suria

“Rajin kau cuci pinggan malam-malam buta” - Disangka kawan kemas dapur jam 4 pagi, rupanya pocong habiskan sisa makanan

Amir melihat entiti pocong di dapur sedang makan sisa makanan. FOTO: Filem Momok 1

TIDAK dapat dinafikan, mencuci pinggan kotor dalam sinki merupakan kerja paling malas dilakukan dalam banyak-banyak kerja di dapur.

Namun, ada sebab mengapa orang tua-tua dahulu marah sekiranya pinggan mangkuk kotor dan sisa makanan dibiarkan bersepah di atas meja atau sinki untuk tempoh yang lama.

Seorang lelaki berdepan situasi menyeramkan gara-gara sikapnya sendiri yang sering mengambil ringan tentang aspek kebersihan dapur.

Pengalaman ngeri itu berlaku terhadap Amir ketika dia berada di rumah sewa di Kajang Selangor, bersama seorang lagi rakannya, Haziq.

1120943

Amir dan Haziq memasak di dapur setelah pulang bermain futsal. -Gambar hiasan

“Malam tu saya baru pulang main futsal. Lepas saya dan Haziq makan, macam biasalah kami tinggalkan dapur bersepah. Periuk nasi, kuali dan semua pinggan digunakan kami biarkan saja.

“Selepas siap mandi dan solat Isyak kami terus sambung baring dekat ruang tamu tengok TV sampai tertidur. Tiba-tiba saya terjaga. Jam di dinding menunjukkan pukul 4 pagi.

“Saya tersedar malam tu sebab ada terdengar bunyi pinggan mangkuk. Mulanya, saya ingatkan Haziq tengah cuci pinggan sebab dekat ruang tamu tu ada saya seorang saja. Jadi saya pun pergilah jenguk,” katanya lagi.

Dalam keadaan mamai dan masih mengantuk, Amir bangun sambil menggosok mata lalu ‘menapak’ perlahan ke dapur.

ARTIKEL BERKAITAN: Entiti ‘booking’ e-hailing pukul 12 tengah malam di Kuala Kangsar... Sampai di jalan mati, pemandu menyesal toleh belakang!

ARTIKEL BERKAITAN: Kencing tepi semak, rider pecut motor tak ingat dunia selepas disergah pocong muka hitam... seluar pun tak sempat zip!

Sejurus tiba di pintu dapur yang bersuasana gelap, dia melihat satu susuk makhluk tercegat di tepi meja makan.

“Haziq ke tu? Rajin kau cuci pinggan malam-malam buta ni.

“Sambung esok sajalah. Pagi esok kita buat sama-sama,” ujar Amir namun tiada respons diterima.

Hairan sapaannya tidak dilayan, Amir yang mula tak sedap hati tetap cuba mendekati Haziq.

Dalam kesamaran malam berbekalkan cahaya bulan dari tingkap rumah, dia terkejut apabila melihat semula Haziq yang ditegurnya sebelum ini.

Langkah Amir terhenti setelah menyedari apa sebenarnya yang sedang dilihat.

Amir tidak dapat melihat susuk tubuh hantu tersebut dengan jelas.

Rupa-rupanya apa yang dilihat Amir pada malam itu bukanlah Haziq tetapi sekujur tubuh dibaluti dengan kain putih sedang mengunyah sesuatu.

“Allahuakbar! Pocong!” jerit Amir sambil menggeletar.

Amir bagaimanapun cuba mengusir makhluk itu dengan membaca ayat al-Kursi seperti yang biasa ditonton dalam filem seram.

Bagaimanapun, setelah melihat wajahnya yang buruk penuh selut dan tanah itu membuatkan lidahnya kelu tidak mampu membaca sebarang surah.

Amir kemudian cuba menjerit memanggil nama Haziq apabila dia tidak mampu lagi menggerakkan kakinya yang seolah-olah ‘dipaku’ pada lantai dapur.

“Masa baru sedar yang entiti tu rupanya pocong dan bukan Haziq, terus ketar lutut saya. Muka dia hancur masa pandang tepat dekat saya.

Saya dah tak fikir panjang lepas nampak dia. Terus berkira-kira nak lari dapatkan Haziq sebab kepala jadi ‘blank’ tak mampu baca apa-apa surah.

AMIR

“Saya tengok mulut dia tengah mengunyah makanan kami yang tak habis. Habis bersepah atas lantai penuh dengan nasi dan sisa makanan.

“Saya dah tak fikir panjang lepas nampak dia. Terus berkira-kira nak lari dapatkan Haziq sebab kepala jadi ‘blank’ tak mampu baca apa-apa surah,” imbas Amir.

Dalam keadaan lemah dan takut, dia menoleh ke belakang untuk berlari ke bilik Haziq.

Namun, baru sahaja menapak beberapa langkah ke untuk ke ruang tamu, pocong tersebut tiba-tiba muncul di hadapan Amir.

“Aku lapar Amir... bagi aku makan,” kata makhluk itu dengan suara garau seolah-olah merayu padanya.

Amir terus pengsan di dapur dan tidak sedarkan diri sehingga azan Subuh berkumandang pada pagi itu.

Pocong tersebut tiba-tiba berada di hadapan Amir.

Kejadian pada malam itu hanya diceritakan kepada Haziq setelah tiga hari sembuh daripada demam gara-gara kejadian itu.

Apa yang pasti, selepas kejadian itu Amir tidak lagi membiarkan pinggan mangkuk bersepah atau tidak dicuci sebelum masuk tidur.

“Memang serik dengan kejadian malam tu. Sampai demam tiga hari sebab terlalu takut bila pocong tu tercegat depan muka.

“Saya cerita kejadian tu dekat Haziq. Lama dia termenung lepas dengar cerita saya. Mungkin dia pun kesal biarkan rumah kotor bersepah macam tu.

“Selepas apa jadi dekat saya tu, memang tak pernah kami tinggal sisa atau dapur tak berkemas lepas makan. Setiap malam kami akan pastikan sisa makanan dibuang dekat tong sampah luar rumah. Cukuplah pengalaman seram tu jadi iktibar untuk saya dan orang lain di luar sana,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain