suria

‘Healing’ bertukar tragedi akibat tak jaga mulut! Pelajar kolej disergah makhluk aneh merangkak terbalik ketika berkhemah

Gangguan mistik kerap berlaku ketika aktiviti perkhemahan dalam hutan. -Gambar hiasan Facebook

SEMPENA cuti semester kali ini, Amin dan beberapa rakannya memilih untuk terus menetap di kampus.

Walaupun sibuk menyiapkan projek tahun akhir, mereka juga merancang untuk pergi berkhemah di sebuah kawasan air terjun di Kelantan.

Nak 'healing' (tenangkan jiwa) katanya!

Selain Amin, Farid, Mirul dan Zubir turut mengikuti aktiviti itu yang mana mereka berempat bermalam di dalam hutan selama tiga hari.

Sejak hari pertama perkhemahan itu, Amin berasa kurang senang dengan sikap Zubir yang suka bercakap perkara yang bukan-bukan.

259790842_4918280848196116_8710124964722147355_n

Antara aktiviti yang boleh dilakukan ketika berkhemah dalam hutan. -Gambar hiasan Facebook

"Kalau jumpa hantu, boleh la kita minta nombor ekor," ujar Zubir berseloroh ketika mereka sama-sama melepak di tepi kawasan air terjun.

Bukan sekali, sebaliknya sudah banyak kali Zubir bergurau seolah-olah mengundang kehadiran makhluk lain sehingga Mirul terpaksa menegur sikap celuparnya.

"Kita dalam hutan kot, bukannya di kampus. Kau jangan la cakap bukan-bukan. Lepas tu, dari semalam aku nampak kau kencing merata. Kau ingat-ingat sikit," pesan Amin sambil diperhatikan rakan-rakannya.

Di sebalik teguran itu, mereka masih meneruskan aktviti perkhemahan seperti biasa bagi mencipta memori terakhir sebelum menamatkan pengajian tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 20 tahun berlalu, mangsa rogol orang minyak masih tak berani balik kampung! Tak lupa tragedi ditindih dalam gelap

Perkhemahan pada malam pertama dan kedua berjalan lancar seperti yang dirancang, malah mereka juga berkira-kira untuk menambah dua hari lagi sekiranya bekalan makanan masih mencukupi.

Pada malam ketiga, Zubir berkata dia mahu mandi bersendirian di kawasan air terjun kerana tubuhnya yang melekit selepas mereka menikmati makanan yang dimasak oleh Farid.

Ketika dia sedang mandi, tiga lagi rakannya hanya duduk melepak di luar khemah sambil berborak santai tentang aktiviti yang mahu dilakukan pada esok hari.

Mereka kemudiannya dikejutkan dengan teriakan Zubir dari kawasan air terjun yang seolah-olah sedang meminta tolong.

air terjun

Panorama seram di kawasan air terjun pada waktu malam. -Gambar hiasan Facebook

Rupa-rupanya, Zubir sudah terbaring di kawasan darat sambil matanya terbeliak seolah-olah terkejut melihat sesuatu.

Selepas beberapa jam tidak sedarkan diri, Zubir kembali sedar dan membuka cerita tentang makhluk aneh yang merangkak dalam keadaan terbalik di kawasan air terjun itu.

Kata Zubir, makhluk itu bukan sahaja merangkak di kawasan darat, malah turut melompat ke dalam air, menyebabkan dia terus berlari keluar sebelum rebah di kawasan darat.

Pada malam itu, kesemua mereka tidur berhimpit di dalam sebuah khemah kerana risau kejadian sama berulang semula.

Seawal jam 7 pagi, empat siswa itu terus berkemas dan membuka khemah untuk kembali ke kampus.

Dalam seminggu selepas kejadian itu, Zubir masih lemah dan dia juga mengalami demam berpanjangan sehingga terpaksa dibawa berjumpa dengan seorang ustaz.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain