suria

Kaki pancing cerita pengalaman ditarik hantu air! Paling seram entiti menyerupai kawan baik, guna helah ajak tarik bubu

Kelibat Jamal tidak seperti selalunya dan dia basah kuyup.

PERISTIWA ngeri pada suatu malam di sebuah sungai kira-kira lima tahun lalu masih kekal dalam ingatan.

Bukan main-main kerana lelaki bernama Roslan Aziz itu hampir lemas ketika keluar memancing seorang diri.

"Apabila difikirkan balik, memang tak sangka yang saya masih hidup sekarang ni. Peristiwa yang menimpa lima tahun dulu betul-betul membuatkan saya serik untuk pergi memancing di sungai pada waktu malam.

"Bukan sungai sahaja, mana-mana tempat sekali pun... hampir lemas dan dihanyutkan bukanlah perkara main-main," kata Roslan.

Meskipun perit untuk menceritakan perkara yang berlaku, namun demi memberi iktibar kepada kaki pancing, dia akur untuk berkongsi kisah dengan mStar.

Memulakan cerita, ujar Roslan yang mesra dipanggil Mat, kejadian yang hampir meragut nyawanya itu berlaku ketika dia ligat dengan hobi memancing.

ARTIKEL BERKAITAN: Selama 15 tahun asyik keguguran, pakcik jubah putih beri petunjuk... rupanya janin 'dimakan' penunggu rumah sewa

Pantang ada masa terluang, pasti akan dihabiskan dengan aktiviti yang digemarinya itu.

Malah, keluarga juga sering terabai kerana dia lebih gemar menikmati keseronokan mendapatkan ikan.

Mengimbau kembali kejadian yang berlaku di sebuah sungai berdekatan Bukit Changgang, Banting, Selangor, ujarnya, ia berlaku kira-kira pukul 3 pagi semasa dia sudah bersiap sedia untuk pulang ke rumah.

Namun dia dikejutkan dengan kehadiran rakannya bernama Jamal secara tiba-tiba.

"Entah bila Jamal datang ke lombong tersebut pun saya tak sedar... tapi dia dalam keadaan basah kuyup. Apa yang pelik, dia bukan kaki pancing dan memang tak berminat dengan aktiviti tu kerana dikatakan membuang masa.

"Tapi pada malam tu, dia datang dan meminta saya membantunya menarik bubu yang ditinggalkan di dalam sungai. Masa tu saya tanya kenapa dia basah kuyup, tapi dia tak mengendahkan dan terus menuju ke arah sungai.

Mat tidak sangka yang dia hampir lemas disebabkan hobi memancing.

Mat tidak sangka yang dia hampir lemas disebabkan hobi memancing.

"Disebabkan malas untuk bersoal jawab, saya mengikut saja kemahuannya," ujar Mat yang kini berusia awal 40-an.

Dalam kesamaran gelap, dia sempat memerhatikan gerak langkah Jamal yang seolah-olah tidak menjejak tanah ketika berjalan.

Riaknya juga berbeza, seperti lama berada di dalam hutan di samping baju-T yang terdapat kesan koyak.

Mengakui berasa pelik dengan situasi pada masa itu, tapi dia enggan berfikir panjang.

Malah katanya, Jamal juga tidak seramah seperti sebelumnya dan hanya menundukkan muka.

"Iyalah, Jamal orang pertama yang akan marah bila tahu saya akan pergi memancing. Pernah dia cakap yang saya tidak menghargai masa bersama keluarga kerana kerap kali menghabiskan masa dengan hobi.

"Tambahan pula saya sering membeli barang-barang memancing yang kesemuanya dihantar ke pejabat. Jamal berleter lebih teruk daripada isteri, tapi saya iyakan juga kerana apa yang dikatakannya benar... cuma saya tidak berpeluang meninggalkan hobi aku lagi.

"Kadang-kadang saya ajak Jamal ikut serta supaya dia tahu bertapa seronoknya memancing, tetapi seperti biasa dia tidak mahu," katanya.

Pun begitu, Mat sering menceritakan perihal memancing kepada Jamal dan lokasi-lokasi baharu yang akan dia terjah.

Hasil tangkapan juga akan dikongsikan dengan teman baiknya itu.

"Sebab itu saya tak terkejut melihat Jamal pada malam kejadian. Sebab dia tahu di mana sahaja saya akan pergi, cuma pelik kenapa dia basah kuyup dan mahu ambil bubu.

"Pada saya, kemungkinan Jamal sengaja ingin membuat kejutan dan teringin belajar memancing... kerana itu dia datang pada hari tersebut.

"Semua tu tak terjawab sehinggalah saya menurutnya masuk ke dalam sungai. Apa yang saya ingat, tiba-tiba badan seperti ditarik ketika berada dalam sungai dan kelibat Jamal sudah tiada.

"Cubaan aku untuk berenang ketepian pun tidak berjaya kerana badan terasa kaku," ujarnya mengimbas kembali kejadian yang berlaku.

Menurutnya lagi, berdasarkan cerita daripada isteri, dia ditemukan hanyut kira-kira lima meter dari lokasi memancing.

"Isteri maklumkan yang saya ditemui oleh kaki pancing... mujurlah individu tersebut mengalami masalah dengan motosikal dia, jadi tidak dapat pulang ke rumah lebih awal.

"Mungkin juga kerana ajal saya belum sampai, jadi Allah menjentik hatinya untuk berada di situ untuk membantu. Itu juga sebagai pengajaran kepada saya atau mungkin kifarah kerana sering mengabaikan keluarga," luahnya sebak.

Tambah Mat, sejak kejadian yang menimpanya itu, dia tidak lagi memancing dan segala peralatan yang dibeli telah diserahkan kepada rakan-rakan lain.

Katanya, Jamal juga terkejut apabila dia bertanyakan tentang kemunculan pada malam kejadian namun hanya tersenyum tawar.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain