suria

Mengejutkan minyak pengasih laris di Facebook! Ramai guna pikat bakal mentua, produk untuk gay pun dijual

Peniaga minyak pengasih aktif mempromosikan produk miliknya menerusi Facebook.

KISAH mengenai penggunaan minyak pengasih pernah dipertontonkan menerusi drama dan filem di negara kita.

Bukan sekadar lakonan, perbuatan yang menyimpang daripada ajaran Islam itu sememangnya wujud dan masih lagi diamalkan sehingga ke hari ini.

Jika dulu minyak pengasih boleh didapati daripada bomoh dan pengamal perubatan alternatif, hari ini ia dijual secara terbuka menerusi media sosial.

Semakan mStar mendapati sebuah akaun Facebook aktif menjalankan perniagaan minyak pengasih yang digunakan untuk mencari jodoh dan memuaskan nafsu serakah.

minyak2

Antara gambar yang dikongsi menerusi Facebook itu.

"Minyak songsang, minyak Siam, minyak penaik nafsu dan pengasih perangsang yang ditempah telah dikirim hari ni. Semoga dipermudahkan hajat dan impian pemahar. Terima kasih," tulis admin Facebook itu menerusi posting pada Jumaat.

Dalam posting berlainan, pemilik Facebook itu turut mempromosikan minyak dagu Orang Asli, pengasih batin, pemanis serta pelaris yang dipercayai digunakan untuk tujuan perniagaan.

Untuk minyak selet dagu Orang Asli misalnya, ia didakwa mampu mengikat 'simpul mati' hati pasangan, penggerun pasangan untuk curang, menjadi penyeri serta membuatkan kemahuan si pemakai dituruti.

Paling mengejutkan, mereka turut mempromosikan minyak pengasih songsang yang dikhususkan buat pasangan gay.

"Untuk pasangan gay sahaja. Pengasih tackle hati dia hingga setia. Perangsang nafsu, naik mood berahi syahwat, dominan di ranjang," ujar pemilik Facebook itu.

minyak3

Testimoni pelanggan yang membeli minyak berkenaan.

Pemilik Facebook itu turut berkongsi beberapa testimoni pelanggannya yang berpuas hati dengan pembelian mereka.

"Minyak tuan paling membantu saya setakat ini. Saya percaya tuan," tulis seorang pelanggan.

"Alhamdulillah mak girlfriend saya dah restu. Dia jemput datang rumah kenal-kenal. Sejak pakai pemanis dan hantar barang ke rumah dia, terus jadi lembut hati.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam bulan derita, akhirnya perbuatan bekas kekasih terbongkar selepas ‘minyak calit’ keluar dari tengkuk Nora

"Pemanis sangat kuat. Tak suka terus jadi ramah," tulis seorang lagi pelanggannya menerusi WhatsApp.

Dakwa seorang lagi pelanggan, minyak penggerun yang dibeli membantunya untuk mendapatkan semula wang yang dipinjam.

minyak4

Peniaga secara terbuka berkongsi produk itu menerusi Facebook.

"Assalamualaikum. Tok saya nak maklumkan lelaki tu dah bayar hutang saya. Lepas jumpa hari tu dia rasa serba salah ke takut kat saya. Dia minta maaf sebab drag lama bayar hutang.

"Gerun, takut nampak saya lepas pakai penggerun tok. Office mate saya pun nampak lebih respect bila cakap. Tak ada membuli saya suruh buat kerja itu ini lagi. Alhamdulillah aman sikit hidup saya tok," tulis seorang lagi pengguna dalam testimoni yang dikongsi.

Menerusi maklumat pada profile, peniaga itu beroperasi dari Sungai Golok yang menjadi sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Facebook itu juga turut berkongsi nombor telefon secara terbuka bagi memudahkan pelanggan membuat pembelian.

Sebagai peringatan, amalan ini ditegah sama sekali dalam agama Islam, malah urusan jual beli barangan itu juga adalah haram dan berdosa.

Demikian fatwa yang diterbitkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad Al-Fatwa siri ke-619 berhubung hukum melakukan tawaran iklan sihir di laman sosial.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain