suria

Doktor syif malam bercakap dengan makhluk ghaib persis jururawat, siap ikut melawat wad! - “Mana misi tadi pergi?”

Kejadian pesakit ghaib dan jururawat misteri masih menghantui Dr Kamarul Ariffin sehingga kini. Gambar hiasan

BARU saja sedang menapak pulang ke wad setelah selesai memantau pesakit di Jabatan Kecemasan, tiba-tiba suara seorang jururawat menerpa gegendang telinganya.

Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan segera menoleh mencari arah datangnya suara tersebut.

Waktu bertugas ketika syif malam di hospital langsung tidak pernah berlalu dengan tenang. Setiap malam memang sentiasa mendebarkan.

Ada sahaja benda tidak kena akan berlaku. Namun apa yang berlaku pada malam itu memang sesuatu yang tidak disangkanya.

Jururawat berkenaan dalam nada suara yang terketar-ketar memaklumkan bahawa seorang pesakit yang baru dimasukkan ke wad, secara tiba-tiba 'ghaib'.

"Pesakit tu baru masuk. Saya hantar dekat katil, lepas tu saya pergi ambil BP monitor (alat memeriksa tekanan darah). Apabila saya datang balik ke katil, dia dah hilang.

"Saya tak tahu dia ke mana," kata jururawat berkenaan sambil mengekori Dr Kamarul Ariffin yang bergegas kembali ke wad.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tengah malam patung kuda lompat-lompat tepi katil, anak pula buat kawan... ibu seram terus buang di tapak sampah!

Insiden pesakit hilang dari wad adalah sesuatu yang amat ditakuti oleh para petugas hospital.

Ini kerana menurutnya, petugas perlu menulis laporan panjang untuk insiden sebegini dan sudah pastinya, ia melibatkan banyak prosedur yang perlu dilalui.

mistik 2

Semuanya bermula apabila seorang jururawat melaporkan kehilangan seorang pesakit tua dari katilnya. Gambar hiasan.

"Awak dah tengok dalam bilik air? Mana tahu dia pergi buang air ke apa..." Dr Kamarul Ariffin bertanya kepada jururawat yang mengekorinya ke wad yang dimaksudkan.

Namun jururawat tersebut berkata, setiap pelusuk wad termasuk tandas dan pantri sudah dijenguk namun kelibat pesakit yang ditempatkan di katil 24 itu tidak kelihatan.

Setibanya mereka di katil pesakit, nyata ia kosong.

Dr Kamarul Ariffin memeriksa selimut, bantal dan laci di tepi katil berkenaan, juga kosong dan tiada barang-barang pesakit.

"Pesakit ni tua ke muda? Dia masuk ke wad tadi jalan sendiri ke awak tolak atas kerusi roda?" tanyanya pada jururawat tersebut.

"Tua," namun belum sempat jururawat itu menjawab soalan kedua, Dr Kamarul Ariffin mengajukan soalan kepada pesakit lain di wad berkenaan.

"Ada sesiapa nampak tak ke mana pesakit baru dekat katil ini pergi? Orangnya tua-tua, rambut putih dan badannya kurus-kurus," ujar doktor itu mengulangi apa yang diberitahu jururawat kepadanya.

Ha'ah. Mana ada pesakit baru yang masuk malam ni.

PESAKIT

Namun semua pesakit di kubikel itu memandang sesama sendiri, kemudian melihat doktor berkenaan dengan pandangan yang pelik.

Semua orang menggeleng, tapi di wajah mereka seperti ada sesuatu yang disembunyikan.

"Tak ada... Acik rasa tak ada pesakit masuk pun malam ni," jawab seorang pesakit wanita yang ditempatkan di sebelah katil 24.

"Ha'ah. Mana ada pesakit baru yang masuk malam ni," laung pesakit di katil seberang.

"Ada... mungkin semua tak perasan kot. Misi (nurse) ini yang...."

Kata-kata Dr Kamarul Ariffin terputus sebaik sahaja memandang ke sisi dan mendapati jururawat yang mengiringinya sebentar tadi pula ghaib.

"Mana misi tadi pergi?" tanyanya pada pesakit-pesakit sambil menjengah ke sekeliling wad.

Namun soalannya dibalas dengan jawapan yang sama sekali tidak dijangka, membuatkan bulu romanya serta merta meremang.

"Tak ada. Tadi doktor cakap sorang-sorang," kata seorang pesakit.

Wajah masing-masing dihiasi mimik muka yang menggambarkan mereka dalam ketakutan.

mistik 3

Gerangan jururawat yang berada di samping Dr Kamarul Ariffin kekal misteri. Gambar hiasan.

"Ok tak apa. Terima kasih eh," ujar Dr Kamarul Ariffin seraya mengundurkan diri dari situ.

Tertanya-tanya dengan situasi aneh yang baru dilaluinya seketika tadi, doktor itu mengambil keputusan untuk bertanya kepada staf lain di wad.

Namun semua memberikan jawapan yang sama, iaitu tiada rekod daftar pesakit yang masuk pada malam berkenaan.

Malah tiada sesiapa yang bertugas malam itu mirip jururawat yang memaklumkan berita kehilangan 'pesakit tua' itu kepadanya.

Dr Kamarul Ariffin terus dibelenggu tanda tanya dan tidak percaya dengan apa yang dialaminya.

Persoalan mengenai gerangan pesakit tua dan jururawat itu terus menghantuinya sehingga kini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain