suria

Wartawan intern terkena badi mayat selepas buat liputan kes maut jatuh bangunan

Keadaan mayat yang terjatuh daripada bangunan sentiasa berlegar di ruang mata Hazim. -Gambar hiasan

SUDAH dua bulan Hazim menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat akhbar yang beribu pejabat di ibu kota.

Sebagai seorang pelajar jurusan kewartawanan, Hazim sering ditugaskan untuk membuat liputan berita di merata tempat sekitar Lembah Klang.

Dia yang meminati bidang penulisan dan sudah memasang cita-cita untuk menjadi seorang wartawan sememangnya gembira setiap kali diberikan tugasan.

Namun, panggilan yang diterima daripada editornya sebentar tadi, cukup membuatkannya tidak senang duduk.

Mana tidaknya, sepanjang dua bulan menjalani latihan praktikal, inilah liputan kes kematian pertama buatnya.

"Hazim, aku nak kau pergi buat liputan di sebuah kondominium di Ampang sekarang. Ada kes orang jatuh bangunan," demikian arahan yang diberikan oleh editornya.

Biarpun dalam keadaan gelisah, Hazim segera bersiap-siap untuk ke tempat kejadian.

Jarak rumah sewanya dengan kondominium tersebut hanyalah sekitar 15 minit, namun dengan menunggang motosikal, Hazim tiba lebih awal beberapa minit.

Ketika dia tiba, kelihatan pihak polis dan beberapa petugas media daripada agensi yang lain sudah pun berada di lokasi kejadian.

Kelihatan dua anggota polis dari bahagian forensik sedang mengangkat mayat mangsa untuk dimasukkan ke dalam trak, manakala dua yang lain mengutip cebisan otak yang bersepai di laluan pejalan kaki.

Serta-merta Hazim seperti mahu termuntah melihat cebisan otak 'segar' pertama kali seumur hidupnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Otak mat rempit berkecai rempuh belakang lori, sepupu meracau awal pagi selepas balik tengok jenazah

Ketika sesi wawancara dengan ketua polis daerah, Hazim seperti tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kerana masih teringat-ingat rupa otak dan keadaan mangsa yang hancur kepala.

Bagaimanapun, dia menggagahkan diri menyelesaikan tugasan dan menulis berita mengenai kes tersebut di pejabat, sebelum pulang ke rumah sewanya.

Diserang demam panas

Sebaik tiba di rumah sewanya, Hazim cepat-cepat mandi untuk membersihkan diri.

"Kenapa aku macam terhidu bau darah kuat sangat? Takkan melekat dekat baju kot?" Hazim bermonolog sendirian sambil mencium-cium bajunya.

Baju dan seluar yang dipakainya ketika membuat liputan tadi juga turut dicuci bersih-bersih.

4

Disebabkan sering berlegar di minda, kejadian tersebut turut mengganggu tidur Hazim sehingga dia bermimpi mengenainya. -Gambar hiasan

Hazim kemudian terus naik ke atas katil dan mahu berehat kerana merasakan kepalanya terlalu berat.

Tiba-tiba, Hazim terjaga daripada tidurnya dalam keadaan tercungap-cungap dan badannya berpeluh.

Dia melihat jam penggera yang diletakkan di tepi katilnya. Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi.

"Ya Allah, aku bermimpi rupanya," kata Hazim sambil mengucap.

Namun, segala-galanya kelihatan begitu jelas di depan matanya, seperti rakaman kejadian sebentar tadi dipamerkan di hadapannya.

Sejak terjaga, Hazim tidak dapat melelapkan matanya sehingga pagi.

Badannya juga panas sehingga mukanya kemerah-merahan.

Hazim terpaksa meminta bantuan rakan serumahnya untuk menghantarnya ke klinik kerana keadaannya yang tidak bermaya untuk pergi bersendirian.

Dia diberikan cuti sakit selama tiga hari kerana demam panas.

Meracau lihat mayat ngeri

Keadaan Hazim masih tidak menunjukkan tanda untuk kebah biarpun dia sudah mengambil ubat yang dibekalkan oleh klinik.

Sudah dua hari dia hanya mampu berbaring di atas katil. Untuk makan pun dia tidak berselera sebaliknya hanya sekadar menjamah roti dan biskut untuk mengalas perut.

Malam itu, ketika mahu bangun untuk membuang air kecil, Hazim tersentak apabila matanya tertancap pada lembaga yang berdiri di depan pintu tandas.

Serta-merta tubuhnya terdorong ke belakang dan terlentang dan terus menggigil-gigil.

"Hazim!! Ya Allah, kenapa dengan kau?" Jerit Azmi yang kebetulan mahu mengambil air minuman di dapur.

Hazim tidak mampu berkata apa-apa, sebaliknya dia hanya mampu menuding jarinya ke arah pintu tandas dengan mata yang terbeliak.

3

Hazim meracau selepas terlihat bayangan mayat mangsa yang mengerikan. -Gambar hiasan

"Tuuu.... tuu," hanya itu yang terkeluar dari mulut Hazim. Matanya jelas dapat melihat susuk lembaga menyerupai mayat yang terjatuh bangunan beberapa hari lalu, dengan kepalanya yang hancur.

Azmi yang melihat ke arah pintu tandas, hairan kerana tidak nampak apa yang ditunjuk oleh rakannya itu.

Tidak lama kemudian, Hazim menjerit-jerit dan meronta-ronta seperti ingin lari daripada sesuatu. Wajahnya juga dalam riak yang ketakutan.

Azmi yang panik melihat keadaan Hazim segera menjerit meminta tolong rakan serumah mereka yang lain.

Mereka berlima memegang erat tubuh Hazim yang meronta-ronta sambil membaca ayat suci al-Quran.

Azmi terus mencapai telefon bimbitnya dan segera menghubungi abang Hazim yang menetap di Setapak.

Malam itu juga, Hazim dibawa pulang oleh abang dan dua orang sepupunya ke kampung mereka yang terletak di Kuala Pilah.

Terkena badi mayat

Keesokannya, bapa Hazim, Haji Yusuf menjemput seorang pengamal perubatan Islam ke rumahnya untuk merawat anaknya itu.

Walaupun sudah tidak meronta-ronta seperti malam tadi, keadaan Hazim sangat berbeza.

Pandangannya kosong malah wajahnya juga pucat.

Pengamal perubatan Islam yang dikenali sebagai Ustaz Kasim meletakkan tangannya pada beberapa bahagian tubuh Hazim sambil membacakan ayat suci al-Quran.

Hazim juga diminta untuk minum dan mandi dengan air yang sudah dibacakan al-Quran.

Seminggu berturut-turut Ustaz Kasim berulang ke rumah Haji Yusuf untuk merawat Hazim.

Genap seminggu berubat, keadaan Hazim sudah mulai pulih. Pemuda itu sudah mampu berbicara seperti biasa serta menjamah nasi.

"Kamu sebenarnya terkena badi mayat. Memang kalau orang lemah semangat, akan jadi macam ni.

"Nasihat ustaz, persiapkan diri dengan benteng. Benteng di sini adalah solat. Kalau tiada benteng, apa benda pun senang ganggu," pesan Ustaz Kasim.

Hazim hanya mampu mengangguk-angguk dan mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Kasim sebelum lelaki itu pulang.

Apa yang berlaku benar-benar menginsafkan Hazim. Dia perlahan-lahan berubah dan mula rajin mendirikan solat.

Meskipun diuji dengan peristiwa pahit, namun ia sedikit pun tidak melunturkan semangat Hazim untuk bergelar wartawan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain