suria

Perabot bergerak sendiri selepas pemuda tolong gadis dirasuk! Jiran merungut bising, tunjuk rakaman CCTV tak berani buka pula

Rakaman CCTV menunjukkan lembaga putih sedang bergerak di ruang tamu rumah Rambo.

GARA-gara bapa angkat 'menjual' anak perempuannya kepada jin untuk dijadikan santapan, sebuah pangsapuri di Shah Alam Selangor diganggu makhluk halus bermula awal September lalu.

Menurut Rambo, kejadian seram yang membelenggu kawasan perumahan khususnya di rumah yang didiami bersama keluarganya, bermula apabila dia bersama seorang rakan cuba membantu gadis berusia 20 tahun yang menjadi mangsa perjanjian ayah angkat dengan jin.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini buat pengakuan bebas keluar masuk alam bunian, siap ada keluarga angkat! Ustaz pesan hati-hati guna ‘kelebihan’

Mengakui kawasan perumahan tersebut sememangnya mempunyai 'penunggu', tetapi ia tidaklah mengganggu seperti apa yang berlaku pada masa kini.

Katanya, apa yang dialami sekarang amat mengejutkan kerana jiran yang berada di aras dua unitnya menegur tentang bunyi bising pergerakan perabot, didakwa dari rumahnya.

"Mula-mula pindah tu memang dah ada 'benda' tu, tapi saya malas ambil peduli... lagipun dia tidak mengganggu sesiapa.

"Tapi apa yang berlaku di rumah saya sehinggakan jiran 'bising' dalam grup WhatsApp membuatkan saya tidak boleh berdiam diri.

Penampakan lembaga putih di dalam rumah Rambo.

Penampakan lembaga putih di dalam rumah Rambo.

"Dia cakap saya tak ajar anak supaya tidur awal, sedangkan bunyi pergerakan perabot dan sebagainya itu dilakukan oleh makhluk ghaib," luahnya.

Disebabkan ingin membuktikan bahawa gangguan tersebut bukanlah daripada anak-anaknya, Rambo memasang kamera litar tertutup (CCTV) di salah satu sudut di rumahnya.

Kali keempat saya lupa nak dinding diri... sampai satu masa saya tidur di rumah kawan dan nampak mayat berada sebelah saya.

RAMBO

Menerusi rakaman tersebut, dia mendapati terdapat pergerakan yang berlaku namun 'pelakunya' tidak kelihatan.

"Apabila saya teliti dan jadikan video CCTV dalam mod gerakan perlahan, barulah kelihatan sosok berwarna putih yang bersaiz kecil.

"Bukan satu tapi ada empat ekor... kemungkinan ia adalah toyol, tapi entahlah saya pun tidak pasti.

Lembaga putih seakan toyol dikatakan muncul pada pukul 8 pagi, dalam video berasingan.

Lembaga putih seakan toyol dikatakan muncul pada pukul 8 pagi, dalam video berasingan.

"Apa yang saya lihat adalah, mereka yang bergerak di dalam rumah pada waktu malam. Anak-anak saya sudah masuk tidur seawal jam 10 malam," ceritanya.

Selepas mendapatkan rakaman terbabit, dia berkongsikannya ke dalam grup WhatsApp dan menjelaskan bahawa setiap bunyi yang didengari dari rumahnya itu dilakukan oleh 'lembaga'.

Bagaimanapun ujarnya, jiran yang mengadu tentang perkara tersebut enggan membuka rakaman video yang dihantar.

Menceritakan permulaan gangguan yang dialami, ujar pemandu lori yang berusia 37 tahun itu, ia terjadi selepas dia cuba membantu seorang gadis yang dirasuk.

"Kawan saya minta tolong 'tengokkan' seorang budak perempuan di Putrajaya, katanya kena rasuk sebab ayah angkat dia buat ritual berkaitan perjanjian dengan jin.

"Apabila saya jumpa budak perempuan tu, dia cakap dalam bahasa Indonesia bahawa saya pergi belajar lagi sebab bukan lawan dia.

"Jadi, pada masa itu, saya cuba membantu dengan membawanya berjumpa seorang ustaz tahfiz," katanya.

Gadis berusia 20 tahun yang dibawa Rambo untuk mendapatkan rawatan.

Gadis berusia 20 tahun yang dibawa Rambo untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Rambo, gadis tersebut adalah anak yatim piatu yang dipelihara oleh ayah angkat dari Indonesia.

Katanya, umpama ritual penyembahan, budak tersebut dijadikan 'makanan' untuk jin dan sebagai pulangan ayah angkat tersebut dijanjikan kesenangan serta kemewahan.

Bercerita lanjut, ujarnya, semasa kali keempat membawa gadis terbabit mendapatkan rawatan bersama ustaz, dia terlupa untuk membuat pendinding diri.

"Kali keempat saya lupa nak dinding diri... sampai satu masa saya tidur di rumah kawan dan nampak mayat berada sebelah saya.

"Rupa-rupanya rakan juga alami perkara sama, sebab itu dia minta tolong saya pula. Bimbang kejadian lebih pelik berlaku, saya minta budak perempuan tersebut mencari rakan yang boleh bawa dia pergi mendapatkan rawatan lanjut," tambahnya.

Menyangkakan kejadian tersebut berhenti begitu saja, Rambo dikejutkan pula dengan situasi anak perempuan keduanya yang berusia 2 tahun demam.

Malah katanya, keadaan berlarutan sehingga satu bulan sehinggalah isterinya sendiri meminta dia membuatkan penawar untuk anak.

"Isteri cakap 'orang lain boleh ditolong ubat, anak sendiri tak mahu pula buat penawar'... disebabkan itu, saya sediakan air penawar dan Alhamdulillah Allah perkenankannya.

"Tapi selepas daripada itu, gangguan di rumah saya semakin kerap berlaku," luahnya yang enggan mengambil pusing dan sering menasihati isteri serta anak-anak supaya tidak takut dengan makhluk ghaib berkenaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain