SEPANJANG lapan tahun bergelar pemandu trak tunda, Marzuki menguruskan ribuan kes kemalangan di sekitar negeri Kelantan. Namun, satu peristiwa yang berlaku sekitar tahun 2019 menyebabkan seluruh hidupnya kucar-kacir sehingga dia terpaksa mendapatkan rawatan daripada seorang ustaz. Imbasnya, dia menerima panggilan untuk menunda sebuah kereta yang terlibat kemalangan jalan raya di Jeli, Kelantan pada hari kejadian. "Saya dah lama bekerja dalam bidang ni. Biasanya kalau sebut Zuki Towing mesti orang tahu. Selain towing kereta-kereta yang rosak, saya juga banyak towing kereta terlibat kemalangan. Dah macam-macam kemalangan saya jumpa. "Tapi ada satu kejadian tiga tahun lepas, saya dipanggil untuk towing sebuah kereta yang terbakar dalam kemalangan jalan raya. Ketika sampai di tempat kejadian, saya dimaklumkan suami isteri yang naik kereta tu mati rentung. Sempat tengok mereka kelurkan mayat sebelum dibawa ke hospital. Zuki banyak menguruskan kes kemalangan sejak bekerja sebagai pemandu trak tunda. (Gambar Hiasan) "Seram juga apabila tengok macam tu. Keadaan pun agak lewat malam serta jalan yang sunyi. Saya dengan seorang pembantu, kami buat kerja macam biasa. Towing kereta tu ke balai polis. "Dalam hati agak risau, terfikir kalau cebisan daging mayat masih ada dalam kereta," imbasnya. Menurut Zuki, kerjanya pada malam itu berakhir sekitar pukul 2 pagi sebelum dia kembali semula ke rumahnya yang terletak di Kota Bharu. Biarpun sudah membersihkan diri selepas balik ke rumah, Zuki berkata dia susah untuk tidur dan turut diganggu dengan pelbagai bunyi serta kelibat pada malam itu. "Mujurlah semua berjalan lancar dan selesai agak cepat. Biasanya kalau balik rumah saya akan bersihkan diri di luar rumah. Tapi malam tu tiba-tiba hujan. "Akibat kesejukan, saya masuk je mandi dalam rumah. Baju pun saya letak kat washing machine, sebab isteri dah tidur. Apabila dah siap mandi, saya pun baring atas katil. Tak tahu kenapa agak susah nak lelap. Zuki sempat melihat mayat mangsa rentung sebelum dia menunda kenderaan berkenaan. (Gambar Hiasan) "Biasanya kalau penat macam ni, letak kepala je dah tidur. Tiba-tiba dengar suara dari kejauhan macam minta tolong, dengar orang menjerit. "Saya dah tak sedap hati tapi buat tak tahu je. Saya cuba lelap mata dan akhirnya tertidur. Kemudian saya tersedar sebab rasa panas di telinga, macam orang berbisik. "Dalam mamai-mamai, saya nampak kelibat dua benda hitam berdiri di hujung katil. Rasa nak tercabut jantung, saya tarik selimut dan baca ayat al-Quran sampai terlelap sampai ke esok pagi," ujarnya. Sekadar mendiamkan diri mengenai kejadian aneh itu, Zuki bagaimanapun terkejut apabila isterinya turut mengadu ketika mereka bersarapan. "Saya fikir tu mainan perasaan kot, atau saya terbawa-bawa selepas urus kes semalam. Tapi masa makan pagi, isteri mengadu katanya dia pun ada nampak sesuatu," ujarnya. Bermula hari itu, Zuki dan isterinya kerap diganggu dengan bayang-bayang hitam dalam rumah mereka bermula waktu Maghrib sehingga ke awal pagi. Zuki dan isteri terpaksa mendapatkan rawatan kerana tidak tahan dengan gangguan di rumah mereka. (Gambar Hiasan) Cerita Zuki lagi, paling ngeri tentunya apabila mendengar suara orang menjerit meminta tolong pada waktu malam yang menyebabkan mereka berdua hidup dalam ketakutan, malah anak tunggal mereka juga sering meracau. "Dalam seminggu kejadian berlarutan. Nak tidur pun susah. Selalu melintas kelibat hitam, rupa macam orang rentung kemalangan. Anak saya umur setahun menangis sampai hilang suara. Saya tak syak lain, saya fikir ni mesti yang kes kemalangan di Jeli hari tu," ujarnya. Tidak tahan dengan gangguan berterusan, mereka akhirnya mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan Islam dan mengakui lega apabila keadaan mula beransur pulih. "Apabila beberapa kali jumpa ustaz, keadaan dah makin okey. Katanya memang betul badi mayat. Selama ini saya kurang percaya, apabila dah kena baru ambil iktibar. Rasa menyesal tengok mayat rentung masa kemalangan tu. "Ustaz ada pesan, lain kali kalau pergi tengok orang mati, jangan terus tengok muka, sebaliknya kena tengok kaki dulu kemudian baru naik ke muka. "Saya juga dipesan agar membersihkan diri sebelum masuk rumah kalau balik dari tempat orang mati. Saya ambil iktibar atas apa yang berlaku. Harapnya dah tak ada gangguan sebab ini je kerja saya cari makan," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube