-cepat buat, lepas tu, gangguan dah pulih sikit, kami sambung tidur," ceritanya.

Sungguhpun berdepan gangguan demi gangguan, namun wanita ini dan suaminya masih bersabar dan bertahan di rumah sewa tersebut, disebabkan faktor kekangan kewangan untuk mencari rumah yang lain.

Hanya berikhtiar bersendirian seperti melaungkan azan dan memasang ayat suci al-Quran, mereka berharap gangguan tersebut akan reda dengan sendirinya secara beransur-ansur.

Bagaimanapun, insiden yang berlaku pada satu hari, menjadi kemuncak kepada episod gangguan yang dialami selama ini, sehingga akhirnya pasangan tersebut nekad untuk 'angkat kaki'.

mistik 4

Suara mengilai 'benda' yang mengganggu pasangan itu datang dari sebuah bilik kosong dalam rumah sewa tersebut. Gambar hiasan.

"Pagi tu aku ikut suami beli nasi lemak dekat luar naik motor. Balik je rumah, buka pintu, dua ekor burung gagak terbang dalam rumah. Lepas itu ada najis dekat atas meja makan.

"Suami tampar meja dengan tangan sambil cakap, 'melampau la ni!'. Suami suruh kemas baju-baju nak blah (keluar). Suami cakap rumah ni puaka tahap gila.

"Masa tengah kemas baju, terdengar ada benda tengah masak dekat dapur. Aku terus pergi tengok.

"Alangkah terkejutnya aku tengok ada pontianak dengan rambut panjang sampai ke pinggang, rambut kusut masai tutup muka. Pakai kain putih lusuh yang aku buang sebelum ni!," ceritanya.

Disebabkan terkejut, wanita tersebut tidak sempat memanggil suaminya kerana terus jatuh pengsan dan hanya sedar sebaik sahaja berada di pusat rawatan Islam.

Tidak tahan berdepan dengan gangguan yang dialami, wanita tersebut dan suaminya akhirnya membuat keputusan untuk berpindah keluar dan menyewa rumah lain.

"Cuma satu je yang pelik, masa hari first masuk rumah sewa baru ni. Aku ternampak kain putih lusuh atas lantai rumah flat ni.

"Bila pandang kali kedua, hilanglah pula. Mungkin khayalan aku saja kot sebab still trauma," kongsinya.

Namun ujar wanita tersebut, dia bersyukur kerana episod gangguan yang dialami sudah berakhir selepas berpindah keluar ke rumah baharu.

Perkongsian kisah tersebut yang disiarkan di laman Malaysia Most Viral sehingga kini meraih lebih 9,000 ulang kicau.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain