suria

Pemandu e-hailing dapat job hantar penumpang wanita ke kubur, ghaib sebaik tiba di lokasi... bayar tambang guna duit lama

Penumpang itu ghaib dan hanya meninggalkan sejumlah wang lama di dalam kereta Ahsan.

RAGAM pelanggan, risiko keselamatan dan cuaca tak menentu merupakan cabaran yang biasa dihadapi oleh pemandu e-hailing.

Namun, seorang pemandu dari Sarawak, Ahsan Ismail berdepan cabaran luar biasa apabila mendakwa dia menghantar seorang penumpang misteri ke Tanah Perkuburan Islam Pending di kawasan Kampung Bintawa, sekitar 11.22 malam, Selasa.

"Alhamdulillah, pengalaman paling berharga selama saya buat e-hailing. Dapat order dari Samarahan. Seorang perempuan berbaju kurung. Wangi.

misitk2

Tangkap layar aplikasi e-hailing ketika Ahsan menerima 'order' penumpang itu.

"Memang tak ada syak apa-apa. Dari mula masuk kereta dia minta buka cermin. Nasib hujan tak lebat. Itu saja kata-kata keluar dari mulutnya.

"Dah sampai ke tempat tu, saya maklumkan dah sampai tapi dia tak ada bunyi. Tengok belakang, orang tu dah tak ada," ujarnya memulakan cerita.

Menurut Ahsan, suasana bertambah seram apabila dia menyedari penumpang tersebut meninggalkan sejumlah wang lama di atas kerusi keretanya.

mistik3

Wang lama yang ditinggalkan di dalam keretanya.

"Tuhan je tahu rasanya waktu itu. Tak apa. Itu adalah pengalaman paling berharga sepanjang hidup saya. Dia tinggalkan duit RM1, RM2 lama serta duit 5 sen banyak juga.

"Alhamdulillah, bayarannya cukup. Termasuk duit 5 sen yang banyak. Waktu tu belum ada kekuatan nak balik, hujan tiba-tiba lebat, angin kuat. Doakan saya balik dan sampai di rumah dengan selamat," ceritanya lagi di Facebook.

Perkongsian kisah itu ternyata mendapat perhatian netizen sehingga Ahsan menerima pelbagai komen termasuklah yang mempertikaikan kesahihan kejadian tersebut.

Ujarnya, dia tidak kisah dengan tanggapan netizen dan berterima kasih atas keprihatinan individu-individu yang bertanya khabar sejurus dia berdepan kejadian misteri itu.

mistik4

Ahsan sempat merakam foto kawasan kubur selepas dia sampai ke lokasi itu.

"Terima kasih kepada kawan-kawan yang ambil berat. Pada yang kata saya marketing, terpulang. Saya mula berniaga sejak zaman belajar dan tiada apa-apa isu berkaitan.

"Mereka yang pakar tentang itu pun dah mesej saya dan mengakui ia adalah tindakan jin. Alam jin seribu kali canggih daripada alam kita. Teknologi kita sekarang mereka dah pakai lebih awal daripada kita.

"Apa-apa pun, terima kasih ambil berat. Kejadian tu semua kehendak-Nya. Kebetulan saya tengah cari rezeki," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain