suria

Pemuda menggigil pakcik ditemui di wad ramal tarikh, jam kematian dengan tepat! Hadiahkan kitab sebelum ‘pergi’

Pertemuan dengan seorang pesakit lelaki tua, dua tahun lalu masih menjadi misteri sehingga kini. -Gambar hiasan

SUDAH dua hari Umar menemani bapanya di wad.

Bapa Umar, Haji Tamim dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas ketika sedang menebas semak samun di kebun buah-buahan mereka.

Sebagai anak sulung dan menetap pula bersama ibu bapanya di kampung, Umar mengambil peranan menjaga bapanya yang menurut doktor, perlu dipantau beberapa hari lagi.

Dua adik perempuannya pula masing-masing menetap di kolej dan asrama sekolah.

Setiap hari selepas menyelesaikan kerjanya di bengkel, Umar pasti akan bergegas ke hospital untuk menemani bapanya sambil membawa makanan.

"Ayah, pakcik yang dekat katil depan tu sakit apa?" Umar bertanya kepada bapanya dalam nada perlahan, bimbang didengari orang lain.

"Kalau tak silap, sakit asma. Umurnya pun nak masuk 70 tahun dah," jawab Haji Tamim.

Umar sebenarnya berasa kasihan dan sayu setiap kali melihat keadaan pesakit di hadapan katil bapanya itu.

Sepanjang menemani bapanya di hospital, belum pernah sekali pun Umar melihat waris atau sesiapa yang datang menziarahi lelaki tua tersebut.

Namun sepanjang masa, tasbih tidak pernah lekang daripada jarinya.

Sesekali lelaki tua itu bersembang dengan pesakit bersebelahannya, jururawat ataupun doktor yang bertugas.

Hidup sebatang kara

Hari ketiga melawat bapanya, Umar sengaja membawa makanan lebih.

Dia berniat mahu berkongsi rezeki bersama pesakit yang ditempatkan satu wad bersama bapanya.

Selepas mengagihkan kuih lempeng dan bihun goreng hasil air tangan ibunya kepada pesakit-pesakit lain, Umar mendekati katil pesakit lelaki tua itu.

PAKCIK 3

Hospital sememangnya tidak lekang dengan kisah mistik. -Gambar hiasan

"Assalamualaikum pakcik, saya Umar. Anak kepada Haji Tamim," Umar mula memperkenalkan diri, sambil menunjukkan jari ke arah bapanya yang sedang meneguk air.

Dia meletakkan makanan yang dibawa di atas meja kecil di hadapan katil setiap pesakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap malam dengar bayi menangis di rumah sewa baharu! Gadis nekad tanya jiran, nasihat pakcik mesin rumput ada makna

ARTIKEL BERKAITAN: Cinta cikgu janda tak dibalas, ‘effort’ beri bekal makanan hanya sia-sia! Guru lelaki akhirnya terseksa sakit misteri

Lelaki tua itu tersenyum melihat Umar, sambil jelas kelihatan air jernih di matanya.

Sambil menikmati lempeng yang dibawa Umar, lelaki tua tersebut memperkenalkan diri dan tidak keberatan berkongsi serba sedikit mengenai dirinya.

Menurut lelaki tua yang memperkenalkan namanya sebagai Haji Ismail itu, dia sememangnya hidup sebatang kara selepas kematian isteri dan anak tunggal mereka akibat kemalangan jalan raya kira-kira 15 tahun lalu.

Tambahnya, dia sudah dimasukkan ke hospital sejak lima hari lalu akibat asma dan darah tinggi.

Ternampak kelibat misteri

Sejak mengetahui kisah hidup Haji Ismail, Umar pasti akan mencuri masa bertanya khabar dan bersembang dengan lelaki tua itu setiap kali menziarahi bapanya.

Umar sangat menyenangi keperibadian Haji Ismail yang dianggap seperti datuknya sendiri.

Haji Ismail bagi buku ni dekat aku pagi tu. Maknanya, dia tahu tarikh kematian sendiri dengan tepat?

UMAR

Setiap butir kata atau perbualan, pasti akan terselit nasihat malah Haji Ismail tidak lokek berkongsi potongan doa kepada Umar untuk diamalkan.

Pada malam keempat menemani bapanya, Umar seperti biasa akan menunaikan solat Isyak di surau yang terletak di hujung aras wad berkenaan.

Agak lewat dia menunaikan solat Isyak kerana kebetulan, doktor mahu melakukan pemeriksaan rutin terhadap bapanya yang dijangka keluar hospital pada petang esok.

Keadaan di surau ketika jam di dinding menunjukkan pukul 10.45 malam, agak sunyi.

Ketika berada di rakaat kedua, Umar terdengar seperti seseorang masuk ke dalam surau namun dia meneruskan solat seperti biasa.

Ketika kepalanya berpaling ke kiri memberi salam, Umar ternampak dari ekor matanya kelibat seorang lelaki yang sedikit kurus berada kira-kira tiga meter di belakangnya.

Lelaki itu menunduk dan berdoa dengan khusyuk seolah-olah tidak menghiraukan keadaan sekelilingnya.

"Eh macam Haji Ismail tapi takkanlah..." bisik hati Umar namun dia terus berpaling ke hadapan untuk meneruskan wirid dan berdoa.

Memandangkan malam itu malam Jumaat, dia mahu membaca surah Al-Kahfi di surau sahaja, lagi pula bapanya sudah tidur selepas makan ubat.

Baru hendak bangun mencapai al-Quran di tepi dinding, kelibat lelaki tadi sudah pun tiada!

Umar sedikit kehairanan namun dia enggan melayan perasaannya.

Kira-kira 30 minit di surau, Umar kembali semula ke katil bapanya dan dia sempat menjeling Haji Ismail yang kelihatan sedang tidur nyenyak.

Berita kematian yang mengejutkan

Esok pagi, sesudah Subuh, Umar menemani bapanya bersarapan terlebih dahulu sebelum bergerak ke tempat kerjanya.

Menurut doktor, bapanya sudah dibenarkan keluar pada hari ini.

Bagaimanapun, Umar akan menjemput bapanya pulang pada sebelah petang bersama ibunya.

Sebelum bergerak ke tempat kerja, Umar sempat singgah sebentar di katil Haji Ismail sekadar untuk menegurnya dan bertanya khabar.

Ketika bersalaman untuk berpamitan, Haji Ismail menghulurkan sebuah tafsir al-Quran dan kitab yang sering dibacanya kepada Umar.

Tanpa rasa apa-apa, Umar mengucapkan terima kasih dan bersalaman dengan Haji Ismail.

PAKCIK 2

Kelibat misteri sewaktu solat di surau turut menghantuinya sehingga kini. -Gambar hiasan

Sekitar pukul 5 petang, Umar tiba di wad bersama ibunya untuk menjemput bapanya pulang.

Dia kehairanan apabila melihat wajah bapanya sedikit sugul dan keruh.

"Haji Ismail meninggal dunia sebelum solat Jumaat tadi. Pukul 11.30 arwah dah tak ada," kata bapanya perlahan.

Terkejut Umar mendengar perkhabaran yang baru meluncur dari bibir bapanya, seraya kepalanya menoleh katil Haji Ismail yang sudah kosong.

Nota penuh tanda tanya

Dua hari kemudian, pagi hari Ahad, Umar sekadar berbaring malas di biliknya selepas bersarapan.

Tiba-tiba hatinya tergerak untuk membelek hadian pemberian Allahyarham Haji Ismail.

Sedang dia menyelak-nyelak kitab, matanya terpandang pada sekeping kertas dilipat kecil yang diselit di antara helaian halaman naskhah berkenaan.

"11 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1444, jam 11.30 pagi," demikian tulisan yang tertera pada nota berkenaan.

Umar lantas teringat sesuatu. Kata-kata bapanya dua hari lalu bagaikan terngiang-ngiang kembali di telinganya.

"Haji Ismail meninggal dunia sebelum solat Jumaat tadi. Pukul 11.30 arwah dah tak ada"

Meremang bulu roma Umar sambil matanya beralih melihat kepingan nota yang berada di tangannya.

"Haji Ismail bagi buku ni dekat aku pagi tu. Maknanya, dia tahu tarikh kematian sendiri dengan tepat?" Umar berbicara sendirian sambil tangannya terketar-ketar.

Biarpun sudah hampir dua tahun peristiwa itu berlaku, Umar tidak pernah menceritakan kisah berkenaan kepada sesiapa.

Kitab dan tafsir al-Quran pemberian Haji Ismail digunakan sebaik-baiknya dan disimpan dengan baik oleh Umar.

Tidak pernah sekali pun Umar lupa menghadiahkan al-Fatihah buat Haji Ismail setiap kali menggunakan kedua-dua naskhah berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia