SELEPAS membaca doa menaiki kenderaan, Syamil menghidupkan enjin keretanya dan bersedia untuk memulakan pemanduan. Perjalanannya bakal mengambil masa sekitar tiga jam dan dia mungkin akan tiba ke destinasi yang dituju sekitar pukul 11 malam nanti. "Aduh... kenapalah Hashim ada emergency pula last minute. Kalau berdua, kuranglah sikit rasa takut. Dah la aku tak biasa sangat jalan ke Raub ni," Syamil mengomel perlahan. Syamil dan Hashim pada awalnya ditugaskan bersama untuk memantau satu projek pembinaan syarikat mereka di Raub, Pahang. Namun siang tadi, Hashim terpaksa pulang ke kampung isterinya kerana bapa mentua rakannya itu jatuh sakit. Ketika sudah memasuki pekan Raub, Syamil sekadar memandu pada kelajuan yang sederhana kerana dia tidak biasa dengan keadaan sekitar. Tambahan pula, homestay yang sudah ditempah oleh kerani pentadbiran di pejabatnya itu terletak di kawasan kampung. "Ehh ada warung burger. Singgah kejaplah beli sebiji. Buatnya lapar tengah malam nanti, takkan aku gigih nak keluar ke kedai pula," katanya dalam hati. Sebaik tiba,Syamil segera turun dan memesan sebiji burger. Penjual burger yang pada pemerhatiannya berusia sekitar 40an, hanya mengangguk dan terus menyiapkan pesanan Syamil. Dia menyerahkan burger kepada Syamil kira-kira 10 minit kemudian. "Nah bang... tak apa, bakinya saya sedekah," kata Syamil. "Oh ya, abang tahu tak, dekat mana homestay Indah Sentosa (bukan nama sebenar)? Jauh lagi ke?" tanya Syamil alang-alang bertemu dengan orang tempatan. Penjual burger tersebut hanya menunjukkan satu arah kepada Syamil, masih lagi tidak membuka mulutnya. "Oh... terus ikut jalan depan ni ya? Terima kasih bang," Syamil meminta diri. Syamil menghuni homestay tersebut seorang diri kerana rakan sepejabatnya terpaksa pulang ke kampung. -Gambar hiasan Mengikut aplikasi Waze, destinasi Syamil terletak tidak berapa jauh dari gerai burger tadi. "Betul ke rumah di kiri ni ya? Kalau ikut Waze, dah sampai," kata Syamil. ARTIKEL BERKAITAN: Setiap malam dengar bayi menangis di rumah sewa baharu! Gadis nekad tanya jiran, nasihat pakcik mesin rumput ada makna ARTIKEL BERKAITAN: Lampu suluh terlepas daripada tangan ketika ‘live’ buru entiti, jaguh paranormal disergah penunggu lebuh raya Sebaik dia memarkir kereta di halaman homestay, yang merupakan sebuah rumah kecil seperti rumah kos rendah, kedengaran bunyi sebuah motosikal yang semakin menghampiri. "Assalamualaikum. Saya Arshad, penjaga homestay ni. Ini kuncinya ya. Jika ada apa-apa, boleh hubungi saya. Nanti bila check-out, masukkan saja kunci di dalam peti surat. Saya minta diri dulu," kata pemuda berusia sekitar pertengahan 20an lalu terus menghidupkan motosikalnya. Syamil hanya mengangguk dan melihat motosikal Arshad berlalu dan semakin menghilang ditelan kegelapan malam. Dia sempat melihat kawasan sekeliling homestay tersebut ketika mengeluarkan beg baju dari but keretanya. "Seram juga... rumah orang kampung terdekat pun dekat masuk simpang tadi. Kenapalah Sangeetha pergi booked homestay jauh dalam kampung. "Hurmmm nak bebel pun tak guna. Harap-harap tak ada apa-apalah," kata Syamil. Sebaik membuka pintu dan memetik suis lampu, Syamil segera meletakkan beg bajunya di dalam bilik. "Nampak macam tak dibersihkan betul-betul... cermin meja solek pun berhabuk. Apalah nasib. Ahhh lantaklah," bebel Syamil lagi. Selepas menghabiskan burger yang dibeli dan menonton televisyen untuk menghilangkan kesunyian, dia beransur masuk ke dalam bilik untuk melelapkan mata. Tiada apa yang aneh pada pemerhatian Syamil, melainkan homestay tersebut yang kurang bersih dan sedikit terpencil dari rumah orang kampung. Syamil tidak menafikan timbul juga rasa takut dalam dirinya, tambahan pula menginap berseorangan, namun dia enggan melayan perasaan dan terus memejamkan mata. Televisyen di ruang tamu sengaja dibiarkan terbuka untuk memecahkan kesunyiannya. Ketika sedang nyenyak tidur, Syamil terjaga apabila terdengar bunyi ketukan di pintu utama. Ketukan misteri itu berterusan selama dua jam dan membuatkan Syamil tidak mampu melelapkan mata. Ketukan tersebut kedengaran beberapa kali tetapi tiada pula bunyi suara seseorang memberi salam atau memanggil namanya. Syamil teringat pesanan nenek dan ibunya, yang melarang untuk membuka pintu sekiranya 'tetamu' tidak memberi salam. Dia hanya bungkam di bilik tidur dan serta-merta bulu romanya tegak berdiri. Jam di dinding menunjukkan pukul 4 pagi. "Ya Allah, bala apa pula ni... Janganlah ada apa-apa kacau hamba-Mu ini," Syamil hanya mampu berdoa di dalam hati. Tidak lama kemudian, ketukan di pintu utama tidak lagi kedengaran. Sebaliknya, ia 'beralih' pula ke pintu dapur. Syamil tidak mampu melelapkan mata. Dia hanya 'membatu' di dalam bilik dan membaca apa sahaja doa yang terlintas di kepala. Bunyi ketukan tersebut muncul sekali-sekala di pintu depan dan pintu dapur seolah-olah sengaja mahu mengacau penghuninya. Hanya beberapa minit sebelum azan Subuh berkumandang dari masjid berhampiran, Syamil sudah tidak mendengar bunyi ketukan berkenaan. Bayangkan, hampir dua jam dia menahan 'azab' diganggu bunyi ketukan pintu misteri! Sebaik menunaikan solat Subuh, Syamil bersiap-siap untuk keluar bersarapan dan terus menuju ke tapak pembinaan. Dia turut membawa sekali beg pakaian, kerana mahu terus pulang ke ibu kota sebaik sahaja tugasnya selesai. Tidak sanggup dia menunggu walau untuk satu malam lagi, biarpun Sangeetha membuat tempahan untuk dua malam agar dia dapat berehat sebelum bertolak pulang keesokan harinya. Biarpun kepalanya berat akibat tidak cukup tidur, Syamil akhirnya menyelesaikan tugasan di tapak pembinaan sekitar lewat petang. "Pak Syamil, nampak muka kemerah-merahan dan macam tak sihat. Boleh ke nak memandu balik ke Kuala Lumpur ni?" tanya Bani, pengurus projek di tapak pembinaan. Syamil akhirnya membuka cerita mengenai gangguan yang dialami yang membuatkan dia nekad untuk terus pulang ke ibu kota. "Pak Syamil menginap di homestay tu? Sudah lama tiada orang menginap di situ, pak. "Memang sebelum ini, dengar juga orang kampung bercerita sebab ada penginap-penginap sebelumnya yang buka cerita mereka kena ganggu ketika singgah beli sarapan di warung. "Dah hampir setahun rasanya homestay tu tak ada orang sewa dan tuannya pun tak jenguk. Dengar cerita, kawasan tapak homestay tu 'keras'. Wallahualam pak," cerita Bani. Melopong Syamil mendengar cerita lelaki warga Indonesia itu. Ternyata, keputusannya untuk terus pulang ke Kuala Lumpur adalah keputusan yang tepat. Keesokan harinya, Syamil diserang demam panas sehingga diberikan cuti sakit selama tiga hari. "Taubat aku takkan jejak kaki dah ke homestay tu bila kena outstation ke Raub lagi lepas ni," katanya dalam hati. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube